KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100524

Gejala buang bayi berpunca dari adat perkahwinan


Zaman cinta Romeo dan Juliet atau Uda dan Dara berpantun seloka sudah lama tamat. Zaman Facebook, SMS dan MMS ini kenal-mengenal dengan pantas, bercinta dengan pantas, berkahwin pun serba pantas, tetapi hutang kahwin keliling pinggang, akibatnya pergaduhan sering berlaku antara pasangan kerana masalah kewangan.

Formula mudah menangani gejala buang bayi pada pautan berikut http://waghih.blogspot.com/2010/03/krisis-buang-bayi-adat-kahwin-dan-zina.html

***********************
KAHWIN PUN SUSAH
Berita Harian 24 Mei 2010

HARI ini jika sesiapa hendak berkahwin akan berfikir semasak-masaknya daripada soal jodoh, modal dan masa depan. Agak keterlaluan jika kita katakan apa guna berkahwin dan hidup bersama isteri yang dikahwini dengan kos ribuan ringgit tapi tidak dapat menyesuaikan diri dengan kemampuan kewangan untuk hidup berkeluarga.

Zaman cinta Romeo dan Juliet atau Uda dan Dara berpantun seloka sudah lama tamat. Zaman Facebook, SMS dan MMS ini kenal-mengenal dengan pantas, bercinta dengan pantas, berkahwin pun serba pantas, tetapi hutang kahwin keliling pinggang, akibatnya pergaduhan sering berlaku antara pasangan kerana masalah kewangan.

Maka bercerai pun pantas, lalu ramai yang menuding jari kepada segala faktor menjadi punca dan akhirnya institusi perkahwinan menjadi sesuatu yang terlalu formal dan sebagai satu projek dan bukan perkara yang disunatkan dalam Islam dan digalakkan dalam masyarakat timur.

Perkahwinan adalah mulia dan perceraian akibat masalah kewangan bukan perkara yang ganjil, malah itulah faktor utama. Remaja zaman ini yang bercinta seawal usia belasan tahun akan menganggap perkahwinan sebagai destinasi terlalu sempurna dan ingin dizahirkan serba mewah.

Akibatnya perkahwinan yang dibuat tanpa sokongan ibu bapa akan berakhir dengan pasangan pengantin berhutang dulu bersakit membayar kemudian. Hutang kad kredit, hutang kawan, pak cik dan mak cik dan hutang along yang dibuat untuk berkahwin bukan boleh dilangsaikan setahun dua.

Ada yang berhutang sampai bermasam muka dan bermusuh dengan pemberi pinjam. Putus saudara dan sahabat malah putus nyawa akibat berhutang along.

Bila hati ingin kahwin kosnya pula tinggi. Hantaran paling kecil RM6,000, cincin seribu lebih, mas kahwin RM300 di Selangor, belum masuk kenduri menyambut menantu perempuan RM6,000, bunga telur, beg cenderahati, kugiran atau karaoke memeriahkan suasana dan menggugat poket harus difikirkan.

Kos RM20,000 dalam tangan di bandar Kuala Lumpur untuk golongan pertengahan, baru layak bercakap soal kahwin kalau duit tidak cukup jangan mimpi hendak bersalam dengan tok kadi.

Nafsu pula gagal ditenangkan akhirnya perkahwinan jadi angan-angan dan bukan cita-cita. Maka berlakulah maksiat dan asmara yang gagal dibendung. Bagi yang pandai mencegah hamil, maka selamatlah dirinya daripada mengandung.

Sebaiknya masyarakat negara ini tidak kira Melayu, Cina dan India melakukan upacara perkahwinan secara sederhana tanpa kos beribu-ribu ringgit kerana perkahwinan bukan sehari dua tetapi selamanya jika diizinkan Tuhan. Seks bebas menjadi-jadi kerana institusi perkahwinan dijadikan visi yang terlalu jauh hendak dicapai kerana memerlukan kos tinggi.

Sedangkan hubungan luar nikah haram di sisi Islam dan lain agama. Kita perlu menjadikan perkahwinan satu proses kehidupan mudah dan murah, tetapi tinggi nilai agama dan moral. Mungkin ia mampu menjadikan pembuangan bayi lebih minimum dan terus jadi sifar.

ABDUL RAZAK IDRIS,
Kuala Kangsar, Perak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/e-melanda_Kahwinpunsusah/Article

Tiada ulasan: