KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071230

Kenapa pelajar Sek Ren Islam NS didiskriminasi ?

Pada mulanya pelajar-pelajar Sekolah Rendah Islam termasuk Sekolah Rendah Islam As-Sa’idiyyah (SRIAS) , Seremban tidak boleh untuk memohon masuk ke tingkatan 1 sekolah asrama penuh walaupun mereka mendapat 5A, atas alasan mereka adalah pelajar sekolah swasta.

Kemudiannya pelajar SRIAS di N.Sembilan ini yang mendapat keputusan 5A sahaja yang boleh memohon masuk ke tingkatan 1 sekolah harian seperti Sekolah Menengah Agama Sheikh Mohd Said (SHAMS) , Seremban dan Sekolah Menengah Agama Pedas (SMAP), sedangkan pelajar dari sekolah kebangsaan mendapat 4A 1B layak untuk memohon.

Yang terkini, dengar ceritanya untuk 2008 pelajar SRIAS tidak boleh memohon untuk masuk SHAM dan SMAP.

Akhirnya mereka hanya layak memohon untuk masuk sekolah menengah kebangsaan biasa atau sekolah menengah agama kelolaan kerajaan negeri. Apakah selepas ini pelajar SRIAS juga akan didiskriminasi untuk tidak layak memohon masuk mana-mana sekolah kerajaan ?

Saya sering memberi semangat kepada bekas pelajar SRIAS termasuk anak-anak saya sendiri , jadikan halangan ini, jadikan sistem diskriminasi ini sebagai pembakar semangat supaya mereka dapat buktikan mereka adalah merupakan pelajar yang cemerlang.

Dan , Alhamdulillah keputusan PMR 2007, membuktikan ramai bekas pelajar-pelajar SRIAS mendapat keputusan 9A. Setakat ini yang diketahui 5 orang, 4 orang di SHAMS dan 1 orang di Pancor/Paroi Jaya.

Apa jua keputusan Kementerian Pelajaran atau Jabatan Agama kami reda, dan kami hadapinya sebagai pembakar semangat untuk menjadikan anak-anak kami lebih cemerlang.

Barulah kami sedar sekarang bagaimana sistem kuota terhadap orang Cina dan orang India selama ini di Malaysia tidak menghalang mereka untuk membentuk generasi yang cemerlang.

Jadi siapa yang rugi ? Yang rugi ialah sekolah yang sepatutnya pelajar cemerlang ini layak memohon.

Jadi siapa yang untung ? Yang untung ialah pelajar-pelajar yang telah dibakar semangat mereka untuk cemerlang. Yang untung ialah sekolah yang tiada kemudahan yang lengkap, dapat berkongsi kecemerlangan pelajar dari sekolah swasta. Yang untuk ialah rakan sekolah pelajar cemerlang ini.

Fikir fikirkan, adakah sistem kuota, sistem diskriminasi ini menguntungkan semua pihak ?

Kepada rakan saya warga Malaysia dari keturunan Cina dan India, barulah saya dapat merasai sendiri bagaimana rasanya didiskriminasi walaupun kami adalah rakyat Malaysia, berbangsa Melayu , beragama Islam.