KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080121

Antara Cuti Thaipusam dan Hari Raya Haji

Semua orang seronok bila PM isytihar hari Thaipusam sebagai cuti umum di KL dan Putrajaya. Orang Melayu pun seronok, terutama yang bekerja di KL dan Putrajaya, bukan sebab nak sambut Thaipusam , tapi sebab cuti, tak payah pergi kerja.

Tahniah kepada penganut agama Hindhu , kerana suara mereka mendapat perhatian pemimpin negara. Cumanya sekarang, KL dan Putrajaya dah lebih satu hari cuti umum berbanding negeri lain, adakah negeri lain akan minta tambahan cuti umum, atau KL dan Putrajaya akan menarik balik satu hari cuti umum dari cuti lain ?

Apakah budaya cuti umum ini akan menjadikan rakyat Malaysia malas, sekiranya jumlah cuti umum untuk setahun tidak dikawal ?

Berbalik pula kepada umat Islam di Malaysia ini. Kenapa tidak ada desakan daripada mana-mana pihak , NGO Islam, cendekiawan Islam, serta individu Islam sendiri untuk menggesa kerajaan supaya cuti umum Hari Raya Idil Adha selama 4 hari.

Apa rasionalnya ? Sebenarnya Hari Raya Idil Adha sepatutnya disambut empat hari berturut-turut dimana umat Islam boleh bertakbir raya selama empat hari untuk Hari Raya Idil Adha, sementara takbir untuk Hari Raya Idil Fitri cuma setengah hari. Di samping itu akan lebih memudahkan lagi umat Islam untuk melakukan ibadah korban tanpa perlu mengambil cuti tahunan.

Tidakkah ini akan menambahkan lagi bilangan cuti umum di Malaysia ? Tidak. Sebenarnya kita boleh tukar cuti umum kebesaran Islam yang lain dengan cuti Hari Raya Haji ini. Kita boleh tukar dengan cuti Maal Hijrah, cuti Maulid Nabi dan cuti Israk Mikraj.

Sambutan Maal Hijrah, Maulid Nabi dan Israk Mikraj bukanlah sambutan perayaan Islam, tetapi hari sambutan kebesaran Islam. Sedangkan Hari Raya Idil Adha ialah sambutan perayaan dan sambutan hari kebesaran Islam.

Lagi pun sambutan Maal Hijrah dan Maulid Nabi masih boleh diteruskan dengan disertai oleh kakitangan swasta dan kerajaan, kerana selama inipun ada dikalangan mereka dikerahkan untuk menyertai acara sambutan walaupun hari tersebut adalah hari cuti umum.

Kita bukan menuntut tambahan cuti umum, kita juga bukan menuntut hak cuti umum penganut agama lain. Kita cuma menuntut ditukar cuti umum hari perayaan dan kebesaran Islam. Bolehkah kita umat Islam di Malaysia membuat perubahan ?

Tepuk dada, tanya iman.