KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100704

Kempen JOM Solat Sempena Isra Mikraj 10 Jul 2010


Sesiapa yang tidak menunaikan solat kerana sibuk dengan kerajaannya, dia akan dibangkitkan bersama Fir’aun. Jika seseorang itu tidak menunaikan solat kerana sibuk dengan kementeriannya, dia akan dibangkitkan bersama Haman. Jika seseorang itu tidak menunaikan solat kerana sibuk menguruskan hartanya, dia akan dibangkitkan bersama Qarun. Begitu juga sesiapa yang tidak menunaikan solat kerana sibuk mengendalikan perniagaannya, dia akan dibangkitkan bersama dengan Ubay bin Khalaf. Sedarlah kesemua mereka itu akan dimasukkan ke dalam neraka.

Dipetik dari laman web ISMA http://www.ismaweb.net/v4/perutusan-khas-sempena-isra%E2%80%99-dan-mi%E2%80%99raj/

PERUTUSAN KHAS SEMPENA ISRA’ DAN MI’RAJ

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang disambut setiap tahun amat sinonim dengan ibadat solat, yang merupakan satu-satunya ibadat yang difardhukan secara langsung oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW tanpa perantaraan Malaikat.

Lantaran itu, solat mendapat kedudukan yang istimewa dalam Islam.

Rasulullah SAW pernah menyifatkan solat sebagai ciri pembeza di antara Islam dan kekufuran. Sabda baginda SAW yang bermaksud:
“Perbezaan antara seseorang dan kekafiran ialah dengan meninggalkan solat.” (Riwayat Imam Muslim)

Solat, kefardhuan yang tiada tolak ansur

Oleh kerana itu, solat merupakan tiang seri bagi agama Islam.

Ia merupakan amalan yang paling disukai oleh Allah sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:

“Janganlah kamu meninggalkan solat dengan sengaja kerana sesiapa yang meninggalkannya dengan sengaja, penjagaan atau pemeliharaan Allah dan RasulNya telah terlepas dari dirinya.” (Riwayat Imam Ahmad)

Ingatlah amaran Allah SWT!

Marilah kita sama-sama hayati amaran tegas yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW terhadap orang-orang yang meninggalkan solat. Antaranya adalah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang tidak solat, maka tiada agama baginya.” (Riwayat as-Sayuti)

“Sesiapa yang meninggalkan solat Asar, maka terhapuslah segala pahala amalannya.” (Riwayat Imam Bukhari)

Oleh itu, sesiapa yang tidak menunaikan solat kerana sibuk dengan kerajaannya, dia akan dibangkitkan bersama Fir’aun. Jika seseorang itu tidak menunaikan solat kerana sibuk dengan kementeriannya, dia akan dibangkitkan bersama Haman. Jika seseorang itu tidak menunaikan solat kerana sibuk menguruskan hartanya, dia akan dibangkitkan bersama Qarun. Begitu juga sesiapa yang tidak menunaikan solat kerana sibuk mengendalikan perniagaannya, dia akan dibangkitkan bersama dengan Ubay bin Khalaf. Sedarlah kesemua mereka itu akan dimasukkan ke dalam neraka.

Ayuh wahai saudaraku! Marilah kita semua menjaga dan memelihara solat dalam kehidupan seharian kita, kerana solat itu adalah tiang seri agama kita. Renungi sabda Rasulullah SAW:

“As-Solatu imaduddin, faman aqamaha faqad aqamad din, waman tarakaha faqad hadamad din.”

Maksudnya: “Solat adalah tiang seri agama, maka sesiapa yang menunaikan solat, maka sesungguhnya dia telah menegakkan agama, dan sesiapa yang meninggalkan solat, maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama”.

Sesungguhnya Islam itu telah dibina di atas solat, di samping mengucap dua kalimah syahadah, haji, puasa dan zakat.

Sekretariat Dakwah & Sosial,
Ikatan Muslimin Malaysia

Poster Kempen di http://www.ismaweb.net/v4/kempen-ayuh-solat-sempena-israk-mikraj-1431h/

Tiada ulasan: