KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060903

Kes Lina Joy: 4 akibat bakal ditanggung umat Islam

Oleh Maslan Yusoh KOTA BHARU, 3 Sept (Hrkh) - Peguam Kanan Persekutuan dari Jabatan Peguam Negara, Haji Mohamed Naser Disa merumuskan empat akibat boleh melanda umat Islam sekiranya kes Lina Joy berpihak kepadanya.
Pertamanya, orang Islam boleh keluar Islam sesuka hati dan Mahkamah Syariah tidak boleh mengendalikan kes orang yang mengaku bukan lagi beragama Islam.

Kedua, membuka ruang isu berkaitan Islam akan ditentukan hakim mahkamah sivil yang bukan pakar dalam perundangan Islam, manakala pandangan ulama atau fatwa tidak lagi diperlukan.

Ketiga, membuka ruang Islam diamalkan mengikut kepercayaan dan pemahaman individu dan tidak boleh dikawal selia majlis agama. Dan keempat, pemahaman serta pengamalan agama untuk anak-anak dewasa yang berumur lebih 18 tahun tidak boleh lagi ditentukan oleh ibu bapa.

Isu keempat itu selaras dengan Perkara 11 Perlembagaan yang boleh ditafsirkan sebagai membenarkan seseorang memeluk agama pilihannya dan mengamalkannya mengikut pilihannya.

Mohamed Naser membentangkan fakta tersebut dalam kertas kerjanya bertajuk Cabaran-cabaran Merealisasikan Islam dalam Perlembagaan Malaysia pada seminar Isu Murtad di Hotel Perdana semalam.

Turut membentang kertas kerja pada seminar anjuran Gabungan Profesional Kelantan (GPK) dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), pensyarah perlembagaan dari UIAM, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob. Seminar separuh hari itu mendapat sambutan menggalakkan. Hadir sama Presiden GPK, Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman dan Ketua Eksekutif Kias, Dr Johari Mat.

Sebelum ini isu Lina Joy hangat diperkatakan apabila dia memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara bagi mengeluarkan butiran status agama Islam pada kad pengenalannya, namun telah ditolak Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Kemudian kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang turut mendapat sokongan Kumpulan Artikel 11 dan Majlis Peguam. Keputusannya belum lagi diumumkan sehingga sekarang.

Sehubungan itu Peguam Kanan Persekutuan terbabit menggariskan beberapa langkah ke arah memperkukuhkan lagi Islam antaranya memperbetulkan kefahaman semua pihak mengenai Islam agama Persekutuan dan bukan sekadar agama rasmi.

"Menyedarkan semua pihak yang terlibat dalam pemerintahan negara sama ada kerajaan, kehakiman atau perundangan akan kewajipan untuk melaksanakan ikrar kepada Yang Dipertuan Agong bagi mempertahankan Islam.

"Islam perlu dijadikan asas pertimbangan dalam penggubalan dasar-dasar, peraturan dan undang-undang negara. Penafsiran perlembagaaan dan undang-undang yang berkuatkuasa perlu dibuat berasaskan Islam dan bukan pemahaman barat," katanya.

Selain itu, menyedarkan semua pihak bahawa sebarang usaha untuk memperteguhkan kedudukan Islam di negara ini adalah dilaksanakan dalam perspektif perlembagaan bagi mempertahankan Islam.

Peguam-peguam Muslim juga disaran mempersiap diri dan mempertajamkan fikiran serta memantapkan hujah untuk menggalas tanggungjawab menghadapi golongan yang agresif berusaha untuk menghakis Islam.

Dr Abdul Aziz pula berkata, perlembagaan akan menjadi Islam atau lebih Islam jika umat Islam mengamalkan agama Islam dan menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

"Masalah kita hari ini bukan kerana tidak ada peruntukan undang-undang. Ini cukup jelas dalam soal undang-undang pengawalan penyebaran agama lain kepada orang Islam sebagaimana yang dibolehkan oleh Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Beliau juga mencadangkan Kumpulan Artikel 11 sekiranya terus berdegil perlu dikenakan tindakan sebagaimana yang sepatutnya.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Besar ketika merasmikan seminar tersebut berkata, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri melaksanakan undang-undang syariah, namun Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan pula menyekat kuasa negeri.

Menurutnya, Perkara 75 menyatakan sekiranya undang-undang negeri berlawanan dengan undang-undang Persekutuan, maka undang-undang negeri terbatal setakat mana ia berlawanan.

"Peruntukan undang-undang itu menjadikan Islam seperti dagang di bumi sendiri. Perlembagaan Persekutuan telah berjaya menjadi benteng untuk menyekat kedaulatan syariat Islam.

"Pengalaman pahit kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Syariah II adalah sebagai bukti bahawa ia tidak mampu memecah benteng penyekat Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v06/index.php?option=com_content&task=view&id=4075&Itemid=1