KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150201

Kenapa ramai sesat di Gunung Datuk, Rembau?



Saya pernah mendaki Gunung Datuk lebih 10 tahun dulu membawa anak-anak dan anak-anak jiran sekitar 9 orang tanpa jurupandu dan tanpa orang dewasa lain, serta saya tidak pernah mendaki mana-mana gunung termasuk Gunung Datuk sebelum itu. Alhamdulillah, dengan izin Allah kami berjaya mendaki dan turun dengan selamat, cuma saya cramp kaki bila dah nak sampai turun. Laluannya amat mudah, lurus, tiada berbelit-belit, cuma ada di satu tempat di pertengahan jalan apabila pandang keliling semua nampak sama, tapi masih nampak trek jalan.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui kenapa ramai yang sesat di Gunung Datuk akhir-akhir ini, padahal mereka ini lebih berpengalaman dan bertenaga dari saya.

Kepada Allah kita berserah dan bertawakal.

Lagi sesat di Gunung Datuk
1 Februari 2015

REMBAU – Hasrat dua jurutera kilang di Nilai dan Seremban untuk menikmati keindahan di puncak Gunung Datuk tidak kesampaian apabila mereka sesat di dusun durian di Kampung Chengkau Ulu, dekat sini, semalam.

Mangsa, B Jagates, 25, dan M Dashan, 26, yang mendaftar di Pos Kawalan Gunung Datuk pada jam 7.30 pagi dijumpai pasukan penyelamat di kawasan dusun durian, lebih dua kilometer dari Gunung Datuk kira-kira jam 4.10 petang.

Menurut Jagates, mereka mulai sedar telah tersasar laluan apabila tidak tiba di puncak setelah dua jam perjalanan sebelum berpatah balik untuk turun ke tapak kaki Gunung Datuk.

“Namun kami masih lagi tidak menemui jalan keluar sehingga jam 11 pagi dan kami membuat keputusan untuk menghubungi pasukan penyelamat. Kami cuba mencari jalan keluar melalui anak air dan sering berkomunikasi dengan pasukan penyelamat.

"Sebelum ini kami sering melakukan aktiviti riadah seperti ini dan mengubah lokasi pendakian dengan memilih Gunung Datuk setelah lebih lima kali mendaki Bukit Broga,” katanya ketika ditemui pemberita di Tapak Kaki Gunung Datuk, semalam.

Tambah Jagates, walaupun berdepan dengan pengalaman itu, mereka masih berhasrat untuk meneruskan pendakian di Gunung Datuk pada masa akan datang.

“Mungkin kami akan guna khidmat jurupandu. Sebelum ini, saya pernah mendaki Gunung Kinabalu dan trek lebih jelas, tetapi di Gunung Datuk ini, laluan agak mengelirukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif berkata, sepasukan 15 penyelamat terdiri daripada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (Jpam) dan jurupandu telah memulakan operasi pencarian pada jam 12.10 tengah hari.

Menurutnya, pasukan penyelamat melakukan pencarian ke puncak Gunung Datuk namun berpatah balik selepas mendapati lokasi sebenar mangsa adalah di kawasan dusun milik penduduk kampung.

Tiada ulasan: