KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060707

Formula Kanak-Kanak Diam Semasa Khutbah Jumaat

Puas sudah memikirkan kaedah dan cara supaya kanak-kanak terutama yang duduk di saf belakang tidak membuat bising dan bermain terutamanya ketika khatib sedang membacakan khutbah Jumaat. Fenomena ini berlaku dikebanyakkan masjid di seluruh Malaysia dan Masjid Bandar Baru Senawang tidak terkecuali mengalami fenomena yang sama.

Pihak jawatankuasa masjid telah beberapa kali melakukan usaha agar kanak-kanak yang hadir solat Jumaat ini tidak membuat bising dan bermain-main ketika khatib sedang berkhutbah. Ada beberapa kali khatib sebelum memulakan khutbah menasihatkan kanak-kanak di belakang agar tidak membuat bising. Namun hanya sekejap sahaja, malah nasihat tersebut tidak didengari kanak-kanak kerana mereka sedang bercakap-cakap dan bermain ketika itu.

Ada juga pihak jawatankuasa masjid mencadangkan supaya diletakkan poster-poster supaya kanak-kanak tidak membuat bising ketika khutbah Jumaat, namun masih belum terlaksana.

Maka pada Jumaat 7 Julai 2006 dicubalah usaha mengedarkan risalah kecil bersaiz 4 inci x 6 inci dan diedarkan kepada kanak-kanak yang duduk di saf belakang sebelum khatib berkhutbah.

Dengan izin Allah, usaha ini berjaya. Sebaik khatib menaiki mimbar, suara kanak-kanak yang pada mulanya bising beransur-ansur senyap dan akhirnya sunyi sepi. Apa yang kedengaran ialah bunyi kipas-kipas yang sedang berpusing.

Ini membuktikan kanak-kanak orang Islam sebenarnya boleh diberi nasihat, tetapi perlu kena caranya. Dengan itu tidaklah sepatutnya diletakkan kesalahan sepenuhnya kepada kanak-kanak yang membuat bising ketika khatib sedang berkhutbah. Orang dewasa serta ibu bapa harus memikirkan kaedah-kaedah yang sesuai untuk mendidik anak-anak mengikut peredaran zaman.

Mungkin kaedah ini sesuai digunakan di kawasan Senawang, kalau keadah ini tidak sesuai digunakan tidak tempat lain maka perlu difikirkan pula keadah lain.

Apa yang tertulis pada risalah yang diedarkan pada kanak-kanak di Masjid Bandar Baru Senawang sebelum khutbah Jumaat ialah :
ANAK-ANAK HENDAKLAH DIAM KETIKA KHATIB SEDANG BERKHUTBAH PADA HARI JUMAAT DAN TIDAK BERMAIN-MAIN

IBU BAPA DISARANKAN MENASIHATI ANAK-ANAK MENJAGA ADAB KETIKA BERADA DI MASJID

DIAM SEWAKTU MENDENGAR KHUTBAH JUMAAT. Hadis Abu Hurairah r.a. : “Rasulullah saw telah bersabda : Apabila engkau berkata kepada temanmu, diamlah! pada hari Jumaat. Padahal imam sedang berkhutbah, maka kamu benar-benar telah melakukan satu perkara yang sia-sia iaitu lalai.” Sahih Muslim