Pujuk masuk kereta – Cubaan Culik
Harian Metro 4 Jan 2016
Melaka: Jeritan seorang remaja menyelamatkan sepupunya
daripada dilarikan lelaki tidak dikenali selepas menyedari gelagat individu
berkenaan memujuk kanak-kanak itu masuk ke dalam Perodua Myvi dalam kejadian di
Taman Seri Telok Emas, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 11.20 pagi, Muhammad Arsyad Mohd Nor, 14,
menjerit dan mengarahkan Muhammad Faqih Sulaiman, 6, pulang ke rumah selepas
melihat kanak-kanak itu hampir memasuki Perodua Myvi terbabit.
Bapa kanak-kanak itu, Sulaiman Kamaludin, 32, berkata,
sebelum kejadian anaknya ditemani seorang lagi sepupunya, Muhammad Aizam Mohd
Nor, 9, ke sebuah kedai terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka untuk
membeli mainan.
“Selepas bangun tidur, Muhammad Faqih mengajak Aizam ke
kedai untuk membeli mainan menggunakan wang diberikan datuknya, namun saya
curiga selepas dia pulang dalam keadaan menangis dan ketakutan.
“Anak saudara kemudian menceritakan kejadian sebelum saya
membuat laporan polis dan pergi semula ke kedai terbabit untuk melihat rakaman
kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan