KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20120208

Terpaksa jual perabut nak beli baju Puteri Islam



Kadang-kadang kita ingat kita susah, rupanya ada ramai lagi yang lebih susah dari kita. Kita ingatkan orang yang duduk rumah teres ada pekerjaan tetap ini hidup mereka tak susah, tetapi tidak. Saya dikhabarkan kisah sebuah keluarga di Malaysia yang pendapatan keluarga tersebut di bawah RM1500 sebulan.

Akibat kesempitan hidup di bandar, selepas bayar duit rumah, hutang kereta (bawah RM250) dan macam-macam lagi, akhirnya yang tinggal tidak cukup untuk belanja dapur.

Akhirnya satu demi satu barang di rumah terpaksa dijual bermula dari barang kemas hinggalah ke perabot, semata-mata untuk membeli lampin anak, susu anak, belanja sekolah anak. Anak mereka ke sekolah hanya berjalan kaki, dibekalkan hanya RM1 sehari, kalau ada kelas Kafa sampai petang ditambahlah RM1 lagi.

Baru-baru ini, keluarga tadi terpaksa menjual lagi salah satu perabot mereka hanya semata-mata untuk membeli pakaian seragam Puteri Islam anak mereka.

(Sekarang ni pula sekolah tak macam zaman kita dulu. Saya di sekolah dulu masuk Kadet Tentera, semua pakaian percuma, baju percuma, beret percuma, kasut percuma. Sekarang ni aktiviti ko kurikulum di sekolah semua kena beli).

(Minggu lepas isteri saya beli pakaian Pengakap untuk anak. Lebih kurang RM100 kosnya dari baju dan macam-macam lagi. Sebelum ni anak saya menyertai pasukan kadet. Isteri saya kata, pakain kadet tersebut masih elok lagi sebab jarang pakai, dia minta anak beri pada cikgu sekolah, supaya boleh beri kepada sesiapa yang perlu).

Punyalah susah keluarga tadi nak bayar bil elektrik tak sampai RM25 sebulan dan bil air tak sampai RM10 sebulan pun mereka tak mampu dan kini tertunggak hingga ratusan ringgit.

Apabila kerajaan memberi bantuan RM100 kepada pelajar sekolah, si ibu dengan rasa berat hati minta izin daripada anaknya untuk membayar sedikit bil elektrik dan air.

Dikhabarkan pula keluarga ini juga tidak layak dapat bantuan RM500 BR1M kerana terdapat kesilapan masuk maklumat pada borang.

Apa yang menyentuh perasaan, ialah keluarga ini bukannya mahu kita beri derma, atau sedekah kepada mereka. Hanya mereka mahukan pandangan bagaimana kita semua boleh membantu beribu-ribu, puluhan ribu mungkin ratusan ribu keluarga seperti ini keluar dari kepompong kesusahan, di luar nampak OK tetapi hakikatnya tidak.

Rozmal bin Malakan
http://waghih.blogspot.com/

Di sini saya ingin mengemukakan pandangan saya mengenai isu ini :

1. Menyarankan agar Kementerian Pelajaran mewujudkan satu kumpulan ko-kurikulum yang membolehkan para pelajarnya memakai pakaian sekolah biasa atau pakaian sukan sekolah. Mungkin boleh beri nama Briged Sukarela.

2. Semua pihak sekolah dan PIBG membuat aktiviti mengumpul pakaian sekolah terpakai, pakain seragam terpakai, kasut sekolah terpakai, beg sekolah terpakai yang masih elok untuk diagihkan kepada pelajar dari keluarga yang sebegini.

3. Memberi kelonggaran kepada keluarga sebegini dikecualikan dari Yuran KAFA, Duit Majalah Sekolah dan sebagainya.

4. Baitul Mal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenal pasti keluarga sebegini dan memberi pertimbangan untuk membantu mereka khususnya untuk membeli pakaian seragam Puteri Islam dan sebagainya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kenapa membebankan diri? Buatlah surat kepada pengetua sekolah untuk mohon pengecualian atas alasan tidak mampu. Sekiranya tidak dilayan, buatlah surat kepada KP Pelajaran untuk mohon pengecualian. Takkanlah mereka zalim sangat sehingga memaksa ibu bapa sampai berhutang cuma untuk membeli pakaian seragam kelab/persatuan.