KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060417

Jabatan Alam Sekitar perlu contohi MPS tangani masalah alam sekitar

Saban hari alam sekitar di Malaysia ini menjadi perbualan hangat kerana yang menerima bahana akibat permasalahan alam sekitar yang tercemar ialah orang ramai.

Yang menjadi mangsanya pula ialah Jabatan Alam Sekitar. Sedangkan orang ramai tidak mengetahui kedudukan sebenar Jabatan Alam Sekitar samada mereka mempunya sumber yang secukupnya untuk menangani masalah alam sekitar yang semakin mencabar mutakhir ini. Samada sumber yang cukup dari segi kakitangan penguatkuasa, sumber yang cukup dari segi kemudahan pengangkutan seperti helikopter untuk mengawasi sungai yang tercemar, sumber kewangan yang mencukupi untuk mengendalikan sistem maklumat yang berkesan dan seterusnya.

Yang pasti ada golongan yang seronok menuding jari kepada pihak tertentu apabila sesuatu masalah itu timbul tanpa menyedari hakikat sebenar permasalahan serta puncanya.

Apa yang ingin saya cadangkan disini ialah orang ramai yang prihatin akan masalah alam sekitar haruslah menjadi mata dan telinga kepada Jabatan Alam Sekitar. Sekiranya mereka mempunyai masalah berkenaan alam sekitar mereka boleh membuat aduan secara terus kepada Jabatan Alam Sekitar sepertimana Polis DiRaja Malaysia mengadakan konsep Rakan Cop untuk mengawal jenayah di Malaysia ini.

Pujian harus diberikan kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) kerana mereka mempunyai sistem mata dan telinga yang cukup efisien untuk orang ramai membuat aduan secara terus dan secara rasmi kepada MPS mengenai permasalahan berkaitan pihak berkuasa tempatan melalui sistem e-Public.

Saya telah menggunakan sistem e-Public MPS ini sejak ianya mula dilancarkan. Dan saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan dan maklumbalas serta tindakan susulan pihak MPS melalui sistem ini. Setiap aduan yang dibuat melalui e-Public ini direkodkan dan dapat disemak status pelaksanaannya dari masa ke semasa oleh pengadu.

Justeru itu sekiranya Jabatan Alam Sekitar dapat mengintegrasikan sistem seumpama e-Public atau Rakan Cop untuk mengawasi permasalahan alam sekitar, sudah pasti penjenayah-penjenayah alam sekitar tidak lagi akan bermaharaja lela apabila mereka melakukan aktiviti mengaut keuntungan yang hanya bahagia seketika tetapi derita selamanya.

Oleh itu sumber kewangan , sumber tenaga serta kerjasama daripada orang ramai adalah begitu penting dalam mempastikan negara kita Malaysia ini bebas daripada sebarang bentuk pencemaran yang akan membawa derita kepada kaum keluarga kita sendiri pada akhirnya.

Kerajaan bertanggung jawab menyediakan sumber tersebut melalui Rancangan Malaysia ke 9, Jabatan Alam Sekitar bertanggungjawab melaksanakannya, rakyat bertanggungjawab untuk memberikan kerjasama.