KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071116

TV3 Bersama Mu , Masa Untuk Berubah

Saya amat tertarik dengan rancangan TV3 Bersama Mu yang disiarkan pada 14 November 2007 yang lalu. Segmen pada malam tersebut membawa pendekatan yang lain daripada yang lain. Pendekatan yang amat-amat saya harapkan dan sentiasa ditekankan selama ini.

Selalunya saya tidak mengikuti secara penuh dan bersungguh rancangan TV3 Bersama Mu kerana tidak dapat menahan sebak. Sebak kerana tahu betapa susahnya mereka yang memerlukan tetapi tidak dapat membantu mereka. Tahu betapa susahnya kehidupan mereka tetapi tahu sebenarnya mereka itu adalah sebilangan kecil sahaja yang disiarkan kisah kesusahan kehidupan mereka, sedangkan di sekeliling kita ramai lagi yang mengalami nasib serupa atau mungkin lebih teruk lagi.

Kisah pada segmen malam tersebut ialah seorang ibu tunggal di Kelantan yang terpaksa bekerja keras hingga lewat malam menanggung 5-6 orang anaknya. Anaknya yang baru mendudukki peperiksaan PMR tahun 2007 dengan rela hati mencari pekerjaan sebagai pembantu di kedai makan selepas tamat PMR kerana niatnya ialah untuk menjelaskan yuran persekolahan yang tertunggak sebanyak RM 600.

Setelah disiarkan kisah kehidupan tersebut, kebiasaannya krew Bersama Mu TV3 akan menghulurkan bantuan, membantu membelikan peralatan rumah, dapur, pakaian dan sebagainya.

Tetapi kali ini tidak. Pengacaranya membawa krew melihat kawasan sekeliling kampung. Mereka dapati rata-rata penduduk sekitarnya tidaklah susah sangat, malah terdapat ramai juga antara mereka yang mempunyai rumah banglo. Lalu mereka singgah di salah sebuah rumah banglo milik seorang ahli perniagaan. Setelah menceritakan kisah penderitaan keluarga ibu tunggal tersebut di hujung kampung mereka, ahli perniagaan tadi dan isterinya mengalirkan air mata. Dan mereka dengan rela hati menghulurkan bantuan untuk membaiki rumah ibu tunggal tadi.

Lalu dipanggillah ketua kampung dan beberapa penduduk kampung untuk membantu membaiki rumah ibu tunggal tadi, serta menghulurkan beberapa bantuan lain.

Ini adalah satu contoh mudah bagaimana rakyat Malaysia boleh membantu mereka yang memerlukan. Mereka yang memerlukan ini berada di sekeliling kita, dan mereka yang berkemampuan untuk membantu pun ada di sekeliling kita. Kalau tidak mampu membantu dari segi kewangan, kita bantu dari segi tenaga, kalau tidak mampu membantu dari segi tenaga, kita cari atau salurkan ke mana-mana individu atau agensi yang boleh membantu. Masakan seorang ibu tunggal, seorang warga tua, seorang yang lumpuh mampu turun naik Pejabat Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Negeri, Baitul Mal Negeri, pejabat Wakil Rakyat untuk mengharapkan bantuan.

Masyarakat sekelilinglah yang bertanggungjawab. Takkan kita hendak mengharapkan Pegawai Kebajikan Masyarakat untuk mengetahui setiap satu keluarga yang susah di lokaliti mereka, sedangkan mungkin mereka terpaksa meneliti beribu-ribu permohonan. Takkan kita hendak mengharapkan wakil rakyat turun setiap hari untuk mencari keluarga yang susah, sedangkan mungkin rata-ratanya seorang wakil rakyat biasanya mempunyai 5,000 keluarga di kawasannya yang memerlukan perhatian bermakna jika dia pergi rumah ke rumah setiap tahun, sehari dia perlu melawat 13 rumah sekurang-kurangnya , sedangkan mereka mempunyai tugas lain yang lebih penting.

Masa untuk berubah. Sikap kita harus berubah. Kita harus ambil peduli apa yang berlaku di sekitar kita. Masalah gejala sosial, masalah dadah, masalah pecah rumah, masalah ragut, masalah keciciran pelajar,pengangguran dan sebagainya bermula apabila kita semua mengambil sikap tunggu dan lihat, mengambil sikap berpeluk tubuh dan menuding jari. Ini bukan kerja aku, ini kerja dia, ini kerja AJK Masjid, ini kerja JKKK, ini kerja wakil rakyat, ini kerja guru.

Tahun 2008 adalah tahun yang lebih mencabar. Harga petrol dan gas dijangka akan naik dengan banyaknya. Bawang pun susah nak cari sekarang ini. Roti dah naik harga. Baru-baru ini ada seorang pelajar tahun akhir di IPT tempatan dari Negeri Sembilan mengadu, yuran pengajiannya tertunggak sebanyak hampir RM 10,000 walaupun dia ada dapat bantuan atau mungkin pinjaman, namun ianya tidak mencukupi, sedangkan ayahnya bekerja kampung.

Dan sekarang ini Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan pula menjalankan operasi memotong bekalan air bagi mereka yang mempunyai tunggakan bil air. Dan ramai antara kenalan saya bekalan air mereka telah dipotong. JBA hanya menjalankan tanggungjawab mereka, kerana mereka pula ada perbelanjaan lain yang perlu dijelaskan. Ini semua adalah satu rantaian. Pandanglah mata anak-anak kita, fikirkan apa akan jadi pada nasib mereka, nasib generasi selepas mereka. Generasi kita dulu, walaupun Malaysia belum lagi mencapai pelbagai kejayaan , tetapi rata-rata kita semua mendapat biasiswa. Akan tetapi sekarang ini, terlalu sukar untuk mendapat biasiswa. Yang ada hanyalah pinjaman PTPTN dan kerja pula belum dijamin selepas tamat pengajian

Berubahlah kita semua, kalau kita sayangkan diri kita, sayangkan anak-anak kita, sayangkan keluarga kita, sayangkan negara kita. Kalau di Indonesia Mottonya ialah Peduli Umat, menunjukkan kita perlu prihatin dan ambil peduli nasib jiran-jiran kita. Jangan jadi Peduli Engkau atau Lantak Engkau maka kita lihatlah apa yang berlaku di negara kita sekarang ini dengan masalah ponteng sekolah, Mat Rempit, Pendatang Asing, Dadah dan sebagainya yang tidak nampak lagi jalan penyelesaiannya.