KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060409

Anak Yatim Pembawa Rezeki – Bersama Mu YAMNS

Sabtu 8 April 2006 merupakan hari yang penuh dengan kenangan. Seperti biasa sebelah paginya melakukan kerja-kerja di rumah yang banyak tertangguh akibat kesibukan kerja pada hari biasa. Pada waktu tengahari sedang saya mengemas kertas-kertas dan fail di tingkat atas terdengar loceng rumah berbunyi “Assalamualaikum”. Anak saya dibawah memberitahu saya ada orang jual buku.

Apabila saya membuka pintu rumah didapati seorang budak lelaki dalam usia 12-14 tahun memegang beg plastik dan memberitahu ada buku-buku agama untuk dijual. Saya mengajak budak tadi duduk di bangku santai di luar rumah.

Sambil membelek-belek buku-buku sekitar 10-15 buah saya tanya budak tadi dari mana ? Dia kata dia dari Taman Ampangan. Saya tanya lagi sekolah mana ? Dia kata Sekolah Seri Ampangan. Saya tanya lagi ayah kerja apa ? Dia kata ayah dah meninggal. Saya masih membelek-belek buku yang sesuai untuk dibeli sambil anak-anak saya memerhatikan perbualan kami. Kemudian saya tanya, emak kerja apa ? Emak tak kerja. Saya tanya lagi, adik beradik berapa orang ? Jawabnya 6 orang. Saya bertanya abang dan kakak dah kerja ? Dia kata abang kerja di Alor Star, kakak dah kahwin ikut suami di KL.

Selepas puas membelek buku saya tanya anak-anak saya 2 buah buku, satu buku doa harian dengan ilustrasi satu lagi buku kisah-kisah tauladan. Anak-anak saya bersetuju. Saya tanya berapa harganya. Dia kata yang satu tu RM 7, yang satu tu RM 12. Lalu saya menghulurkan RM 20, budak tadi hendak memulangkan baki, saya kata tak apalah, simpan sahaja.

Lalu saya tanya, dah makan belum ? Dia kata belum makan. Saya tanya selalu makan apa tengahari ? Dia kata emak dia masak nasi dengan sayur sahaja. Saya tanya nak makan tak ? Dia mengangguk. Kebetulan isteri saya sudah selesai masak tengahari , lauk ikan kembung goreng dan gulai lemak cili api letak nenas dan ikan kurau kering. Saya tanya gulai makan tak ? Dia kata tak suka gulai. Ikan goreng dengan kicap sahaja boleh tak ? Dia mengangguk. Kemudian kakaknya juga yang sedang menjual buku rumah ke rumah lalu dihadapan, lalu saya mengajak sekali makan.

Isteri saya menyediakan makan tengahari, nasi, ikan goreng dan gulai serta air kosong untuk 2 orang. Dihidangkan diluar rumah, yang memang ada diletakkan kerusi serta meja untuk bersantai. Budak tadi pun makanlah adik beradik diluar dengan penuh sopan, tidak berebut-rebut. Yang adik cuma makan ikan kembung goreng, nasi dengan kicap. Yang kakak nampaknya suka gulai. Nampak dari raut wajah mereka seperti mereka lama tidak makan nasi berlauk melainkan lauk sayur. Setelah selesai makan, budak-budak tadi pun, mengucapkan terima kasih dan meneruskan usaha mencari rezeki menjual buku rumah ke rumah.

Tengahari tersebut isteri saya sudah agak lama menyiapkan makan tengahari, tapi nampaknya anak-anak saya tidak ada selera nak makan. Selepas anak-anak saya memerhatikan tetamu tadi makan dengan berselera lalu anak-anak saya pun begitu berselera makan tengahari sampai tak cukup nasi. Lalu isteri saya beritahu anak-anak kami yang kita patut banyak bersyukur, tengok budak-budak tadi macamana susah mereka, begitu bersyukur dan berselera makan walaupun hanya ikan goreng dan kicap.

Dua buah buku yang dibeli juga begitu menarik minat anak saya untuk membacanya. Walhal kalau dicari dikedai pun ada dijual buku tersebut. Kalau sebelum ini anak-anak lelaki saya membaca buku komik naruto atas tilam, saya perhatikan mereka membaca buku kisah tauladan dengan begitu khusyuk tanpa henti-henti.

Begitulah ceritanya tetamu yang tidak diundang, tetapi membawa bersama mereka keberkatan dan rahmat, tambahan pula anak-anak yatim.

Tidak lama selepas itu hujan mula turun. Jam 3.30 petang hujan mula turun dengan lebatnya di Senawang dan Seremban. Jam 4 petang ribut melanda, hinggakan sebelum ini tak pernah hujan tempias di bilik belakang, ianya tempias meleleh di tingkap belakang.

Mulanya angin kencang bertiup dari arah kiri ke kanan rumah. Selepas itu diperhatikan pula arah angin berpusing 180 darjah dari kanan ke kiri pula. Guruh dan petir berdentum, kilat sabung menyabung. Deruan hujan begitu kuat. Hampir Asr hujan mula reda. Lalu saya pergi ke surau sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Hujan masih turun tetapi tidak lebat. Khemah di surau roboh akibat ribut. Surau Alamanda Alhamdulillah tiada kerosakan. Diperhatikan beberapa batang pokok tumbang. Keesokan harinya laporan akhbar mengatakan ribut tadi mendatangkan kerosakan yang agak teruk sekitar Senawang dan Seremban. Dan ada yang mengatakan angin puting beliung melanda.

Malam sebelum kejadian Dato Hj Arshad bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah NS menyampaikan Kuliah Feqah di Surau Alamanda, bab nikah kahwin, perceraian dsbnya. Pada akhir kuliah beliau memberitahu segala bencana alam yang berlaku sekarang ini adalah bala dan ada sebab dan hikmahnya. Semua harta yang ada pada kita ini milik Allah dan akan ditanya kelak katanya. Kereta yang kita beli adakah kita gunakan jalan yang betul. Kalau hujan adakah kita ke surau menaiki kereta, atau sayang nak pakai kereta pergi surau bila hujan kerana kereta baru dibasuh.

Kata-kata Us Arshad malam tersebut terngiang-ngiang apabila menyaksikan kemusnahan depan mata akibat ribut yang melanda Seremban pada 8 April 2006, tarikh yang sama kami sekeluarga dikunjungi tetamu yang amat istimewa.