KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080101

Org susah Seremban Jaya sambut tahun baru menangis

Petang tahun baru 2008 saya dikejutkan dari tidur dengan panggilan talipon dari Kasim (keluarga susah di Senawang Jaya). Katanya dia ada jumpa orang susah di masjid, sekarang orang tu ada dirumahnya, menangis saja mengenangkan nasibnya tidak tahu di mana hendak minta tolong. Kasim nak tolong, dia pun susah. Itu pun beras dan makanan yang dia terima dia bahagi-bahagikan dengan keluarga susah yang lain.

Selepas Asar saya pun dengan kepala yang masih pening sebab selsema pergilah ke rumah Kasim di Senawang Jaya. Salam saya disambut oleh seorang pemuda. Saya ingatkan dia anak saudara Kasim, rupanya dialah orang yang memerlukan bantuan tadi.

Nama dia Hafizi, umur 26 tahun. Berumahtangga 3 tahun lalu, dan sekarang isterinya mengandungkan anak sulung 4 bulan. Yang terharu ialah dia kata rumah dia tilam pun tak ada, isterinya tidur sahaja atas lantai berlapik tikar. Lalu saya teringat surau taman saya ada tilam masih baik yang telah lama tidak digunakan. Jadi saya bercadang beri pada Hafizi. Kasim pun menyampuk, “Bang, saya pun tak ada tilam”. Saya kata pada Kasim berilah pada Hafizi, isteri dia lebih memerlukan. Kasim pun tersenyum.

Hafizi ni dulu kerja kilang secara kontrak. Kemudian kerja bengkel kereta, tetapi bengkel kereta terssebut sudah tutup. Sekarang dia sedang mencari kerja, kelulusan PMR saja katanya.

Kemudian kami pergilah ke kedai, belikan sedikit keperluan makanan untuk Hafizi dan isteri. Sedikit beras, telur, sardin, biskut, gula, susu. Nak beli minyak, minyak masak tak ada. Yang ada minyak jenis mahal.

Menurut Hafizi dia ada memohon bantuan Baitul Mal, dan pernah mendapat bantuan Baitul Mal untuk menjelaskan sewa rumahnya yang tertunggak beberapa bulan. Kata Hafizi, ramai lagi orang susah macam dia.

Marilah kita sama-sama doakan agar Kasim sekeluarga, Hafizi sekeluarga serta ramai lagi yang senasib dengan mereka di Seremban dan di seluruh Malaysia agar dikuatkan iman mereka, dipertemukan mereka dengan orang-orang yang pemurah yang sudi membantu.

Kepada mereka yang ingin membantu Hafizi boleh menghubungi beliau atau berjumpa dengan beliau di rumahnya :
Muhammad Hafizi
No 1039 , Jalan SJ 9/10
Taman Seremban Jaya
70450 Seremban
Negeri Sembilan
Tel : 012-3193493