Terima kasih Lembaga Muzium Negeri Sembilan
MERIAM DATO’ SHAHBANDAR HAJI MAT SETH
Tarikh : 17 Mac 2016 (Khamis)
Tempat : Kampung Nerambai, Lubuk Cina Rembau
Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah menjalankan kajian
meriam Dato’ Shahbandar Haji Mat Seth di Kampung Nerambai, Lubok Cina, Rembau.
Kajian ini telah dijalankan oleh Encik Mohd Nazim bin Abd. Gaman, Penolong
Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti Lembaga
Muzium Negeri Sembilan dan Encik Asrul Effendi bin Kamaruzzaman, Penolong
Kurator Unit Adat Perpatih.
Tujuan utama kajian ini dijalankan oleh pihak Lembaga Muzium
Negeri Sembilan adalah untuk mengiventorikan meriam ini sebagai warisan
bersejarah yang terdapat di negeri ini. Menurut Puan Rosyatimah binti
Shamsudin, 50 tahun Dato’ Shahbandar Haji Mat Seth adalah seorang saudagar yang
berasal dari Indonesia.
Beliau yang juga waris berkata bahawa Dato’ Shahbandar Haji
Mat Seth berkahwin dengan Nenek Raja. Meriam ini sudah ada di tapak sekarang
semenjak arwah ibunya lahir lagi dan tidak boleh dipindahkan sebarangan. Kata
arwah ibunya lagi jumlah kesemua meriam ini adalah 4 pucuk iaitu yang besar
adalah meriam manakala yang kecil pula adalah lela lantaka.
Kawasan yang menempatkan meriam ini perlu dibaikpulih
sebagai tempat bersejarah. Meriam ini sekarang diletakkan dalam kawasan yang
berpagar sumbangan daripada UMNO. Selain daripada itu, meriam ini juga pernah
disiarkan dalam rancangan Misteri Nusantara terbitan TV3 dan rencana
mengenainya turut dimuatkan dalam majalah Variasari.
Pihak TV3 juga telah menyalurkan sumbangan untuk mengecat
pagar tapak yang menempatkan meriam ini. Usia meriam ini dianggarkan lebih
daripada 500 tahun. Menurut Haji Ishak bin Haji Omar pula, 50 tahun daripada
sejarah yang pernah dibacanya Dato’ Shahbandar Haji Mat Seth telah melarikan
diri ke sini sewaktu Melaka diserang Portugis dan berkemungkinan besar meriam
ini turut dibawa bersama-sama dengannya.
Lubok Cina pada asalnya adalah sebuah pelabuhan sehingga ke
Kampung Penajis. Berkemungkinan gelaran Dato’ Shahbandar yang diberikan kepada
Haji Mat Seth adalah anugerah daripada Sultan Melaka. Meriam ini terletak dalam
tanah milik Allahyarhamah Puan Jaharah binti Sudin iaitu ibu kepada Puan
Rosyatimah binti Shamsuddin.
Sementara itu menurut Encik Mohd Nazim bin Abd. Gaman,
Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti
Lembaga Muzium Negeri Sembilan pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan sentiasa
mengambil perhatian dan maklum apabila berita mengenai meriam ini disiarkan
dalam akhbar Sinar Harian baru-baru ini. Pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan
menjalankan kajian dengan merujuk kepada buku yang bertajuk “Konservasi Artifak
Meriam Sejarah” terbitan Jabatan Muzium Malaysia.
Meriam terbahagi kepada dua jenis iaitu meriam itu sendiri
dan lela lantaka. Meriam kolonial adalah peninggalan penjajah Portugis, Belanda
dan British manakala meriam Melayu pula adalah lela lantaka. Bagi meriam
kolonial kegunaannya adalah sebagai pertahanan, amaran dan komunikasi.
Manakala lela lantaka adalah buatan orang Melayu di mana
lazimnya dimiliki oleh golongan bangsawan. Kegunaan lela lantaka adalah untuk
senjata peperangan, pertahanan, komunikasi, amaran, lambang kekuasaan, kekayaan
dan simbol status lambang kebesaran diraja. Tambahnya lagi hasil daripada
penelitian yang telah dijalankan oleh pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan
mendapati bahawa meriam ini adalah jenis meriam British.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan