KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20160426

Rumah anak yatim perlukan tempat simpan beras dan makanan kering



Rumah anak yatim perlukan tempat simpan beras dan makanan kering. Dimaklumkan rumah anak yatim di Taman Desa Permai, Kundur, Rembau amat memerlukan stor untuk menyimpan beras dan makanan kering. Ruang bertutup yang diperlukan ialah seluas 13' X 20' dengan anggaran kos sekitar RM2900. Mereka yang ingin menyumbang untuk pembinaan stor rumah anak yatim ini sila hubungi 0122267406 Rozmal.


Projek Baiki Rumah Keluarga Miskin



Pada 21 Mac 2016 yang lalu disiarkan berita Encik Mohd Asmawi serta isteri dan 4 orang anak mereka dari Kg Rambai Baris, Ulu Klawang, Jelebu N.Sembilan tinggal di rumah pusaka yang amat usang. Mereka menumpang tandas serta bilik mandi di rumah berhampiran. Keseluruhan bumbung bocor serta mereput, tidak mampu membaiki atap apatah lagi untuk membina bilik mandi serta tandas yang memerlukan kos RM10,000.

Pada 21 April 2016 hasil sumbangan orang ramai dan agensi telah dimulakan kerja menukar atap, membina bilik mandi/tandas. Kerja-kerja menukar atap dan membuat bilik mandi/tandas telah hampir siap pada 25 April 2016.

Terima kasih kepada para penyumbang dan mereka yang membantu keluarga ini khususnya Lt (B) Shapie bin Zain, Penyelia DUN Klawang dan Ketua Kampung, Encik Abd Jalil bin Johari.

"Beramal kerana Allah"












Dilema pelajar tiada asrama



Ketepikan isu politik seketika. Selesaikan masalah pelajar kita, anak bangsa kita.

Ini sebahagian daripada masalah yang dihadapi oleh pelajar di Kolej Profesional Mara Beranang. Masalah tidak cukup asrama, bekalan elektrik sering terputus. Demi negara, demi rakyat, tolong fokus masalah rakyat. Cukup-cukuplah politik pentingkan tembolok sendiri. Saya rasa masalah ini bukan hanya di sini, malah di IPT seluruh negara.

Dilema pelajar tiada asrama
26 April 2016




SEMENYIH - Penduduk Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma Fasa 6, memohon pengurusan Kolej Profesional Mara Beranang, di sini, agar membina asrama atau penempatan berpusat bagi keselesaan pelajar kolej berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru kolej tersebut, Mohsin Ismail berkata, seramai 748 pelajar semester dua dan tiga kolej itu terpaksa menyewa di luar kampus kerana asrama sedia ada dipercayai sudah penuh.

Menurutnya, seramai 552 pelajar kolej berkenaan tinggal di asrama, selebihnya terpaksa menyewa di pangsapuri berhampiran, kadar sewa pula serendah RM350 seunit.

“Kami risau keselamatan pelajar, khususnya pelajar perempuan sebab pekerja kilang warga asing turut menyewa di pangsapuri itu.

“Kami juga bimbang kes khalwat babitkan pelajar jika tiada pemantauan khusus daripada pihak berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohsin berkata, pihaknya telah pun berbincang dengan pihak kolej terbabit tiga tahun lalu.

“Saya tak tahu apa perkembangan hasil perbincangan itu. Kami juga mohon Adun Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz bantu selesaikan masalah ini,” katanya.

Pihak pangsapuri pantau keselamatan

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga pangsapuri berkenaan, Razlin Sakbar berkata, pihaknya juga membantu memantau keselamatan penduduk termasuk pelajar yang menyewa di pangsapuri itu.

“Kami risau kes ragut terjadi pada pelajar perempuan, lagi-lagi pada waktu malam. Tapi kami pun tak boleh nak berkawal 24 jam sebab kami juga ada kerja lain untuk diuruskan,” katanya.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Mustaffa Othman turut memaklumkan, pihaknya menerima aduan daripada penduduk terhadap sikap segelintir pelajar yang dipercayai mengganggu ketenteraman penduduk pangsapuri.

“Mereka belajar secara berkumpulan jam 2 atau 3 pagi, lepas tu mereka  buat bising sampai ganggu jiran lain yang tengah tidur,” katanya.

Mustaffa berkata, pihaknya juga perlu membersihkan sampah yang dipercayai sengaja diletakkan segelintir pelajar di hadapan pintu rumah disewa.

“Setiap hari, pihak kami akan menyapu di setiap tingkat pangsapuri, ada pelajar hanya letakkan sampah di hadapan pintu rumah mereka, mereka tak buang pun di tempat yang kami sediakan,” katanya.

Adun beri cadangan

Sementara itu, Adun Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz telah mencadangkan beberapa inisiatif kepada pengurusan Kolej Profesional Mara Beranang bagi menyelesaikan masalah pelajar semester dua dan tiga yang terpaksa menyewa di luar kampus.

Beliau berkata, antara cadangannya adalah tiga asrama yang berada di kawasan itu boleh dijadikan asrama secara bersepadu.

“Jika ada tanah berhampiran untuk dijadikan pembinaan asrama berkenaan, saya akan cuba bangkitkan perkara ini dalam perbincangan bersama pengurusan itu akan datang.

“Cadangan ini boleh mengurangkan beban JMB dan Kawasan Rukun Tetangga pangsapuri yang memantau keselamatan pelajar,” katanya ketika mengulas isu  berkenaan.


Ada satu keluarga fakir miskin di Mambau, Seremban



Ada satu keluarga fakir miskin di Mambau, Seremban mengadu, bil airnya tinggi. Setelah disiasat ada kebocoran paip bawah tanah selepas meter air. Lalu saya cari kontraktor kampung yang lama tak dapat kerja dari agensi kerajaan. Setelah dibaiki pada 25 April 2016, kosnya RM380, paip besi lama dah berkarat teruk, tukar semua ke paip poly. Terima kasih kepada hamba Allah yang sudi menampung kos tersebut.




20160425

Orang susah bantu orang susah



Orang susah bantu orang susah. Ada keluarga miskin mohon barangan dapur. Ada keluarga susah mohon pinjam duit, untuk minyak kereta pergi kerja sementara dapat gaji. Lalu saya beri duit kepada yang perlu duit minyak sebagai upah dan untuk dia belikan barangan dapur lantas dihantar kepada keluarga miskin tadi. Menyelam sambil minum air, "Kill two birds with one stone"