KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100724

Ancaman JI Serius di Senawang, DARURAT




Mungkin ini saja cara untuk saya menarik perhatian Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara tapi bukan perhatian CIA, Mossad, MI5 dan sebagainya. Ancaman JI semakin serius di Senawang. Tapi JI di Senawang bukan Jemaah Islamiah, ianya ialah Jenayah Internal atau kes jenayah seperti pecah rumah, ragut, pecah kereta dan sebagainya.

Pada pendapat saya JI ini yang lebih bahaya sekarang ini kepada orang ramai, kerana mereka sentiasa menghantui setiap isi rumah pada setiap hari.

Sebelum ini beberapa kali saya tulis mengenai kes sedemikian dalam Blog saya di http://waghih.blogspot.com/ untuk memperingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati bersama membantu polis mencegah jenayah.

Namun disebabkan rakyat terlalu sedikit yang mempunyai akses internet dan kalau ada yang mempunyai akses internet di siber kafe mereka lebih asyik bermain game, judi, melayari laman web lucah dan sebagainya.

Akhirnya untuk menyedarkan orang ramai akan bahaya kes pecah rumah yang semakin berleluasa ini maka beberapa bunting telah dinaikkan untuk member amaran kepada penduduk setempat supaya berwaspada.

Baru beberapa hari bunting ini dinaikkan, sebelum subuh tadi Sabtu 24 Julai 2010 didapati 2 bunting ini telah dikoyakkan di hadapan Surau Taman Alamanda. 1 bunting tidak dijumpai, satu lagi bunting didapati seperti direntap dan dibiarkan di bawah tiang.

Mungkin penjenayah JI ini tadi terlalu geram agaknya kerana mendapati kegiatan mereka telah dihebohkan di taman ini dan penduduk mengambil tindakan yang pro aktif mencegah jenayah seperti memasang lampu luar rumah, mengunci pintu pagar dan sebagainya.

Malam tadi juga saya pergi Giant Senawang, apabila selesai dan menuju tempat kereta bertemu dengan seorang sahabat dari Taman Satria, dia semacam cemas. Katanya kereta bakal menantunya kena pecah di tempat letak kereta dalam kawasan Giant Senawang. Saya dapati kereta kancil dipecah tingkap kecil bahagian penumpang belakang. Di tempat duduk belakangnya ada beberapa bungkusan selepas membeli belah. Pencuri mungkin telah mengambil beberapa bungkusan.

Pagi tadi masa mesyuarat apabila saya ceritakan insiden di Giant, salah seorang AJK berkata memang benar di Giant Senawang ada beberapa kes pecah cermin kereta. Sepatutnya pihak Giant dan polis mengambil langkah proaktif dengan meletakkan bunting memberitahu ada beberapa kes pecah cermin kereta agar pengguna lebih berhati-hati.

Sekejap tadi AJK Masjid Bandar Baru Senawang kata minggu lepas tabung masjid kena pecah, walhal masjid betul-betul sebelah Balai Polis Senawang. 2-3 hari lepas juga salah seorang AJK Masjid Bandar Baru Senawang keretanya kena pecah pada siang hari di tempat letak kereta pasaraya Econsave Senawang.

Kacau-kacau , tak selamat lagi Malaysia ni. Boleh kata darurat lah.

Oleh itu Wahai Pak Menteri Dalam Negeri dan Wahai Ketua Polis Negara, TOLONGLAH, janganlah dilekakan rakyat dengan indeks jenayah yang rendah, tapi sebaliknya setiap hari ancaman JI ada di muka pintu, di pintu kereta dan di masjid.

Tolonglah tambah anggota untuk buat rondaan di setiap taman. Tolonglah bekalkan anggota ini dengan kereta peronda yang cukup dengan minyak yang cukup. Macamana nak buat Rukun Tetangga, kebanyakan rakan kerja kilang saya malamnya berniaga kerana gaji tak cukup, harga barang naik selepas harga diselaraskan.

Media , pula , TOLONGLAH, berilah kesedaran pada rakyat akan bahaya jenayah sekarang ini, di mana-mana, janganlah sibuk dengan isu pasir saja, isu perpaduan Melayu sahaja, sedangkan isu JI Jenayah ini lagi menakutkan rakyat.

Gambar bunting yang dipasang, sebelum di koyak di http://waghih.blogspot.com/2010/07/awas-kes-pecah-rumah.html

Beberapa kes jenayah yang dilaporkan sekitar Senawang dan Seremban di bawah ini :

http://waghih.blogspot.com/2010/07/awas-kes-pecah-rumah.html
http://waghih.blogspot.com/2010/07/kes-ragut-pula-berleluasa-di-senawang.html
http://waghih.blogspot.com/2010/07/kes-pecah-rumah-semakin-tak-terkawal-di.html
http://waghih.blogspot.com/2010/07/kes-pecah-rumah-berleluasa-di-senawang.html

Tiada ulasan: