KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20110817

NGO N.Sembilan yang gigih selamatkan akidah umat Islam

Saudara Muhammad Adnan bukannya seorang berbangsa Melayu, tetapi beliau begitu gigih dalam usaha menyelamatkan akidah umat Islam secara praktikal, bukan sekadar retorik. Berikut luahan beliau di laman web Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (YKSNS). YKSNS bukan sekadar menyelamatkan akidah malah menyelamatkan masjid dari runtuh di Kuala Pilah dikala kita masih selesa duduk di rumah kita.



‘Musuh’ yang ‘ Sayang’
Oleh Muhammad Adnan

‘Kesian orang itu, puasa sebulan, solat 5 waktu, pergi haji, bersusah payah beribadah tetapi akhirnya masuk neraka ’, suatu ungkapan yang pernah didengar pada suatu ketika dulu, lalu apa tindakan mereka, ‘ kita perlu selamatkan mereka daripada terjerumus ke dalam lembah api neraka ’, sambung mereka lagi.

Ungkapan perbualan ini bukan sahaja menyatakan kesedihan, kekesalan, kekecewaan tetapi jua memaparkan harapan, misi dan usaha golongan tertentu dalam memperjuangkan dan menyebarkan kepercayaan mereka di bumi Allah swt ini.

Bagaimana dengan kita? Agensi kita, institusi kita, diri kita dan masyarakat kita ? Cukupkah sekadar menyatakan kekesalan, kecaman dalam facebook, surat khabar dan media dengan hanya menuding jari menunjukkan suatu pihak lain yang sepatutnya bertanggungjawab tanpa melihat sejauhmana sumbangan dan keprihatinan kita.

Pada waktu mereka berjalan kaki, mengetuk pintu-pintu kumpulan sasaran dalam menyebarkan kepercayaan mereka, kita bersidang, berseminar, bermesyuarat, berpidato sambil menikmati suasana kondusif pejabat kita yang tidak bertingkap sambil menyatakan kekesalan atas tindakan mereka itu.

Kita hanya pandai bercakap tapi mereka bekerja. Mereka bersungguh-sungguh tapi kita sambil lewa dan leka. Kita mudah berputus asa tapi mereka cukup bermotivasi.

Semalam kami dapat membawa keluar tiga orang adik beradik yang ditempatkan di sebuah petempatan yang menyediakan makan minum, pakai patut, pendidikan di sebuah daerah di Negeri Sembilan. Petempatan tersebut memberi perkhidmatan kepada hampir 40 kanak-kanak daripada pelbagai tempat. Tempat berdaftar, diuruskan dengan baik, petugas yang mesra dan kanak-kanak yang riang.

Segala urusan berjalan lancar. Kita mengikuti tatacara mereka supaya membuat repot polis mengatakan ibunya sendiri membuat keputusan untuk membawa keluar anak-anak yang ditempatkan di situ untuk tujuan perlindungan dan pendidikan.

Kita perlu bersedia untuk bersaing secara merit, secara sihat dan terbuka. Kita perlu berdakwah dengan contoh teladan kehidupan dan bukan lagi dengan kuasa perundangan, enakmen dan akta semata-mata. Penerapan kasih sayang beragama adalah suatu proses yang panjang dan memerlukan pengorbanan. Kita tidak boleh memaksa orang untuk bersetuju dengan kita sebaliknya, kita perlu usahakan hidayah untuk mereka. Usaha kita hanya sebab, hakikatnya adalah milik Allah swt.

Barang siapa yang bersungguh-sungguh, pasti kejayaan bersamanya….

http://yksnegerisembilan.com/archives/730

Tiada ulasan: