Jadilah jiran yang bertanggungjawab. Jangan jadi jiran yang buta, pekak dan bisu. Kalau ada jiran yang membiarkan rumah mereka semak samun samada berpenghuni atau tidak, laporkan sahaja terus kepada MPS secara on line di http://epublic.mpsns.gov.my kalau anda di Seremban.
******************************
MPS keluar 58 notis bersih premis
Sinar Harian 19 April 2010
SEREMBAN – Majlis Perbandaran Seremban (MPS) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik rumah atau tanah kosong sekitar kawasan Senawang, dekat sini, yang didapati dipenuhi semak samun.
Ini termasuk mengeluarkan notis supaya pemilik premis melaksanakan pembersihan dan sekiranya pemilik mengabaikan notis tersebut, MPS akan bertindak melakukan kerja pembersihan dengan mengenakan kadar tertentu.
Yang Dipertua MPS, Datuk Abdul Halim Abdul Latif berkata, tahun ini sahaja, sebanyak 58 notis telah dikeluarkan kepada pemilik rumah dan tanah kosong sekitar Senawang yang mengundang rungutan jiran.
“Tahun lalu, MPS telah mengeluarkan 130 notis rumah dan tanah kosong kepada pemilik premis di sekitar Senawang. Tahun ini saja, sebanyak 58 notis telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Selain itu, katanya, MPS sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu didapati membuang sampah secara haram atau melonggokkan barang buangan di mana-mana kawasan.
Mengenai aduan penduduk mengenai masalah rumah kosong tidak berpenghuni yang dipenuhi semak samun serta sampah yang dibuang secara haram termasuk perabot terpakai di Taman Jasmin, Senawang, beliau berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera.
“Kita telah mengambil tindakan pembersihan pada 30 Mac ke atas sampah sarap haram yang dibuang segelintir individu tidak bertanggungjawab,” kata-nya.
Sinar Harian 26 Mac lalu melaporkan rungutan penduduk terhadap masalah tersebut yang dibimbangi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Pengerusi Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) Zon Senawang, Mohd Ghazali Wahid berkata, semak samun yang tidak dibersihkan selain rumah dibiarkan kotor dalam tempoh agak lama berkemungkinan mewujudkan tempat takungan air yang tersorok.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7580916.asp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan