KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20120229

Sebelum nak hunus keris atau bertakbir dengar pesan orang Korea



Kepada anak muda yang berdarah muda, yang terikut-ikutkan dengan slogan Hidup Melayu, Hunus Keris dan slogan Takbir , tolong baca apa pesan orang Korea mengenai jati diri orang Melayu. Juga kepada anak muda yang minat sangat cerita Korea sekarang ini, baca apa orang Korea ini kata mengenai orang Melayu.

Tolong baca sampai habis adakah pemimpin atasan, Presiden parti, Menteri Besar kita dan lain-lain pimpinan Melayu dan Islam cakap serupa bikin.

(Menurutnya, di Korea, bahasa dan tulisan Korea adalah jati diri mereka. Beliau berharap rakyat di negara ini mempelajari tulisan jawi agar khazanah kebudayaan nasional itu tidak terus ditelan arus pemodenan.)

JAWI BAWA KYOUNG SEOK KE MALAYSIA DALAMI JAWI
29 Feb 2012

SEJAK bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) empat tahun lalu, Prof. Dr. Kang Kyoung Seok mengakui beliau begitu berminat untuk mempelajari tulisan jawi.

Menurut Kyoung Seok, 57, beliau banyak mendengar pelbagai cerita tentang keunikan tulisan jawi daripada salah salah seorang pensyarahnya di Universiti Hankook, Korea Selatan.

Pada masa itu, beliau mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang bahasa Melayu dan Indonesia di universiti berkenaan pada tahun 1974.

Namun, apa yang meruntun jiwanya apabila pensyarah terbabit tidak mengetahui mengenai tulisan jawi secara mendalam.

Malah pada masa itu, beliau juga tidak boleh mencari maklumat mengenai tulisan tersebut memandangkan di negaranya tiada bahan rujukan mengenai tulisan jawi.

Namun, rasa ingin tahu itu tidak terhenti di situ sahaja. Pada tahun 1982 beliau bertemu seorang pendakwah, Abdul Ghani dari Thailand di Pusan.

Anak jati Seoul, Korea ini mula mengenali huruf-huruf jawi dengan bantuan Abdul Ghani. Pada tahun 1984 beliau membuat keputusan berhijrah ke Malaysia untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Bahkan Kyoung Seok tahu, tulisan jawi merupakan seni penulisan yang berakar umbi di negara ini.

"Bukan mudah untuk saya masuk ke sini (Malaysia) kerana saya telah memohon beberapa kali untuk melanjutkan pengajian sehinggalah suatu hari itu saya menggunakan tulisan jawi untuk membuat permohonan itu.

"Seingat saya, sebelum ini semua surat permohonan ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi saya kecewa kerana tidak menerima sebarang jawapan sehinggalah suatu hari itu terlintas di fikiran untuk menulisnya menggunakan tulisan jawi," katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Tanpa diduga, dalam beberapa hari sahaja beliau menerima jawapan daripada kerajaan Malaysia. Bapa kepada dua anak ini memberitahu, beliau terkejut apabila membaca isi kandungan surat terbabit kerana kerajaan negara ini memberinya peluang untuk ke sini.

Sepanjang pertemuan dengan lelaki separuh abad yang beruban dan berkaca mata itu, semangatnya tentang tulisan jawi cukup membara. Buktinya, di atas meja beliau penuh dengan bahan-bahan kajian mengenai tulisan jawi. Penampilannya juga sedikit berbeza. Kemeja putih lengan panjang yang dipakainya dipadankan dengan skaf di leher seakan-akan tali leher.

Temu bual yang berlangsung selama hampir dua jam di UPSI itu, jelas mempamerkan keramahan dan kepakarannya dalam tulisan jawi.

Kyoung Seok menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan memperoleh Ijazah Sarjana yang kedua dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1987. Lima tahun kemudian, beliau memperoleh doktor falsafah dari universiti yang sama.

Menyentuh mengenai kajiannya, Kyoung Seok memberitahu, beliau pernah menjalankan beberapa kajian mengenai sistem tulisan jawi, transliterasi manuskrip jawi, seni khat Jawi, pengajaran bahasa Korea dengan tulisan jawi, pola ayat bahasa Melayu-Indonesia, dan Batu Bersurat Terengganu.

Setakat ini, beliau juga telah menerbitkan beberapa buah buku yang bertajuk, Perkembangan Tulisan Jawi Dalam Masyarakat Melayu, Bahasa Melayu Dalam Empat Minggu, Malay Tulisan Jawi, Bahasa Indonesia-Malaysia patternzip, dan Gaya Bahasa Sejarah Melayu.

Ghairah berbicara mengenai kajian dan buku tulisan jawi, beliau mengakui tulisan tersebut mempunyai satu tarikan dan keunikan istimewa terutama dalam al-Quran.

"Saya acap kali tertanya-tanya bagaimana tulisan jawi dalam al-Quran boleh menghasilkan kaedah bacaan dalam pelbagai intonasi yang berbeza,"akuinya setiap kali mendengar bacaan al-Quran beliau berasa tenang.

Dalam keghairahan beliau menceritakan keunikan tulisan estetik itu, secara tiba-tiba nada percakapannya bertukar sayu ketika dilemparkan soalan nasib tulisan itu di negara ini.

Beliau menyuarakan kekesalan terhadap sikap golongan muda yang tidak endah dengan tulisan jawi.

Kyoung Seok berpendapat, jika keadaan itu berterusan, tulisan jawi bermungkinan terkubur suatu hari nanti. Lagipun, ramai pakar jawi yang dikenalinya telah bersara.

Justeru, beliau berharap pihak media, kerajaan termasuk Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi terus terpelihara.

Menurut Kyoung Seok, sejak kebelakangan ini nilai tulisan jawi yang berteraskan al-Quran tidak dijulang dan usaha-usaha yang dilakukan dilihat kurang berjaya.

Menurutnya, di Korea, bahasa dan tulisan Korea adalah jati diri mereka. Beliau berharap rakyat di negara ini mempelajari tulisan jawi agar khazanah kebudayaan nasional itu tidak terus ditelan arus pemodenan.

"Khazanah ini perlu diangkat semula kerana ia sebahagian daripada warisan sejarah Melayu. Sudah tiba masanya, pelbagai langkah perlu diambil supaya generasi muda tidak melupakan asal usul yang membentuk jati diri orang Melayu,"ujarnya.

Sehubungan itu, Kyoung Seok mencadangkan supaya sistem ejaan jawi yang digunakan sekarang perlu diganti kepada sistem ejaan jawi Za'ba kerana ia ringkas dan mudah dipelajari.

Malah, jika rakyat Malaysia mempelajari ejaan jawi Za'ba, mereka lebih mudah memahami sistem ejaan jawi yang lebih kuno sekali gus boleh memahami manuskrip jawi berusia ratusan tahun memandangkan ejaan jawi Za'ba menggunakan asas yang sama dengan tulisan jawi kuno yang berasal daripada tulisan al-Quran," ujarnya yang kini sibuk menyiapkan sebuah kamus mengenai langkah perkembangan tulisan jawi. Kamus itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0229&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

3 ulasan:

mata&minda berkata...

andai tiada slogan hidup melayu, hunus keris & laungan takbir, tak merdekalah negara ini.. (boleh tanya pejuang2 pra merdeka dulu)...
mmg bagus ada bangsa asing yg minat belajar bahasa, budaya,tulisan hatta agama kita sekalipun..tapi sentiasalah berwaspada krn neokolonialis / perisik asing juga belajar bahasa & budaya tempatan utk tujuan tertentu..ada yg siap ada phD lg..

presa1200 berkata...

tolong skit, kalo bkan sbb pemimpin2 melayu yg sanggup membelot rakyat sndiri demi kepentingan pihak British ingat senang2 dpt merdeka ke? pejuang2 nasionalis diagung2kan tp pejuang2 islam spt tok kenali, tok janggut dll yg benar2 melawan penjajah pula diketepikan.

Tanpa Nama berkata...

siapa pun yg berjuang dgn ikhlas, pasti ada balasannya di sisi Allah.. pejuang2 islam berjuang bukan utk masuk dlm buku teks, tp lillahi taala...nasonalis/islamis hanya istilah..Tuhan sj lebih tau isi hati masing2, bkn hak manusia utk menilai..