KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060412

Syor orang Hindu cara perangi rasuah di Malaysia

Artikel ini dipetik dari ruangan surat pembaca Berita Harian 12 April 2006. Apa yang menarik ianya ditulis oleh warganegara Malaysia yang beragama Hindu. Jika orang Hindu begitu prihatin mengenai soal rasuah, sumber rezeki yang halal, bagaimana dengan kita orang Melayu serta umat Islam di Malaysia ini ? Jika orang India di Malaysia boleh menulis dengan gaya bahasa Melayu yang tersusun, bagaimana kita orang Melayu ?

**********************************

Pengundi boleh perangi rasuah, oleh K PUVIRAJAN, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

KITA harus sedar bahawa orang yang hendak memerangi gejala rasuah, haruslah terlebih dulu membuktikan dirinya bebas daripada rasuah.

Soalannya bagaimana membuktikan seseorang itu bebas daripada rasuah? Pada 3 April lalu, akhbar The New Straits Times menyiarkan temu ramah dengan Pengerusi Transparency National, Tan Sri Ramon Navaratnam.

Beliau mengatakan rakyat boleh memainkan peranan besar dalam memerangi rasuah dengan tidak memilih semula ahli Parlimen yang pernah terbabit dalam kegiatan itu. Juga disarankan supaya pengundi melihat rekod setiap calon bertanding untuk mengetahui sama ada calon itu bersih daripada rasuah.

Dengan berbuat demikian beliau berpendapat pengundi boleh membuat pilihan bijak ketika mengundi dalam pilihan raya. Calon disyaki dicemari rasuah harus ditolak, tegasnya.

Adakah mustahil untuk kita menggubal undang-undang mewajibkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen mengisytiharkan jumlah pendapatan tahunan daripada semua sumber serta semua pembelian aset dan simpanan wang kepada pengundi di kawasan masing-masing setiap tahun?

Setiap ahli Parlimen dan Adun harus mempamerkan maklumat mengenai jumlah pendapatan dan pemilikan harta di kawasan yang ditandingi dan menang, serta ketika pilihan raya di kawasan bertanding supaya rakyat dapat menyemak rekod calon seperti yang disyorkan Ramon.

Lihat saja maklumat di tempat awam seperti poster ketika pilihan raya. Juga boleh diletakkan satu buku yang lengkap dengan maklumat berkenaan di tempat tertentu.

Jadi apa salahnya jika pengundi mengetahui pendapatan serta aset calon mereka.

Adakah mereka yang hidup mewah itu mendapat pendapatan daripada sumber yang halal? Adakah mereka ini hidup mewah di luar kemampuan? Soalan seperti ini akan ditanya rakyat.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Surat/20060411214424/Article/