KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20160426

Dilema pelajar tiada asrama



Ketepikan isu politik seketika. Selesaikan masalah pelajar kita, anak bangsa kita.

Ini sebahagian daripada masalah yang dihadapi oleh pelajar di Kolej Profesional Mara Beranang. Masalah tidak cukup asrama, bekalan elektrik sering terputus. Demi negara, demi rakyat, tolong fokus masalah rakyat. Cukup-cukuplah politik pentingkan tembolok sendiri. Saya rasa masalah ini bukan hanya di sini, malah di IPT seluruh negara.

Dilema pelajar tiada asrama
26 April 2016




SEMENYIH - Penduduk Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma Fasa 6, memohon pengurusan Kolej Profesional Mara Beranang, di sini, agar membina asrama atau penempatan berpusat bagi keselesaan pelajar kolej berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru kolej tersebut, Mohsin Ismail berkata, seramai 748 pelajar semester dua dan tiga kolej itu terpaksa menyewa di luar kampus kerana asrama sedia ada dipercayai sudah penuh.

Menurutnya, seramai 552 pelajar kolej berkenaan tinggal di asrama, selebihnya terpaksa menyewa di pangsapuri berhampiran, kadar sewa pula serendah RM350 seunit.

“Kami risau keselamatan pelajar, khususnya pelajar perempuan sebab pekerja kilang warga asing turut menyewa di pangsapuri itu.

“Kami juga bimbang kes khalwat babitkan pelajar jika tiada pemantauan khusus daripada pihak berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohsin berkata, pihaknya telah pun berbincang dengan pihak kolej terbabit tiga tahun lalu.

“Saya tak tahu apa perkembangan hasil perbincangan itu. Kami juga mohon Adun Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz bantu selesaikan masalah ini,” katanya.

Pihak pangsapuri pantau keselamatan

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga pangsapuri berkenaan, Razlin Sakbar berkata, pihaknya juga membantu memantau keselamatan penduduk termasuk pelajar yang menyewa di pangsapuri itu.

“Kami risau kes ragut terjadi pada pelajar perempuan, lagi-lagi pada waktu malam. Tapi kami pun tak boleh nak berkawal 24 jam sebab kami juga ada kerja lain untuk diuruskan,” katanya.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Mustaffa Othman turut memaklumkan, pihaknya menerima aduan daripada penduduk terhadap sikap segelintir pelajar yang dipercayai mengganggu ketenteraman penduduk pangsapuri.

“Mereka belajar secara berkumpulan jam 2 atau 3 pagi, lepas tu mereka  buat bising sampai ganggu jiran lain yang tengah tidur,” katanya.

Mustaffa berkata, pihaknya juga perlu membersihkan sampah yang dipercayai sengaja diletakkan segelintir pelajar di hadapan pintu rumah disewa.

“Setiap hari, pihak kami akan menyapu di setiap tingkat pangsapuri, ada pelajar hanya letakkan sampah di hadapan pintu rumah mereka, mereka tak buang pun di tempat yang kami sediakan,” katanya.

Adun beri cadangan

Sementara itu, Adun Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz telah mencadangkan beberapa inisiatif kepada pengurusan Kolej Profesional Mara Beranang bagi menyelesaikan masalah pelajar semester dua dan tiga yang terpaksa menyewa di luar kampus.

Beliau berkata, antara cadangannya adalah tiga asrama yang berada di kawasan itu boleh dijadikan asrama secara bersepadu.

“Jika ada tanah berhampiran untuk dijadikan pembinaan asrama berkenaan, saya akan cuba bangkitkan perkara ini dalam perbincangan bersama pengurusan itu akan datang.

“Cadangan ini boleh mengurangkan beban JMB dan Kawasan Rukun Tetangga pangsapuri yang memantau keselamatan pelajar,” katanya ketika mengulas isu  berkenaan.


Tiada ulasan: