KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100511

Kalaulah semua macam posmen, aman negara


Kalaulah semua kita , dari pemerintah hingga ke rakyat mempunyai sikap macam posmen ini, pasti aman negara.

*******************
Keluar wang sendiri pasang nombor rumah

Harian Metro 5 Mei 2010

KUALA KANGSAR: Seorang posmen layak digelar pekerja paling komited ketika bertugas kerana dia bukan saja memenuhi skop kerjanya dengan menghantar surat dari rumah ke rumah sebaliknya sanggup mengeluarkan wang sendiri bagi membuat nombor pendaftaran untuk setiap rumah di kawasan tugasannya.

Bagi Mohamad Kalib Awang, 50, usaha murni itu dilakukan bagi memudahkannya menghantar surat milik penduduk tanpa sebarang kerumitan dan kelewatan kerana kebanyakan kediaman penduduk di Kampung Ngok Beluru dan Kampung Ribu berdekatan Beluru, di sini, tiada nombor pendaftaran rumah.

Kebiasaannya, setiap sampul surat tertera alamat sebuah rumah dan apa yang menjadi masalah ialah posmen sukar mencari rumah pemilik surat dengan tepat kerana pemilik gagal menampal atau melekatkan nombor rumah mereka.

Mohamad Kalib berkata, sejak dua minggu lalu, dia sudah menyiapkan kira-kira 20 nombor pendaftaran rumah milik penduduk kampung dan akan melengkapkan 20 lagi rumah di kawasan sama dalam masa terdekat.


Katanya, dia mengeluarkan wang poket RM50 bagi membeli peralatan membuat nombor pendaftaran rumah itu seperti kad manila membuat ruangan nombor, tin semburan cat dan pelekat nombor untuk ditampalkan pada petak ruangan yang disembur.

"Saya akan menyembur cat hitam pada satu ruangan petak pada dinding luar rumah penduduk sebelum menampal pelekat nombor pendaftaran tertentu yang berwarna putih bagi mewakili setiap rumah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, dia sudah bertugas dengan Pos Malaysia Bhd selama 19 tahun dan masalah ketiadaan nombor pendaftaran rumah sentiasa berlaku terutama di kawasan pedalaman.

Mohamad Kalib berkata, kadangkala, dia juga pernah dimarah penduduk kerana kelewatan surat yang dihantar disebabkan nombor pendaftaran rumah yang tidak lengkap. Menurutnya, jika posmen tidak berjaya menghantar surat ke alamat yang tepat, surat berkenaan dikembalikan ke pejabat pos terdekat dan tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk.

Katanya, dia menyedari tugas membuat nombor pendaftaran rumah itu bukan tanggungjawabnya, sebaliknya berharap ia memudahkan posmen yang ditugaskan di kawasan itu menjalankan tugas tanpa masalah.

Sementara itu, Ketua Kampung Beluru, Mior Taha Shaharim, 65, berkata sikap bertanggungjawab seperti ditunjukkan Mohamad Kalib harus dipuji dan boleh dijadikan contoh baik kepada masyarakat.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keluarwangsendiripasangnomborrumah/Article

Tiada ulasan: