KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20120725

Jenayah makin meruncing, makmurkan masjid jalan penyelesaian

Pagar rumah ibu saya di Rembau sentiasa terkunci terutamanya bila tiada lelaki di rumah. Beberapa bulan lalu anak buah saya kata ada van berhenti depan pagar rumah, walaupun dah dinasihatkan supaya jangan layan sesiapa yang tidak dikenali, anak buah saya pergi juga. Saya tidak ada dirumah ketika itu. Anak buah saya kata orang tadi kata kalau nak turap jalan depan rumah mereka boleh buat. Anak buah saya tak layan, pintu pagar berkunci, mereka pun beredar.

Beberapa hari selepas itu diberitakan sebuah rumah berhampiran Masjid Kg Bongek disamun pada siang hari. Modus operandinya ialah beberapa orang menaiki van bertanya kepada warga emas pemilik rumah tadi untuk perkhidmatan turap jalan. Disebabkan warga emas tadi keluar rumah dan pintu pagar tidak berkunci, dia pun disamun.

Sebelum Ramadhan, Ustaz Kamil ceramah di Surau Alamanda. Katanya di taman perumahan beliau di Nilai, dulu kes pecah rumah amat banyak. Makin dibuat rondaan dan kawalan, makin menjadi-jadi kes pecah rumah. Akhir sekali mereka memakmurkan surau di taman perumahan tersebut dengan solat jemaah, kuliah ilmu dan ceramah.

Akhirnya kes pecah rumah di kawasan tersebut berkurangan dengan drastik sekali.

Pelanduk selalu melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

Hanya kepada Allah tempat kita mohon perlindungan dan pertolongan. Makmurkanlanh masjid dan surau di tempat kita dengan solat jemaah, majlis ilmu, ceramah, tazkirah dan sebagainya.

Menyamar suami isteri, samun guru
25 Julai 2012

SEREMBAN – Dua penjenayah sanggup menyamar sebagai suami isteri yang mahu menghantar anak ke sebuah Tabika Perpaduan di Mantin, di sini semalam, sebelum bertindak menyamun dua guru wanita membabitkan RM37,000.

Dalam kejadian kira-kira 11.10 pagi itu, suspek wanita datang ke tabika berkenaan dan bertanyakan prosedur penghantaran anak kepada kedua-dua guru terbabit sebelum memanggil pasangannya yang menunggu di luar.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, kedua-dua suspek yang memakai helmet penuh serta bersenjatakan parang kemudian menyerbu masuk dan mengugut dua guru berkenaan supaya menyerahkan barang berharga.

“Bimbang dicederakan, guru berkenaan kemudian menyerahkan barangan kemas, dua telefon bimbit bernilai lebih RM500.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek tidak mencederakan kanak-kanak yang berada di dalam tabika itu dan kebetulan dua guru berkenaan berada di pejabat mereka,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak meminta kunci kereta jenis Perodua Myvi milik salah seorang guru yang berada di luar kawasan tabika itu. 

“Kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan kereta berkenaan dan meninggalkan motosikal jenis Honda di tabika berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal kita mendapati, motosikal berkenaan dicuri di Klang dan siasatan sedang dilakukan untuk memburu suspek,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah kereta jenis Toyota Camry milik seorang guru dilarikan enam lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Taman Desa Indah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, mangsa berusia 30-an didatangi sebuah kereta jenis Toyota Estima dinaiki enam lelaki berhenti di hadapan rumah sejurus pulang dari bekerja.

“Tiga daripada suspek kemudian bertindak mengugut mangsa supaya menyerahkan semua barangan berharga seperti komputer riba, barang kemas, broadband, dan telefon bimbit.

“Suspek turut bertindak melarikan kereta Toyota Camry mangsa sebelum melarikan diri. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM117 000,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

“Kita sedang mengesan kesemua suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7991222 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Tiada ulasan: