KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100925

Orang Melayu pengotor, tandas awam Rembau kotor


Melayu nak maju, tetapi tandas kebanyakan tempat, kotor menjijikkan termasuk di sekolah, stesen bas, malahan masjid dan surau. Orang Melayu sangka itu semua kerja Majlis Daerah, siak dan sebagainya. Kalau Melayu nak maju dan bersatu pastikan tandas bersih macam orang Jepun, macam orang di negara barat. Berapa kali saya jumpa pampers bayi ditinggalkan atas lantai dan sinki masjid dan surau. Tahi dah kering dan keras di mangkuk tandas.

Baru ni saya terima SMS lepas raya iaiti : “berhenti di gerai majlis daerah rembau dekat dgn balai polis, ingatkan dapatlah sembahyang di surau yang disediakan malangnya paip dah ditutup, tolong hilite”

Saya balas balik insyaAllah, boleh solat di Surau Kuarter Balai Polis Rembau, masuk terus tepi balai polis.

Mungkin elok dibuat promosi dalam akhbar dan TV artis, wakil rakyat, ahli parlimen dan lain-lain pemimpin buat lawatan mengejut ke mana-mana tandas awam, terutama di masjid dan surau, bawa bersama kelengkapan untuk mencuci tandas, agar dapat dicontohi oleh peminat dan rakyat jelata.

Jangan anggap kerja cuci tandas ini hina, anggaplah ia pekerjaan mulia dan hanya mengharapkan balasan baik dari Allah swt.

***********************
Tandas awam kotor, jijik

Sinar Harian 25 September 2010

REMBAU - Kotor, menjijikkan dan busuk. Tiga perkataan itu dapat menggambarkan keadaan tandas awam di daerah ini yang menjadi tumpuan orang ramai kerana berhampiran dengan Stesen Bas Pekan Rembau.

Tinjauan Sinar Harian seawal jam 9 pagi mendapati, tandas awam masih kotor dan belum dibersihkan terutama tandas lelaki.

Walaupun terdapat pekerja yang bertanggungjawab membersihkan tandas namun tahap kebersihan belum cukup memuaskan.

Pengerusi Persatuan Kereta Sewa Daerah Rembau, Sani Awang Jelani, 60, berkata, masalah tandas awam bukanlah perkara baru kerana pihaknya sendiri pernah menerima rungutan daripada orang ramai yang menggunakan tandas berkenaan.

“Perhentian teksi ini hanya beberapa meter sahaja dari tandas awam ini. Tahap kebersihannya amat menyedihkan, sekali gus memberi imej buruk jika terdapat orang luar yang menggunakan tandas di sini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, bukan sahaja di dalam tandas kotor malah persekitaran luar tandas turut dipenuhi sampah-sarap, seolah-olah tandas awam dijadikan sebagai tempat membuang sampah.

“Sepatutnya tandas awam ini dibersihkan setiap hari kerana ramai orang menggunakannya, tetapi disebabkan cara pembersihannya dilakukan secara ala kadar, tandas awam ini menjadi begitu kotor dan berbau busuk,” katanya.

“Lebih mendukacitakan kerana sebelum ini belakang tandas awam ini turut menjadi tempat pelajar terutama lelaki menukar pakaian seragam sekolah disebabkan mahu ponteng sekolah,” katanya.

Sani Awang berkata, dia pernah menghubungi pihak polis berikutan masalah pelajar ponteng dan usaha itu dilihat memberikan kesan positif kerana selepas beberapa kali tangkapan dibuat, gejala itu dilihat semakin berkurangan.

“Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan lebih kerap di kawasan ini.

“Pada masa sama, kami juga kesal dengan masalah vandalisme yang dilakukan di surau berhampiran kerana sudah beberapa kali kepala paip yang digunakan untuk mengambil wuduk dipatahkan menyebabkan kesukaran jemaah mahu mengambil air wuduk,” katanya.

Menurutnya, perbuatan itu hanya menyusahkan orang ramai.

“Walaupun terdapat usaha menggantikan kepala paip baru tetapi menjelang beberapa minggu kemudian, ia hilang semula,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8214909.asp

Tiada ulasan: