KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070312

Orang Asli lebih faham Islam daripada “Mukhsin”

Nampaknya remaja dan masyarakat Orang Asli di Malaysia ini lebih faham Islam berbanding “Mukhsin” yang begitu hebat dipromosi sekarang ini. Hanya satu cara untuk mengelak gejala social yang semakin serius , iaitu Berkahwin seperti yang dianjurkan oleh Islam. SYABAS kepada remaja Orang Asli yang berkahwin secara sah dan halal pada usia 13 tahun kerana lebih berani mempraktikkan Islam berbanding Melayu professional yang suka hidup bebas, ber”couple” , serta menetapkan hantaran perkahwinan yang tinggi, mengadakan kenduri kahwin bermewah-mewahan sehingga menyusahkan para remaja Melayu untuk berkahwin.

*******************************
Pasangan 13 tahun Orang Asli antara 10 kahwin serentak

Berita Harian 9 Mac 2007. KUALA BERANG: Sepuluh pasangan pengantin Orang Asli, termasuk pasangan termuda masing-masing berusia 13 tahun dinikahkan serentak oleh 10 jurunikah di Perkampungan Sungai Berua, di sini, semalam.

Walaupun majlis yang julung kali itu diadakan secara besar-besaran dan disaksikan lebih 2,000 masyarakat tempatan, Syukri dan sembilan lagi pengantin lelaki melafaz nikah hanya sekali saja.

Majlis akad nikah 10 pasangan itu dianggap bersejarah apabila pengantin lelaki membaca lafaz taklik dalam tulisan jawi tanpa bantuan jurunikah.

Mereka kemudian diarak ke tempat persandingan dengan paluan kompang.

Majlis akad nikah itu diketuai Pegawai Agama Istana Negeri, Mohd Shukri Ali yang turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri, Datuk Rosol Wahid serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, Rozi Mamat.

Hadir sama, Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Shaikh Harun Ismail; Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Rozali Salleh serta Tok Batin Sungai Berua, Rusli Desoh.

Rosol berkata, pasangan yang dinikahkan semalam hanya mengikuti kursus perkahwinan anjuran JHEAT selama seminggu dan dianggap antara majlis pernikahan terulung di negeri ini.

"Selepas ini, kita bercadang mengadakan majlis sama secara serentak di perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman dan Sungai Keruak, Besut," katanya.
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Nasional/20070308232438/Article/

*************************************
‘Mukhsin’ bukan budaya Melayu Islam oleh Khairul Anuar Musa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Berita Harian 12 Mac 2007. PENAYANGAN filem keluaran terbaru Yasmin Ahmad iaitu ‘Mukhsin’ baru-baru ini memaparkan kehidupan masyarakat kampung terutama Melayu Islam wajar dikaji semula kerana ia tidak membawakan ciri-ciri kehidupan sebenar masyarakat Melayu Islam di Malaysia, terutama masyarakat kampung.

Tindakan ibu bapa di dalam cerita berkenaan yang membenarkan anak gadis mereka keluar bersama-sama seorang budak lelaki dalam keadaan berdua-duaan menimbulkan persepsi dan kesan kepada ibu bapa dan golongan remaja khususnya.

Di dalam filem berkenaan, budak perempuan yang berusia 10 tahun dan budak lelaki berumur 12 tahun di mana kedua-duanya menghampiri waktu akli baligh boleh menjuruskan kepada masalah lebih besar iaitu masalah sosial.

Cerita itu juga memaparkan kisah percintaan pada usia remaja. Keadaan ini menyebabkan golongan remaja khususnya kanak-kanak merasakan percintaan pada usia muda ini dibolehkan. Ia sama sekali tidak selari dengan pendidikan akhlak masyarakat Timur. Islam turut menyebut di mana usia seawal satu hingga 12 tahun adalah usia untuk ibu bapa mendidik anak dengan akhlak terpuji bukan dengan membenarkan mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan berdua-duaan dalam keadaan sunyi dan terpencil.

Saban hari kita mendengar berita masalah sosial seperti seks luar nikah, pembuangan bayi dan sebagainya. Dalam kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pada 9 Mac lalu mengenai kepentingan golongan lelaki harus dihukum sama dalam isu pembuangan bayi, beliau mengatakan ‘kita amat menyokong saranan Ketua Polis Negara yang mahu undang-undang dikaji semula untuk memastikan golongan lelaki yang terbabit dalam kes itu turut dipenjara’.

Ini jelas membuktikan masalah sosial seperti buang bayi semakin meningkat di negara ini dan golongan terbabit adalah remaja.

Adakah filem ini menggambarkan ciri dan budaya sebenar masyarakat Timur? Wajarkah kita mengikut gaya hidup kebanyakan masyarakat Barat yang membenarkan anak mereka bergaul bebas lelaki dan perempuan?

Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) terpanggil untuk menyuarakan pandangan disebabkan masalah sosial kini semakin kritikal dan mencadangkan supaya penayangan filem ‘Mukhsin’ dikaji semula.

KHAIRUL ANUAR MUSA,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Surat/20070311222905/Article/