KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060409

Hiburan Punca Melayu Mundur - Kenyataan MT UMNO

Mingguan Malaysia 9 Apr 2006 - Melayu perlu kurangkan hiburan

PEKAN 8 April - Orang Melayu diingatkan supaya mengurangkan aktiviti yang menjurus kepada hiburan yang tidak berfaedah kerana ia boleh menyebabkan mereka merempat di tanah air sendiri.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, pengaruh hiburan yang melalaikan itu adalah salah satu punca kemunduran orang Melayu sehingga usaha kerajaan untuk membangunkan mereka menemui kegagalan.

Menurutnya, orang Melayu tidak boleh berasa selamat selama-lamanya kerana mendapat segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, sebaliknya perlu berusaha keras seperti kaum lain.

Katanya, orang Melayu mudah berasa selesa walaupun mereka sebenarnya tidak menguasai ekonomi dan bidang-bidang profesional yang lain.

``Sebaliknya orang bukan Melayu yang tidak menikmati kemudahan seperti itu sentiasa bekerja keras bagi mencapai kejayaan.

``Mereka sentiasa menanamkan `sifat' berasa tidak selamat berada di negara sendiri supaya kaum mereka sentiasa berusaha keras bagi menguasai semua bidang ilmu,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penerangan mengenai Cabaran dan Survival Bangsa anjuran UMNO Bahagian Pekan di Dewan Majlis Perbandaran Pekan, di sini hari ini.

Muhammad berkata, jika orang Melayu tidak memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup, menguasai ekonomi serta bidang-bidang utama yang lain, peluang-peluang tersebut akan `dirampas' oleh orang bukan Melayu.

Katanya, pada masa ini, orang Melayu mungkin tidak begitu melihat keperluan menguasai ilmu dan ekonomi tetapi kesannya akan ditanggung oleh generasi masa depan.

``Kemakmuran negara pada tahun 2020 akan dinikmati oleh bangsa bukan Melayu walaupun mereka ini sebenarnya tidak mendapat bantuan dan manfaat secara langsung daripada kerajaan sebelum ini,'' kata Muhammad Taib.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0409&pub=utusan_malaysia&sec=politik&pg=po_05.htm&arc=hive