29 Nov 2016 : Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
menggesa kerajaan menghentikan serta merta pengambilan pekerja Myanmar serta
memboikot perniagaan warga negara itu sebagai tanda bantahan terhadap kekejaman
ke atas etnik Rohingya. Gesaan lain termasuk menghentikan visa kemasukan
pekerja Myanmar ke negara ini dan membatalkan Myanmar sebagai negara sumber.
Presiden Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Dr
Noorazman Mohd Samsuddin, berkata dengan pembatalan visa itu, kerajaan
dicadangkan mengeluarkan pas khas kepada pelarian Rohingya di negara ini untuk
bekerja. Katanya, mekanisme itu bagi memenuhi keperluan tenaga asing di negara
ini dan orang pelarian akan dapat meneruskan hidup sebelum mereka dihantar
pulang. Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Persatuan Pengguna
Islam Malaysia, Persatuan Anak Muda Islam Malaysia dan Pertubuhan Penggerak
Ekonomi Islam Malaysia di sini, hari ini. Noorazman berkata, seramai 143,623
warga Myanmar bekerja di negara ini sudah banyak menimbulkan pelbagai masalah
sosial dan jenayah sehingga menimbulkan rasa tidak selesa rakyat tempatan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, pula menggesa semua pihak supaya
bersatu membantu nasib rakyat Rohingya. "Saya juga berharap pihak Istana
selaku ketua agama Islam campur tangan dan bersuara dalam isu ini,"
katanya.
- Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan