KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071213

Rakyat Perlu Disalur Maklumat Banjir Terkini

Musim banjir melanda negara sekali lagi. Persiapan awal telah dilakukan oleh semua agensi yang terbabit dalam tugas menangani banjir.

Namun dalam keghairahan semua pihak membuat persiapan menghadapi banjir, masih terdapat lagi beberapa aspek yang perlu diambil kira.

Kami sekeluarga merancang untuk menyambut Hari Raya Idil Adha di pantai timur. Sudah pasti perancangan awal adalah amat perlu untuk memilih jalan yang sesuai dilalui sekiranya terdapat jalan yang dinaikki air.

Adalah sukar untuk dari masa ke semasa mendapatkan maklumat dari media penyiaran atau bilik gerakan banjir mahu pun balai polis mengenai keadaan banjir di tempat-tempat tertentu.

Peristiwa ini dialami oleh peserta Rainforest Challenge baru-baru ini , apabila mereka terperangkap di tengah-tengah hutan belantara. Namun, kita tidaklah mengharapkan maklumat semasa keadaan banjir sehingga ke hutan belantara. Yang penting ialah maklumat banjir di jalan-jalan utama serta jalan alternatif.

Setelah melayari beberapa laman web agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat laluan perjalanan darat yang terjejas atau mungkin akan terjejas akibat banjir, tiada satu pun agensi kerajaan yang dapat memberikan maklumat tersebut. Agensi kerajaan yang memberikan maklumat “on line” pada setiap hari hanyalah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia di mana mereka menyediakan perkhidmatan maklumat paras air sungai di beberapa sungai di Malaysia ini. Juga Jabatan Meteorologi Malaysia yang memberikan maklumat keadaan cuaca dari masa ke semasa.

Manakala jabatan serta agensi kerajaan lain yang sepatutnya menyalurkan maklumat semasa keadaan banjir seperti Kementerian Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia setakat ini tidak memberikan maklumat terkini setiap hari dari masa ke semasa akan keadaan banjir di Malaysia, seperti jalan mana tidak boleh dilalui, jalan mana yang berbahaya, jalan mana yang sepatutnya dilalui, jalan mana yang dibuka hanya pada siang hari dan sebagainya.

Satu mekanisma berpusat haruslah diwujudkan agar semua maklumat berkenaan operasi berkaitan banjir dapat diakses oleh bukan sahaja oleh orang ramai bahkan oleh lain-lain agensi kerajaan, badan sukarela dan sebagainya agar ianya memberi manafaat kepada semua pihak sebagai persediaan menghadapi banjir.

Rujukan :
Kementerian Kerja Raya Malaysia http://www.kkr.gov.my
Polis Diraja Malaysia http://www.rmp.gov.my
Kementerian Pertahanan Malaysia http://www.mod.gov.my
Jabatan Meteorologi Malaysia http://www.kjc.gov.my
Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia http://www.water.gov.my
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia http://www.bomba.gov.my
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia http://www.civildefence.gov.my