Baru-baru ini wartawan Sinar tanya saya ada tak kenal orang
Melayu yang baik dengan orang Cina di Rembau. Lalu teringat saya pakcik Ah Lek yang
kenal arwah ayah saya. Pakcik Ah Lek ini memang ramah serta mudah mesra, siap
beri salam, cakap insyaAllah, Bismillah untuk memulakan kerja dsbnya.
‘Mengucap pun den boleh’
30 Oktober 2015
KOTA - “Mengucap pun den boleh, tapi kalau den bagi salam
(Assalamualaikum) tak ponah orang Melayu nak jawab. Den tak kocik hati sobab
orang Melayu ni orang Islam, dia tak sebarangan jawab salam orang,” cerita Ah
Lek, 68.
Ah Lek atau nama sebenarnya Tan Kok Tin berkata, kedua-dua
orang tuanya datang dari China untuk berniaga di Tanah Melayu dan dia
dilahirkan di Pekan Kota.
Menurutnya, dilahirkan di penempatan berbilang bangsa
menjadikan ikatan persaudaraan antara kaum Melayu, Cina dan India cukup teguh.
“Bayangkan, sejak sebelum merdeka lagi kito dah hidup
samo-samo. Keluarga den tak pornah bimbang den berkawan dan masuk kampung orang
Melayu.
“Maso den mudo dulu, den dan kawan-kawan Melayu masuk dalam
hutan di Johor dan Pahang cari madu lobah tualang,” katanya ketika ditemui
Sinar Harian di sebuah warung di Kampung Batang Nyamor, petang kelmarin.
Ah Lek berkata, hampir 10 tahun dia dan kawan baiknya,
Allahyarham Abdul Ghani Nyata meredah hutan dan adakala mereka berkongsi
makanan serta bantal sekiranya tidak sempat pulang ke rumah masing-masing.
Menurutnya, kehidupan susah menjadikan dia dan rakan-rakan
berbilang bangsa sama-sama bertolak-ansur dalam mencari sumber pendapatan.
“Macam-macam kojo kito buek samo-samo, malah, den dulu pun
sanggup keluarkan modal sendiri dulu untuk sediakan limo ekor kobau untuk orang
kampung mantai setiap kali musim perayaan.
“Kobau bosa-bosa, orang Melayu yang somboleh. Den pun boleh
somboleh, tapi bolum tentu ada orang nak makan, walaupun kobau mati,” ceritanya
bila mengimbas kembali kenangan manisnya bersama rakan seusia.
Sementara itu, anak arwah Abdul Ghani, Md Ali Hashim, 56,
berkata, keluarganya sudah biasa bergurau-senda dengan Ah Lek, malah Ah Lek
bukan hanya dikenali keluarganya sahaja bahkan di seluruh Rembau.
“Sebut sahaja Ah Lek buek kobon, semua orang Ghombau kona.
Orang-orang tak kira Melayu, Cina dan India percaya pada Ah Lek sejak 29 tahun
lalu untuk mengusahakan kebun atau tanam semula pokok getah, sawit mereka.
“Hubungan akrab antara kaum di kampung ni memang dah biaso
sebab masing-masing lahir dan membosa bersama,” katanya ketika mengisi masa
riadah di kedai adik iparnya, Tiang Balai Baruh Undang Luak Rembau, Datuk
Samsura Pahlawan, Mohd Ilmy Mohd Zin, 62.