KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100918

Gantung diri, bakar, kelar perut dalam sehari

Semakin haru biru Malaysia. Dalam masa sehari satu akhbar melaporkan kes mati tergantung, bakar rumah sendiri dan kelar perut sendiri. Itu yang dilaporkan, yang tak dilaporkan ? Kenapa jadi begini Malaysia ku ? Rakyat Malaysia sudah hilang arah tujuan. Tidak mustahil bunuh diri akan jadi penyebab utama kematian di Malaysia bukannya sakit jantung.

Artikel mengenai betapa seriusnya kes bunuh diri di Malaysia dan 3 juta rakyat Malaysia hidap sakit mental di http://waghih.blogspot.com/2010/04/makin-ramai-orang-remaja-1malaysia.html

**********************
Wanita terkejut temui anak tergantung pada jeriji tingkap
Harian Metro 18 Sep 2010

KULIM: Sejam selepas melihat anak lelakinya sedang asyik menggunakan komputer, seorang wanita terkejut apabila mendapati pemuda itu ditemui tergantung pada jeriji tingkap rumahnya tidak lama kemudian.

Wanita itu yang kali terakhir melihat anaknya kira-kira jam enam pagi kelmarin, memanggil jiran untuk membantu menurunkan mangsa selepas menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan.

Difahamkan mangsa juga sudah menulis surat untuk berhenti kerja sebagai kerani di sebuah pejabat kerajaan dekat sini.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal apabila ambulans tiba di rumahnya di Taman Kangkong, dekat sini dan dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Seorang kenalan yang tidak mahu dikenali berkata, mangsa seorang pendiam dan baik serta tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Saya terkejut mendapat tahu dia ditemui tergantung di dalam biliknya kerana dia tidak pernah menceritakan masalahnya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Kulim ketika dihubungi berkata, mangsa berusia 23 tahun, bekerja sebagai penjawat awam serta mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan siasatan mendapati tiada perbuatan khianat terhadap mangsa.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Seluang selepas solat Asar, kelmarin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitaterkejuttemuianaktergantungpadajerijitingkap/Article

Lelaki kurang siuman bakar rumah sendiri
Harian Metro 18 Sep 2010

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman menggemparkan penduduk kampung apabila bertindak membakar rumahnya sendiri di sebuah kampung di Permatang Tengah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, kebakaran mengakibatkan rumah mangsa hangus, namun mangsa berusia 30 tahun sempat menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Aazelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.19 petang dan tiba di tempat kejadian jam 3.27 petang.


Menurutnya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 3.54 petang dan rumah mangsa yang diperbuat daripada papan terbakar hampir 95 peratus dengan kerugian dianggar RM60,000.

“Mangsa tidak memberi apa-apa komen ketika siasatan dilakukan bagaimanapun jiran mangsa berpendapat mangsa sendiri menyebabkan kebakaran rumahnya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai mengalami gangguan mental dan pihak bomba masih meneruskan siasatan mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak bomba turut berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakikurangsiumanbakarrumahsendiri/Article

Gadis diminta putus tunang dua kali cuba bunuh diri
Harian Metro 18 Sep 2010

KOTA KINABALU: Lantaran terlalu kecewa serta tidak dapat menerima hakikat dirinya bukan pilihan sebagai calon menantu, seorang gadis bertindak mengelar perut sendiri selain minum minyak pelincir.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin di Kampung Tigot di sini, gadis berusia 17 tahun itu ternyata masih panjang umur kerana tindakan bodohnya itu disedari ibunya, lalu segera menghantarnya ke hospital untuk rawatan.

Gadis berkenaan sebelum itu hilang pertimbangan berikutan kecewa apabila ibu tunangnya meminta dia memutuskan pertunangan dengan anaknya kerana tidak menyukainya.

Berasa terhina dengan kata-kata ibu tunangnya, mangsa cuba membunuh diri dengan mengelar perut menggunakan kaca cermin yang dipecahkan, namun perbuatannya itu disedari ibunya yang terdengar jeritan mangsa.

Perbuatannya itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan serius di perutnya sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.

Bagaimanapun, tindakan mangsa tidak berakhir di situ kerana selepas dibenarkan pulang, gadis berkenaan sekali lagi memberikan kejutan kepada keluarganya apabila meminum minyak pelincir kenderaan ketika berada bersendirian di dalam biliknya.

Perbuatan gadis berkenaan sekali lagi disedari ibunya selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila anaknya itu berdiam diri di dalam bilik sebelum membawanya ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan sudah merekodkan kenyataan daripada gadis terbabit.


“Siasatan awal polis mendapati mangsa bertindak sedemikian berikutan mengalami tekanan perasaan akibat tidak disukai ibu tunangnya.

“Mangsa bertindak mengelar sendiri perutnya dengan cermin, namun berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah kira-kira sejam kemudian. Namun, kira-kira jam 9 pagi keesokan harinya, dia sekali lagi cuba membunuh diri dengan meminum bahan pelincir motosikal.

“Mujur, perbuatannya itu sekali lagi disedari ibunya. Difahamkan, mangsa kini berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan lanjut di hospital. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gadisdimintaputustunangduakalicubabunuhdiri/Article

Tiada ulasan: