KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20090210

Mesyuarat Agung Medan Lepas Geram

Dalam pengalaman saya menghadiri beberapa mesyuarat agung dalam beberapa pertubuhan dan persatuan , apa yang sedikit mendukacitakan ialah sikap sebilangan kecil masyarakat Melayu yang menjadikan mesyuarat agung medan melepas geram.

Sepatutnya mesyuarat agung dijadikan medan percambahan minda, medan untuk menilai prestasi tahun yang lalu dan merancang tahun seterusnya.

Segelintir ahli mesyuarat ada yang datang mesyuarat semata-mata hendak mengkritik kepimpinan , ahli jawatankuasa dan ahli yang lain.

Ada pula segelintir ahli yang datang mesyuarat agung memberi seribu satu macam pandangan , idea dan pendapat, tapi pelaksanaan kerja diserahkan kepada kepimpinan dan ahli jawatankuasa.

Sesebuah persatuan itu akan maju sekiranya ahli yang datang mesyuarat agung mengkritik kelemahan, kemudian dia memberi cadangan, dan cadangan itu pula dia pula rela untuk membantu melaksanakannya.

Baru-baru ini dalam satu mesyuarat agung seorang ahli persatuan mengatakan ada tak dibuat ibadah korban pada tahun lepas ? Pengerusi kata tak ada. Kalau tak ada ahli tadi beri cadangan tahun ini kita buat ibadah korban, agar kita dapat mengeratkan silaturrahim. Dan dia sanggup beri satu ekor lembu untuk ibadah korban berkenaan. Pengerusi kata elok sangatlah tu.

Kalaulah ramai ahli mesyuarat yang mempunyai sikap macam ahli tadi maka akan majulah sesebuah persatuan. Cuba ahli tadi kata ada tak dibuat ibadah korban pada tahun lepas ? Pengerusi kata tak ada. Ahli tadi kata pula , apalah pengerusi susah sangat ke nak buat ibadah korban, kita ada 1000 ahli , takkan tak boleh cari seekor lembu ?

Begitu jarang sekali saya jumpa ahli yang sebegini. Walaupun beliau seorang yang veteran dan agak berusia , tetapi berfikiran rasional dan mudah dibawa berbicara.

Janganlah jadikan mesyuarat agung medan lepas geram. Kalau ada masalah kita ada 364 hari yang lain untuk berbincang. Kita ada telefon, kita ada e-mel, kita ada surat, kita ada mulut, kenapa perlu tunggu mesyuarat agung untuk meluahkan perasaan.

Apabila kita memberi 1001 macam cadangan, pastikan dahulu kita orang yang pertama yang menyumbang tenaga dan kewangan untuk melaksanakan cadangan tersebut.

Tiada ulasan: