KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150409

Nasib guru tadika diploma prasekolah



Kalau tidak puas hati, kenapa masih bekerja di tempat berkenaan? Jangan pelik, jika selepas ini ramai warga asing akan menjadi guru tadika. Fenomena ini di mana-mana sektor pekerjaan sekarang ini. Tidak berpuas hati dengan majikan, tapi tidak ada pilihan kerja tempat lain yang menawarkan gaji yang lebih baik. Susah nak cari pekerja tempatan yang setia di sektor perkilangan sekarang dan lain-lain sektor.  1Malaysia, 1Dunia

********************
Utusan Malaysia 8 April 2015
Nasib guru tadika diploma prasekolah

SAYA ingin berkongsi pengalaman sebagai guru tadika swasta berkelayakan Diploma Pra Sekolah dari sebuah kolej swasta di selatan tanah air.

Gaji yang ditawarkan sebanyak RM900 dan RM1,000 jika berpengalaman. Kediaman disediakan dan makan apa juga yang dimasak untuk pelajar tadika.

Waktu bekerja dari pukul 7 pagi hingga 7 malam. Waktu habis mengajar dari pukul 3 petang tetapi diwajibkan untuk membantu Taska, menguruskan kanak-kanak bawah 4 tahun.

Ingin merujuk kepada pihak berwajib agar menilai gaji guru tadika yang diamanahkan untuk mengajar anak-anak berusia 5 dan 6 tahun yang baharu mengenal alam persekolahan dan diwajibkan anak-anak ini pandai membaca di akhir sesi persekolahan.

Itu yang diharapkan oleh ibu bapa yang menghantar anak-anak ke tadika swasta kerana bayaran yang mahal.

Gaji yang diperuntukkan sebanyak RM900 akan dipotong sekiranya cuti sakit yang ada slip MC dari klinik, atau cuti urusan keluarga terdekat. Maknanya tiada cuti sakit dan tiada cuti tahunan.

Dijanjikan ada potongan KWSP, tetapi sudah tiga bulan bekerja tiada caruman dan gaji tetap dipotong. Memandangkan bulan Februari selama 28 hari sahaja, gaji diterima hanya dalam RM700 lebih sahaja.

Sebenarnya gaji dinilai mengikut hari bekerja bukan mengikut bulanan seperti dijanjikan. Bagaimanakah baki gaji sebanyak itu membolehkan kami membayar PTPTN sebanyak RM150 sebulan?

Diharap pemilik tadika dan pengusaha taska menilai dan menimbangkan gaji yang bersesuaian dengan khidmat dan waktu bekerja.

Guru tadika tidak seharusnya dijadikan pekerja taska. Menjaga bayi berusia 3 bulan sehingga setahun memerlukan kesabaran, tambahan pula jumlah anak-anak melebihi 10 orang dan ada kalanya ibu bapa datang mengambil anak-anak selepas pukul 7 malam atas alasan kesesakan jalan raya atau hujan.

Kami juga diarahkan untuk membersihkan kawasan tadika dan taska untuk tugasan hari esoknya.

Penguasaha tadika dan taska itu hanya mementingkan keuntungan dan kurang sifat timbang rasa. Mungkinkah nasib yang sama kepada kawan-kawan yang sama belajar? Pihak berwajib tolonglah beri perhatian.

GURU KECEWA
Kuala Lumpur

Tiada ulasan: