KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051108

Kemalangan jalanraya : Kaji dulu punca sebelum bertindak

Tambah masa latihan untuk kelas memandu, tarik serta merta lesen pemandu yang cuai, kenakan hukuman maksima, hanya 10 tahun pengalaman boleh memandu kenderaan awam dan pelbagai lagi kenyataan yang dikeluarkan terutamanya diperingkat kepimpinan negara dan kementerian menggambarkan seolah-olah kes kemalangan jalanraya akan dapat dikurangkan jika langkah sedemikian diambil.

Sebelum kita pergi lebih jauh bentuk tindakan yang perlu diambil, apakah punca sebenar kemalangan jalanraya di negara ini telah di kenal pasti ? Saya kira Majlis Keselamatan Jalanraya dan beberapa agensi lain serta institut pengajian tinggi ada membuat kajian terperinci mengenai punca kemalangan jalanraya di Malaysia ini dan telah mengesyorkan beberapa cadangan yang perlu diambil. Persoalannya adalah kajian ini didedahkan kepada umum untuk dinilai serta diberi peluang kepada orangramai untuk memberikan maklum balas ?

Untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu, perlulah dikenal pasti puncanya terlebih dahulu. Setelah dikenal pasti puncanya maka hendaklah dikenal pasti cara penyelesaiannya pula. Dan punca ini hendaklah berasaskan kepada statistik dan fakta bukan andaian semata-mata.

Punca kemalangan jalanraya ini hendaklah diletakkan prioriti atau keutamaan mana yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jika statistik menunjukkan punca kemalangan jalanraya pada musim perayaan adalah akibat pemandu yang mabuk adalah yang tertinggi maka penyelesaian kepada masalah pemandu yang mabuk harus dicari. Pemandu yang menjalani latihan 100 jam sekali pun dan mempunyai 20 tahun pengalaman sekiranya dia mabuk akan mendatangkan risiko kepada diri mereka sendiri dan nyawa orang lain. Begitulah juga kepada pemandu yang mengambil dadah, ganja dan pil khayal.

Sekiranya statistik di sesuatu tempat itu menunjukkan bahawa keadaan jalanraya yang tidak sempurna adalah punca kemalangan tertinggi ditempat tersebut maka pendekatan kejuruteraan haruslah diambil untuk memperbaiki keadaan jalan tersebut. Kompaun dan denda yang maksima tidak akan dapat menyelesaikan masalah kemalangan yang tinggi di kawasan tersebut.

Begitulah juga jika statistik di kawasan lain pula menunjukkan bahawa pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu adalah penyebab tertinggi kes kemalangan di tempat tersebut maka satu tindakan yang komprehensif haruslah diambil untuk mempastikan tiada pemandu yang memandu kenderaan tanpa lesen memandu. Menambahkan lagi masa latihan memandu, akan menambahkan kos serta masa. Ianya akan menjauhkan lagi mereka yang tiada lesen memandu untuk mengambil lesen memandu. Begitu juga menggantung lesen memandu mereka yang kerap melakukan kesalahan (pemandu tegar) tidak akan menghalang mereka ini daripada terus memandu tanpa lesen.

Mungkin juga ada hasil kajian yang menunjukkan pemandu di Malaysia ini menghadapi masalah jiwa atau saikologi dimana mereka ini sentiasa ingin memandu dalam keadaan terburu-buru, tidak suka dicabar di jalanraya, sentiasa ingin cepat sampai dan seterusnya. Jika statistik menunjukkan punca sebegini banyak berlaku akibat kesesakan jalanraya atau tekanan hidup maka penyelesaian secara saikologi atau batiniah pula yang perlu diambil.

Di Amerika contohnya mereka ada persatuan yang diberi nama MADD (Mothers Against Drunk Drivers) iaitu Persatuan Ibu-Ibu Yang Menentang Pemandu Mabuk. Persatuan ini ditubuhkan untuk melindungi anak-anak mereka daripada pemandu-pemandu yang mabuk dimana mereka memberikan program kesedaran kepada para remaja agar tidak memandu dalam keadaan mabuk. Apa salahnya di Malaysia ini atas inisiatif rakyat sendiri menubuhkan persatuan yang sedemikian ? Persatuan ini boleh memberikan cadangan kepada kerajaan agar menghalang atau menghadkan penjualan arak pada musim perayaan atau hujung minggu , terutamanya di kedai-kedai 24 jam yang mudah didapati di Malaysia ini.

Apa yang peliknya ialah ujian memandu di Amerika Syarikat adalah begitu mudah , namun ianya tidak pula melahirkan ramai pemandu-pemandu suka memotong laluan, pemandu-pemandu yang kreap membunyikan hon, pemandu-pemandu yang membuang sampah dari tingkap kenderaan. Malah tiada dikenakan syarat perlu menjalani latihan selama sekian jam dan sebagainya. Apa yang perlu mereka lakukan ialah cuma ujian mata, samada rabun dekat, rabun jauh atau rabun warna. Kemudian ujian objektif yang begitu mudah dan murah, jika gagal hari ini, boleh datang esok. Jika gagal esok boleh datang lusa. Sehinggalah kita boleh menghafal semua soalan dan jawapan yang diberikan. Selepas itu barulah diadakan ujian memandu yang juga begitu mudah, jika gagal hari ini, boleh datang esok dan seterusnya.

Apakah pemandu-pemandu di Malaysia ini memberontak secara senyap (silent protest) kerana setelah melalui ujian memandu yang begitu lama, payah dan mahal mereka boleh memandu dengan sewenang-wenangnya kerana mereka memiliki lesen memandu yang paling sukar untuk lulus di dunia ?

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang, NS