KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20141201

Duduk rumah berlantaikan tanah



Semoga ada pihak yang membantu 


Duduk rumah berlantaikan tanah
1 Disember 2014

PANTAI KUNDUR - Sembilan sekeluarga di Kampung Gelam, Pantai Kundur, di sini memohon simpati kerajaan negeri agar dapat menghulurkan bantuan bagi membaiki rumah mereka yang daif.

Rusdi Abd Hamid, 54, berkata, dia bersama isteri dan anak-anaknya tinggal di rumah berdindingkan zink serta berlantaikan tanah, yang dibinanya sendiri sejak rumah lamanya yang terletak bersebelahan terpaksa dirobohkan, awal November lalu atas sebab tertentu.

Lebih menyedihkan, rumah berkenaan tiada bekalan elektrik dan air serta tidak mempunyai kemudahan tandas yang sempurna.

Dia merupakan seorang pesara tentera berkata, hasil lebihan kayu, rumah itu dibina sekadar mampu untuk dia bersama isteri serta tujuh anaknya berlindung.

“Saya adalah pesara tentera tidak berpencen. Sebaik bersara pada 1989, saya bersama keluarga menyewa rumah di beberapa tempat sebelum menetap di Kampung Gelam sejak dua tahun lalu.

"Sebaik saya menetap di sini, saya bersama isteri mengusahakan sebuah warung tetapi akhirnya terpaksa dirobohkan atas sebab-sebab tertentu.

“Lantaran itu, tuan tanah yang menyewakan tapak berkenaan membenarkan saya membina rumah lain daripada robohan rumah dan warung itu. Tapi, rumah ini tidaklah seperti rumah sempurna dan setiap kali hujan lebat akan ada bocor sana sini, selain aliran air di lantai," katanya di sini, semalam.

Rusdi berkata, dia kini hanya mengharapkan pendapatan kerja sebagai buruh binaan di kampung dengan gaji sekitar RM600 sebulan.

"Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu kini, sukar untuk saya meraih sedikit pendapatan dan sehingga hari ini (semalam) sudah lebih seminggu saya tiada kerja.

“Saya telah membuat permohonan bantuan di beberapa tempat termasuk mengadukan di pejabat Ahli Parlimen Tangga Batu serta Hal Ehwal Bekas Perajurit namun masih belum mendapat sebarang jawapan," katanya.

Rusdi berkata,  sebelum ini dia mendapat bantuan bulanan sebanyak RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bagaimanapun dihentikan sejak Januari lalu .

Menurutnya, dia hanya perlukan bantuan dalam anggaran RM5,000 sahaja untuk membina lantai, dinding serta atap yang sempurna.

Tiada ulasan: