KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071231

Bila Orang Susah Yang Bantu Orang Susah

Biasanya orang senang yang bantu orang susah. Tetapi yang ini orang susah bantu orang susah. Ingat lagi kisah Saudara Kasim suami isteri yang hidup susah di Taman Senawang Jaya ? (kisah lanjut di sini http://waghih.blogspot.com/2007/12/bantulah-keluarga-ini-tiada-makanan-di.html )

Alhamdulillah , beliau telah menerima bantuan dan sumbangan dari orang ramai yang prihatin dengan nasib beliau. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu beliau sekeluarga.

Baru-baru ini Saudara Kasim menghubungi saya. Katanya dia ingin sangat berjumpa dengan saya. Katanya rakan-rakan dia ramai lagi yang susah, yang datang mengadu pada dia. Ada yang dari Taman Seremban Selatan, ada yang dari Taman Seremban Jaya, ada yang dari Taman Satria bahkan ada yang dari Kuala Pilah, tidak kurang 20 keluarga katanya.

Rupa-rupanya keluarga susah di Negeri Sembilan ini seolah-olah ada persatuan. Barangkali mereka berjumpa apabila sering turun naik Pejabat Kebajikan Masyarakat atau Pejabat Agama untuk memohon bantuan.

Rata-rata mereka mengatakan ada cuba memohon kepada Baitul Mal, tetapi ianya memakan proses yang lama, dan menyedihkan lagi ada di kalangan mereka ini yang buta huruf, tidak tahu membaca dan menulis seperti Saudara Kasim sendiri.

Golongan mereka ini ada kalanya mencuba nasib meminta bantuan di surau dan masjid berhampiran, tetapi melihatkan keadaan mereka yang kusut masai atau tidak kemas, berkemungkinan pihak berkenaan tidak mempercayai nasib susah mereka. Apalah salahnya pergi melihat rumah mereka sendiri, pergi melihat tempat kerja mereka, pergi melihat keadaan anak dan isteri mereka.

Saudara Kasim mengatakan mungkin pihak Baitul Mal begitu berhati-hati menghulurkan sumbangan, kerana terdapat mereka yang tidak layak mendapat bantuan Baitul Mal telah mendapat sumbangan Baitul Mal untuk digunakan membeli kereta dan sebagainya. Yang menjadi mangsa ialah orang-orang seperti Saudara Kasim dan rakan-rakannya.

Apabila jumpa orang ramai untuk meminta sedikit wang, orang ramai kata mintalah di Baitul Mal, mintalah di Jabatan Kebajikan.

Berbalik kepada cerita orang susah yang tolong orang susah. Saudara Kasim ini yang menerima sumbangan makanan dari orang ramai, telah membahagi-bahagi sumbangan tersebut kepada rakan-rakannya yang lebih memerlukan. Bukan itu sahaja Saudara Kasim yang buta huruf ini, yang sebelum ini dituduh sering meminta-minta telah memberi kata perangsang kepada rakan-rakan dia yang susah supaya minta pertolongan pada Allah terlebih dahulu, supaya sentiasa bersabar.

Oleh itu saya menyeru kepada orang ramai agar mencari orang seperti Saudara Kasim ini di merata-rata tempat di Malaysia ini. Kepada mereka yang ingin membantu Saudara Kasim agar dia boleh membantu berpuluh atau mungkin beratus-ratus keluarga susah di Negeri Sembilan ini bolehlah menghubungi beliau di talian 017-2193842. Harap jangan SMS pada dia kerana dia tidak tahu membaca. Kalau nak beliau talipon semula harap tolong TOP UP akaun pra bayar beliau.

Alamat beliau sebelum ini ada terdapat sedikit kesilapan iaitu sepatutnya No 516 bukan No 519 Taman Senawang Jaya.

Semoga Allah memberikan sifat kasih sayang tanpa mengenal batasan kaum dan agama kepada kita semua, agar kita dapat hidup dalam suasana yang harmoni, aman dan damai serta selamat.