KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100919

Masalah mental negara serius, 2,000 kes tiap tahun

Utusan Malaysia. KUALA LUMPUR 18 Sept. 2010 - Masalah mental di negara ini semakin membimbangkan apabila sekurang-kurangnya 2,000 kes baru skizofrenia dilaporkan di seluruh negara setiap tahun.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, selain daripada jumlah yang dilaporkan itu, beliau yakin masih ramai lagi pesakit skizofrenia belum dirujuk kepada doktor untuk mendapat rawatan sewajarnya.

Jelas beliau, punca-punca yang menyebabkan seseorang menghidap skizofrenia termasuklah penyakit keturunan, menghadapi kesukaran dan masalah ketika proses melahirkan, pengambilan dadah serta kecederaan otak.

"Bagaimanapun, skizofrenia boleh dirawat dan pesakit akan sembuh sepenuhnya jika mereka menerima rawatan awal," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Hari Kesedaran Skizofrenia 2010 di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menerima Anugerah PINEL 2010 atas sumbangan beliau dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Dalam pada itu, wartawan Utusan Malaysia, Noor Fazrina Kamal menerima Anugerah Hari Kesedaran Skizofrenia 2010 bagi kategori artikel berbahasa Malaysia.

Penyakit skizofrenia merupakan salah satu sakit mental serius yang menyebabkan tingkah laku dan emosi seseorang berubah secara drastik.

Pesakit skizofrenia mempunyai pelbagai gejala seperti halusinasi, delusi, paranoia, emosi keterlaluan dan kemurungan.

Dr. Abdul Kadir juga memberitahu, skizofrenia perlu dirawat secepat mungkin bagi mengurangkan kemungkinan penghidapnya berubah menjadi ganas.

"Pesakit skizofrenia terutamanya dalam kalangan lelaki khususnya di peringkat belia lebih cenderung untuk melakukan keganasan jika tidak mendapatkan rawatan.

"Sementara itu, jika mereka ini turut mengambil dadah terlarang di samping enggan menerima rawatan, maka kecenderungan mereka untuk bersikap ganas ialah 20 kali ganda berbanding pesakit yang menerima rawatan,'' jelasnya.

Beliau turut menasihati orang ramai yang mengesyaki mereka sendiri atau ahli keluarga menghidap masalah mental untuk segera berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan yang sesuai.

"Rawatan berterusan sekurang-kurangnya dua tahun diperlukan untuk memulihkan pesakit ini dan pada masa yang sama, sokongan moral daripada ahli keluarga dan sahabat-handai sangat diperlukan," katanya.


http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_21.htm

Tiada ulasan: