KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071226

Karipap Petak Chembong NS

Hari Raya Idil Adha yang lalu, kami sekeluarga balik kampung isteri di Kuala Terengganu. Biasalah , kalau musim cuti sekolah Terengganu dan Kelantan menjadi destinasi pelancongan dalam negeri yang paling popular untuk mereka dari pantai barat.

Banyak barangan yang berasal dari pantai timur menjadi kegemaran orang pantai barat, termasuklah mereka dari Negeri Sembilan. Dari pelbagai juadah makanan, variasi kain sutera dan batik hinggalah ke tempat perkelahan yang semulajadi dan tidak banyak tercemar.

Dari keropok lekornya, serundingnya, ketupat palasnya, laksamnya, nasi dagangnya, macam-macam lagilah.

“Jealous” juga rasanya tengok orang Kelantan dan Terengganu ini ada kepelbagaian barangan. Bermacam-macam buah tangan boleh dibawa pulang.

Tapi kalau dari N.Sembilan ni apa yang kita ada ? Puas juga nak memikirkannya. Yang banyak ada ialah lemang, rendang negeri dan petai. Tidak ada satu yang boleh dibanggakan yang boleh menarik pelancong ke N.Sembilan.

Bukan nak mengutuk negeri sendiri, tetapi sebagai pembakar semangat supaya orang N.Sembilan ini mesti memikirkan secara serius apa produk yang boleh menjadi kegilaan orang negeri lain.

Jadi dalam ruangan ini saya nak promosikanlah beberapa keunikan makanan di N.Sembilan ini selain rendang, lemang, masak lemak cili api, gulai pucuk tempoyak.

Ianya adalah Karipap Petak yang begitu terkenal di Chembong. Ianya menjadi makanan kegemaran anak-anak saya. Setiap kali lalu , mesti beli. Tak cukup beli yang dah goreng, kami beli yang belum goreng untuk dijadikan “frozen food”.

Mungkin agensi pelancongan dan pembangunan usahawan boleh membantu untuk mengkomersialkan Karipap Petak Chembong ini. Kerana setakat ini belum terjumpa lagi di lain-lain tempat yang boleh buat Karipap Petak sesedap makcik yang buka warung depan sebuah pasaraya di Chembong.

Seterusnya ialah Tapai Leman Dawi di Sungai Gadut. Walaupun sudah bertahun-tahun saya lalu jalan Seremban-Tampin dari mula Leman Dawi jual tapai di jalan lama, hanya baru-baru ini saya menikmati cendol di Tapai Leman Dawi. Rasanya Oklah, tapi yang menariknya ialah taukehnya yang peramah dan pemurah. Dan taukeh ni sentiasa mempromosikan supaya orang melancong ke Negeri Sembilan.

Kini Leman Dawi beroperasi di premis milik pihak berkuasa tempatan yang telah lama terbiar (satu masa dahulu pernah saya utarakan masalah ini dalam akhbar). Dihiasinyalah premis tersebut dengan pelbagai keunikan di Negeri Sembilan.

Sebenarnya di Malaysia ni, dan di Negeri Sembilan juga ada banyak tempat yang boleh kita bersantai, tidak semesti perlu mahal, perlu dingin, perlu tinggi, perlu ada kapal layar.

Kepada orang Negeri Sembilan, kerajaan Negeri Sembilan, wakil rakyat Negeri Sembilan, sama-samalah kita bangunkan sektor pelancongan, ekonomi yang bericirikan budaya adat resam Negeri Sembilan dimana adat tesebut bersendikan hukum.

Gambar warong Karipap Petak Chembong










Gambar bawah warong Keropok Lekor Special di Tok Jiring, dekat Batu 6 , Kuala Terengganu