KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051122

Majlis Agama Islam N.Sembilan wajar contohi Pusat Zakat Selangor

Ramadhan baru berlalu, namun umat Islam masih lagi dalam kehangatan meraikan Syawal. Ramadhan mengingatkan kembali betapa umat Islam digalakkan membantu mereka yang tidak bernasib baik, golongan fakir miskin dan anak-anak yatim

Terdengar juga keluhan daripada beberapa golongan yang kurang mampu, mereka yang berpendapatan rendah yang tidak mendapat bantuan Idil Fitri daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Ianya bukan berpunca MAINS tidak mempunyai dana kutipan zakat yang mencukupi, tetapi puncanya ialah MAINS tidak mempunyai kakitangan yang cukup, cekap dan terlatih.

Ini jelas terbukti apabila dibandingkan dengan Pusat Zakat Selangor, MAINS yang dibawahnya Pusat Zakat Negeri Sembilan dan Baitul Mal tidak mempunyai laman web yang mesra pengguna, dimana umat Islam di negeri ini dapat mengakses internet dengan mudah untuk mengetahui perkembangan terkini kutipan dan agihan zakat di negeri ini. Bukan itu sahaja , bahkan Pusat Zakat Selangor menyediakan borang bantuan zakat secara “on-line” yang sudah pasti memudahkan jawatankuasa masjid dan surau untuk menyalurkan maklumat terkini ahli kariah mereka yang memerlukan bantuan zakat.

Menurut maklumat yang disediakan dalam laman web Pusat Zakat Selangor ( www.e-zakat.com.my ) ini banyak bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada umat Islam yang memerlukan yang termasuk dalam lapan asnaf penerima zakat iaitu golongan Fakir, Miskin, Amil, Muallaf, Riqab, Gharim, Fisabillilah dan Ibnu Sabil. Sementara bentuk bantuan yang disediakan untuk golongan ini ialah Bantuan Hari Raya, Bantuan Bulanan , Bantuan Perniagaan , Bantuan Pelajaran Anak Miskin , Bantuan Rumah , Bantuan Sambutan Hari Kebesaran Islam , Bantuan Perikanan , Bantuan Penternakan , Bantuan Pertanian , Bantuan Perubatan dan banyak lagi bentuk bantuan yang disediakan.

Sebaliknya pula laman web Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menggambarkan seolah-olah umat Islam di Negeri Sembilan di negeri ini hidup dalam kemewahan dan tiada fakir miskin yang perlu diberikan zakat. Sedangkan apa yang digambarkan dalam program BersamaMu TV3 baru-baru ini menceritakan nasib susah seorang nenek tua di Lubuk Cina , Negeri Sembilan. Dan saban hari di dada-dada akhbar sering menyiarkan golongan yang sentiasa memerlukan bantuan sesuap nasi, pembiayaan pembelajaran dan bantuan perubatan.

Statistik kutipan dan pengagihan zakat haruslah didedahkan dari masa ke semasa kepada umat Islam di negeri ini sebagaimana yang dilakukan oleh Pusat Zakat Selangor, agar dengan ini akan menambahkan lagi keyakinan umat Islam di negeri ini bahawa wang zakat yang dikutip disalurkan kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Jika tidak umat Islam di negeri ini beranggapan MAINS hanya dibebankan untuk membeli bangunan rumah, kedai serta projek yang tidak laku untuk menyelamatkan sesetengah individu ataupun syarikat. Ini terbukti apabila deretan kedai pejabat di Taman Alamanda , Senawang sejak 5 tahun dahulu yang tidak sampai 50 peratus penyewanya telah dibeli oleh MAINS Holding baru-baru ini. Sedangkan dalam siaran Buletin Utama TV3 beberapa bulan yang lalu menceritakan bagaimana daifnya Sekolah Menengah Agama Telok Kemang yang mana ada perkakasannya tidak pernah diganti sejak ianya ditubuhkan.

Malah laman web MAINS ( www.mains.gov.my , www.zakatns.com.my ) hanya menyiarkan kemajuan sektor korporat yang diterajui MAINS dan tidak menceritakan keadaan sebenar fakir, miskin, pelajar yang memerlukan bantuan biasiswa walaupun terdapat laporan agihan dan kutipan zakat 2004. Antara laporan kemajuan yang terdapat dalam laman web MAINS ialah :

1. MAINS Holdings. EDI Fajar Dev didaftarkan pada 22 Januari 1997. Kemudian ditukarkan nama kepada MAINS Holding Sdn. Bhd. pada 10 November 1998. Sebuah anak syarikat penuh milik MAINS yang menguruskan aset-aset, hartanah dan pelaburan MAINS agar dapat meningkatkan kecekapan pengurusan serta menambahkan sumber pendapatan MAINS. Modal yang dibenarkan syarikat berjumlah RM5 juta manakala modal berbayar RM750,000

2. Hospital Pakar Seremban - Perjanjian usahasama telah dimeterai pada 15 Mei 1995 di antara MAINS dengan Syarikat Kumpulan Perubatan Johor Sdn. Bhd. (KPJ Sdn. Bhd.) iaitu anak syarikat Perbadanan Johor untuk membina sebuah Hospital Pakar di seremban
Modal dibenarkan untuk syarikat adalah sebanyak RM20.5 juta. MAINS memegang Ekuiti sebanyak 45% manakala KPJ sebanyak 55%. Kerja-kerja tapak sudah pun bermula pada 9 Januari 1998 dan dijangka beroperasi pada tahun akhir 2004

3. Syarikat Ladang Bangka Ulu Sdn. Bhd .Ditubuhkan pada 18 Januari 1989 dengan modal dibenarkan RM25 juta dan modal berbayar sebanyak RM25 juta. Nilai buku bersih pada Mac 2003 berjumlah RM30.63 juta . Sebuah syarikat milik bersama di mana MAINS memegang ekuiti sebanyak 49% dan TH Plantation iaitu anak syarikat Lembaga Tabung Haji pula sebanyak 51%
Menjalankan projek ladang kelapa sawit di Gemas dan Tampin dengan keluasan lebih kurang 6000 ekar . Sehingga 2003 MAINS telah menerima pulangan keuntungan sejumlah RM1,092,700

4. Klinik Waqaf An-Nur MAINS . Klinik ini diusahakan oleh MAINS dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Johor. Mula beroperasi pada 6 Okt 2003 di Pusat Perniagaan senawang di rumah kedai 2 tingkat yang telah dibeli oleh MAINS dengan harga RM360,000. Sumber kewangan diperolehi dari sumbangan sedekah dan wakaf dari orang ramai, pertubuhan serta syarikat
Menawarkan perkhidmatan perubatan pada kadar caj yang minima. Klinik juga menawarkan perkhidmatan dialisis

5. Pusat Kaunseling MAINS. Pusat Kaunseling MAINS ditubuhkan pada 22 Februari 2000
Beroperasi di lot milik MAINS di Pusat Perniagaan Terminal One, Seremban & Tampin Square , Tampin mempunyai 5 kaunselor dan 2 Pembantu Tadbir. Memberi khidmat kaunseling percuma kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan bangsa

6. Pusat Zakat Negeri Sembilan . Ditubuhkan pada 29 September 1998 . Sebuah anak syarikat milik penuh MAINS yang bertanggungjawab mengurus hal ehwal pungutan zakat di Negeri Sembilan . Mempunyai modal dibenarkan RM500,000 dan modal berbayar sebanyak RM500,000
Mula beroperasi pada 2 Januari 1999 dengan ibu pejabat di Pusat Perniagaan Betaria Seremban dengan 8 cawangan PZNS di seluruh Negeri Sembilan