Bercakap mengenai keadilan dan hak asasi manusia, sepatutnya umat Islam ke hadapan dan menjadi juara dalam isu ini, bukan setakat juara rakyat. Tetapi agak menyedihkan apabila hak OKU atau Orang Kelainan Upaya ini tidak mendapat tempat yang sewajarnya dalam institusi utama umat Islam iaitu di masjid.
Isteri saya menceritakan , ayah kepada rakan sekerjanya adalah merupakan seorang OKU yang menggunakan kerusi roda selepas serangan angin ahmar. Apabila hendak solat Jumaat atau Sembahyang Hari Raya , ayahnya perlu di bawa ke masjid yang jauh sedikit dari kediamannya , iaitu di Masjid Taman Paroi Jaya , Seremban. Kerana menurut katanya masjid ini lebih mesra OKU.
Sepatutnya menjadi agenda utama semua pihak pengurusan masjid dan surau untuk menjadikan masjid dan surau di bawah pengurusan mereka lebih mesra OKU dengan melakukan penambahbaikan atau pengubahsuaian yang perlu.
OKU ini, selama mana mereka masih di lingkungan manusia mukallaf mempunyai hak yang mesti diberi perhatian oleh pihak masjid untuk keperluan mereka dibantu sebaik mungkin.
Dalam pada itu, pelan pembinaan masjid dan surau yang baru hendaklah dipastikan mempunyai kemudahan yang sesuai untuk OKU.
Antara kemudahan minumum yang perlu disediakan di setiap masjid dan surau ialah tempat letak kenderaan untuk OKU, laluan khas dan lorong kerusi roda untuk OKU, railing tangga yang mesra OKU, tandas dan tempat wuduk yang sesuai untuk OKU.
Untuk masjid-masjid besar yang lebih dari satu tingkat, sudah tentu persoalan menyediakan lif mesti diberi keutamaan seawal penyediaan pelan pembinaan.
Perkara ini perlu difikirkan ketika mereka bentuk masjid kerana OKU juga mahu beribadat dalam masjid.
Mengikut Akta OKU 2008, OKU termasuk mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.
Di negara kita, ada tujuh kategori OKU iaitu kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya fizikal, kurang upaya pertuturan, masalah pembelajaran, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan