KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100702

Jemaah PAS dan UMNO bertumbuk di Masjid Melaka ?


Gambar Hiasan


Ada lagi kes macam ni. Ingatkan zaman saya kecil-kecil dulu. Walaupun dalam berita tak di sebut orang UMNO dengan orang PAS, kemungkinan itu ada. Kalau nak ulas isu ini, siapa bersalah, siapa benar, sampai bila-bila pun tak habis. Masing-masing akan bawa hujah masing-masing. Kalau nak saman ke mahkamah pun, akan memakan masa bertahun-tahun. Mudah sahaja, nak selesai, atau tak nak selesai, itu sahaja.

Kepada ulama-ulama veteran dalam UMNO dan PAS, cubalah turun padang, selesaikan isu ini dengan cara baik.

Nak sangat bertumbuk, dua-dua pihak daftar sebagai sukarelawan bantuan ke Palestin, baru tahu langit tinggi rendah.

Kepada pihak yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, baik jangan masuk campur. Berdoa sahaja agar Allah memberi petunjuk kepada mereka dan kita semua.

*****************
JEMAAH BERTUMBUK DALAM MASJID
Sinar Harian 1 Julai 2010

PERNU – Hanya kerana disangka menutup lampu masjid, seorang lelaki dibelasah beberapa jemaah lain di Masjid Bukit Pegoh, di sini, Ahad lalu.

Kejadian berlaku sebelum solat Maghrib apabila mangsa, berusia dalam lingkungan 37 tahun itu disergah seorang jemaah yang berusia 20an yang baru tiba.

Mangsa yang memegang jawatan ahli jawatankuasa masjid itu belum menyalakan lampu masjid kerana hari masih siang, tetapi dipercayai memadamkan lampu.

Sumber berkata, lelaki terbabit dikatakan menyerang jemaah itu selepas menyergah mangsa dengan pertanyaan "kenapa kau tutup lampu masjid?".

Mangsa kemudiannya diserang bertubi-tubi dan cuba melawan untuk mempertahankan diri sebelum seorang lagi jemaah yang juga ‘orang kuat’ masjid itu turut sama menyerang dengan mengetuk kepala mangsa dengan lampu suluh.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila berlaku campur tangan jemaah lain yang menyokong kedua-dua pihak berkenaan sehingga bertukar menjadi ‘medan gusti’ sambil disaksikan lebih 60 jemaah.

Akibat kejadian itu, mangsa dan beberapa jemaah terbabit mengalami lebam lebam.

Sumber berkata, kejadian itu ada kaitan dengan pemecatan salah seorang imam masjid itu beberapa bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah mengesahkan kejadian itu.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7889457.asp

JEMAAH BUKIT PEGOH DILEMA SOLAT DUA IMAM
Berita Harian 10 Mei 2010

JASIN: Ahli jemaah kariah Masjid Bukit Pegoh di Pernu, dekat sini, bagaikan dalam dilema apabila mereka berhadapan situasi melakukan solat berimamkan dua imam, sejak awal April lalu, dipercayai akibat perbezaan fahaman politik.

Pengerusi masjid berkenaan, Md Jani Gembor, 65, berkata perselisihan faham antara imam masjid itu yang dilantik Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dengan seorang imam muda berusia 28 tahun bermula tahun lalu. Beliau mendakwa, bukan sekadar mengajar ilmu agama tanpa tauliah sejak setahun yang lalu, imam muda itu juga seolah-olah menghasut dengan mengatakan Imam 1 masjid terbabit tidak layak menjadi imam. Katanya, menyedari imam muda itu mengajar tanpa tauliah, kariah masjid memintanya untuk mendapatkan tauliah terlebih dulu daripada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

"Pada awal tahun ini, kita memintanya mendapatkan tauliah mengajar agama tetapi dia enggan, malah pengikutnya seramai kira-kira 15 orang hingga 20 orang memarahi kami.

"Berikutan itu, pada 1 April lalu, ahli kariah masjid membuat laporan kepada Jaim dan sejak itu imam muda bersama pengikutnya melakukan solat dua imam di masjid ini," katanya di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Md Jani berkata, imam muda dari Masjid Tanah itu bersama pengikutnya akan datang sebelum masuk waktu solat lima waktu, namun akan melihat dan menunggu di saf belakang sehingga solat selesai dan selepas itu, barulah beliau mengimamkan solat.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JemaahBukitPegohdilemasolatduaimam/Article/index_html

SEJARAH MASJID BUKIT PEGOH

Masjid Bukit Pegoh asalnya adalah sebuah surau dibawah naungan Masjid Pernu. Setelah bertambahnya bilangan penduduk dalam Kg. Bukit Pegoh dan Bukit Larang berlakulah persempadanan semula kawasan kariah dan wujudlah kawasan Kariah Masjid Bukit Pegoh. Bangunan surau telah dinaikkan taraf menjadi masjid dengan sedikit pengubahsuaian tetapi ianya masih bangunan kayu. Dalam tahun 1973 sekali lagi bangunan masjid ini telah dinaikkan taraf dan diubah menjadi bangunan batu. Bangunan ini masih berdiri diatas tapak asal masjid lama dan telah disempurnakan perasmiannya oleh Y.B. Tun Abd. Ghaffar Baba dalam bulan September 1973.

Setelah lebih 30 tahun berlalu dan bilangan penduduk dalam kawasan kariah bertambah, usaha-usaha untuk membesarkan masjid mula dijalankan. Pada bulan Ogos 2003 pihak lembaga Masjid telah mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri bagi meminta peruntukan sebanyak RM600,000 bagi tujuan mengubahsuai dan membesarkan masjid. Di akhir tahun 2004 pihak Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan arahan kelulusan peruntukan yang diminta.

Setelah beberapa perubahan dibuat pada pelan yang dikemukakan maka akhirnya nilai sebenar semasa kos pembinaan dan pengubahsuaian telah meningkat melebihi RM780,000. Setelah dikeluarkan tender Syarikat Epilog Bina Sendirian Berhad telah berjaya memperolehi tender tersebut dengan nilai RM732,075. Tarikh penyerahan tapak telah dilakukan pada 17 Julai 2005 dan pembinaan masjid dijangka siap pembinaannya dan diserahkan kepada pihak Lembaga Masjid pada 2 Disember 2005.

http://www.al-azim.com/~bukitpegoh/sejarah.htm

Tiada ulasan: