KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060919

Naik Gaji Polis Tak Selesai Masalah

Memang tidak dinafikan tugas polis mutakhir ini semakin mencabar dan begitu membahayakan nyawa. Tidak selesai dengan masalah musuh nombor satu negara iaitu dadah datang pula pelbagai bentuk jenayah dari kes ragut, rompakan bersenjata, pembunuhan kejam, pendatang tanpa izin, lumba haram dan bermacam-macam lagi kes-kes jenayah yang tidak pernah kita dengar sebelum ini.

Namakan sahaja apa bentuk gejala sosial dan jenayah, yang pasti orang ramai akan menuding jari kepada pihak polis untuk menyelesaikannya termasuklah penderaan rumah tangga, kes buli pelajar sekolah, pencegahan maksiat dan banyak lagi.

Apakah dengan menaikkan gaji polis akan membuatkan anggota polis lebih bersemangat melakukan tugas mereka ? Belum lagi disahkan polis akan mendapat kenaikan gaji, sudah pula ada suara yang menyeru agar kerajaan menetapkan gaji minima pekerja di Malaysia ini.

Yang pasti setiap kali ada kenaikan gaji, harga barangan pasti akan naik, tidak banyak, sedikit. Yang mendapat kenaikan gaji mungkin tidak akan terasa kenaikan harga barangan. Bagaimana mereka yang tidak mendapat kenaikan gaji ? Bagaimana mereka yang tidak mendapat kenaikan gaji sejak bertahun-tahun ? Bagaimana mereka yang diberhentikan kerja kerana langkah penstrukturan semula sektor swasta dan korporat ? Malah yang lebih teruk lagi bagaimana mereka yang menganggur ?

Sedikit sebanyak kenaikan gaji sesuatu pihak akan menimbulkan iri hati kepada pihak yang tidak mendapat kenaikan gaji atau yang tidak bergaji langsung.

Maka apakah jalan pilihan untuk menyelesaikan masalah bebanan polis yang semakin mencabar dengan imbuhan yang tidak berpadanan dalam masa yang sama dapat mengelakkan kenaikan harga barangan serta tidak menimbulkan iri hati mereka yang tidak senasib dengan mereka ?

Yang paling utama ialah kebajikan anggota polis itu sendiri terutama mereka yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Bagi anggota polis yang menjalankan tugas hendaklah dipastikan mereka mempunyai anggota, peralatan, kelengkapan yang cukup dan terkini. Adalah agak menyedihkan apabila anggota polis melakukan rondaan menggunakan motosikal “kapcai” mereka sendiri sedangkan mat-mat rempit menggunakan motosikal yang telah diubahsuai, sementara peragut-peragut pula menggunakan motosikal yang berkuasa tinggi.

Tahap perlindungan anggota polis yang melakukan tugas rondaan hendaklah juga dipertingkatkan. Memandangkan penjenayah dewasa ini tidak gentar untuk bertempur dan bergelut dengan polis, adalah disarankan anggota polis yang melakukan rondaan ini dibekalkan dengan jaket kalis peluru dan kalis tikaman. Di satu pihak kita lihat anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) mempunyai peralatan yang begitu canggih, segak dan terkini umpama “Robocop” untuk mencegah rusuhan, sedangkan anggota polis biasa hanya memakai pakaian seragam polis yang biasa yang tidak menggerunkan langsung para penjenayah.

Berbalik kepada kebajikan anggota polis, tidak dinafikan anggota polis mendapat kemudahan rumah kediaman, perubatan dan sebagainya. Ianya perlu dipertingkatkan lagi dengan menyarankan agar anak-anak anggota polis mendapat pendidikan percuma dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat diploma atau ijazah, ini termasuklah bantuan yuran persekolahan, bantuan pakaian persekolahan, bantuan bas sekolah dan bantuan biasiswa.

Ini adalah sebahagian daripada contoh dimana kita boleh menghargai jasa pihak polis dalam masa yang sama semua pihak akan berpuas hati. Dan yang pentingnya para peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan.

Dalam hal dimana kita dengar tugas polis yang semakin banyak cabangnya sekarang ini, maka adalah disarankan diwujudkan unit-unit yang baru dengan pengambilan anggota-anggota yang baru dengan memberi keutamaan kepada anggota polis sedia ada yang mempunyai ijazah atau diploma. Jika PDRM sekarang ini ada Jabatan Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Trafik, wujudkanlah pula Jabatan Remaja untuk menangani kes remaja seperti gansterisma, Jabatan Agama Islam untuk menangani kes maksiat serta unit-unit lain lagi yang perlu.

Dengan penubuhan jabatan dan unit yang baru ini akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan memberi peluang kepada anggota polis sedia ada yang berkelayakkan untuk mempertingkatkan karier mereka.

Walauapapun keputusannya , yang pasti tugas polis semakin mencabar sekarang ini, kerjasama semua pihak adalah perlu untuk mencegah jenayah yang semakin menjadi-jadi ketika ini.