KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060720

Peniaga Melayu Pasar Rembau Lingkup, Gulung Tikar

Rembau adalah sebuah daerah di Negeri Sembilan yang meliputi kawasan seluas 402.76 kilometer persegi. Terdapat 17 mukim yang terdiri daripada 204 buah kampung dalam daerah Rembau. Menurut sejarah, Rembau asalnya adalah antara tempat mendarat terawal orang-orang Minangkabau dari Sumatera. Rembau menjadi kebanggaan orang Melayu yang penuh dengan adat dengan usianya yang hampir setengah abad.

Sekarang Rembau tidak kurang hebatnya. Menara Masjid Jamek Rembau yang tinggi dari jauh dapat dilihat apabila kita memandu menghampiri pekan Rembau. Diwaktu malam pula persimpangan jalan utama di pekan Rembau disinari cahaya lampu jalan yang pelbagai corak dan warna yang amat terang benderang. Malah pekan Rembau masih mengekalkan stesen keretapinya yang penuh nostalgia.

Masuk ke pekan Rembau Pasar Baru Rembau adalah merupakan satu lagi mercu tanda. Dengan kos pembinaan RM 3 juta, pasar ini telah beroperasi sepenuhnya pada awal Mei 2006. Namun disebalik bangunan pasar ini yang tersergam indah timbul pelbagai pertanyaan.

Hari demi hari para peniaga di pasar Rembau ini mengeluh. Masalahnya pelanggan yang datang ke pasar baru ini tidaklah seramai pelanggan yang datang seperti mereka berniaga di pasar lama yang terletak beberapa meter sahaja dari pasar baru ini.

Yang pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan bangunan pasar baru yang bernilai RM 3 juta ini. Nak katakan para peniaga ini baru nak belajar berniaga, rata-rata yang berniaga di pasar ini adalah mereka yang berniaga di pasar lama. Nak katakan orang Rembau tidak nampak atau tidak jumpa bangunan pasar baru ini, pasar baru ini terletak beberapa meter sahaja daripada tapak pasar lama. Nak katakan tiada tempat letak kereta di bangunan pasar baru, tempat letak kereta di bangunan pasar baru jauh lebih luas daripada tapak pasar lama. Nak katakan ada saingan daripada pasar terdekat, pasar lain yang terdekat ialah di Tampin atau pun Seremban yang jauhnya lebih 20 kilometer. Nak katakan rekabentuk pasar Rembau terdapat banyak dinding penghalang menyebabkan pelanggan tidak nampak gerai-gerai dalam pasar tersebut, ada juga pasar lain yang ada dinding-dinding penghalang seperti di pasar Ampangan, Seremban yang majoriti peniaganya orang Melayu. Nak katakan orang Melayu tidak pandai berniaga, dikhabarkan orang Cina yang dapat lot dalam pasar Rembau pun tidak mampu bertahan lalu menjalankan perniagaan serupa di bangunan lot kedai yang lain.

Jadi dimana silapnya hinggakan bangunan pasar baru Rembau yang harganya RM 3 juta ini tidak mendapat sambutan ? Yang pasti hari demi hari peniaga Melayu di pasar Rembau ini mula gulung tikar, dan mereka ini adalah peniaga tradisi yang pernah menjalankan perniagaan di tapak lama pasar Rembau.

Para peniaga telah mengadu kepada banyak pihak untuk membantu menyelesaikan masalah mereka, ke Majlis Daerah sudah, ke wakil rakyat sudah, ke Menteri Besar sudah, ke media cetak sudah, ke media elektronik pun sudah. Namun belum nampak lagi satu usaha yang serius secara kolektif dengan mengambil sikap berlapang dada serta bertolak ansur dilakukan.

Apakah ada pendinding atau pun hijab yang menyebabkan bangunan pasar baru Rembau ini tidak dapat menggamit kedatangan pengunjung yang biasa mengunjungi tapak pasar lama Rembau apatah lagi pengunjung baru ?

Sekiranya semua pihak mengambil sikap berlapang dada, ingin membantu bukan sahaja peniaga Melayu malah peniaga bangsa lain di pasar Rembau ini, yang akan mendapat manafaatkan bukan hanya para peniaga malah semua pihak. Para peniaga akan mendapat mencari rezeki dengan sempurna, para pelanggan dapat membeli dengan selesa, pihak Majlis Daerah Rembau pula dapat mengutip hasilnya dengan konsisten.

Pelbagai usaha boleh dilakukan untuk menarik orang ramai mengunjungi pasar Rembau. Media boleh membantu mempromosi, agensi kerajaan ataupun swasta boleh mengadakan hari bersama pelanggan di pasar Rembau. Boleh juga diadakan beberapa aktiviti sampingan untuk menarik orang ramai mengunjungi pasar Rembau seperti beberapa pertandingan dan peraduan , seperti Peraduan Teka Kacang percuma dan sebagainya yang dianjurkan oleh pelbagai agensi mahu pun persatuan.

Semua pihak harus lakukan sesuatu , bukan hanya untuk menyelamatkan peniaga Melayu pasar Rembau, tetapi untuk menyelamatkan imej penduduk Rembau sendiri samada mereka mampu menjadikan pasar Rembau sehebat Pasar Payang di Kuala Terengganu dan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu.