KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060322

Kongres Ekonomi Nasional 8-9 April Subang Jaya

KONGRES EKONOMI NASIONAL 2006
Ke Arah Penjanaan Semula Dayasaing & Pemantapan Ekonomi Negara

Tarikh : Sabtu 8hb ~ Ahad 9hb April, 2006 (9:00am ~ 5:30pm)
Lokasi : Grand Selangor Ballroom, Sheraton Subang Hotel & Towers,Subang Jaya, Selangor

Objektif :
Untuk memacu kehendak rakyat terhadap isu-isu ekonomi dan kualiti hidup bagi mendasari perancangan ekonomi masadepan Negara melalui sistem pengurusan yang mantap.

Sasaran Penyertaan :
Ahli Dewan Perniagaan & Perindustrian, Persatuan Pengilang, Persatuan Kontraktor, Persatuan Perniagaan (trade association), Persatuan Iktisas (professional association), Pertubuhan Wanita, Persatuan Pengguna, Lain-Lain Pertubuhan Bukan-Kerajaan (NGO), Ahli Politik, Pegawai Kerajaan, Pegawai Bank, Ahli Akademia, Penyelidik Ekonomi, Perunding Ekonomi, Penganalisa Ekonomi, Ahli Kesatuan Sekerja, Aktivis Sosial, Ahli Kumpulan Kepentingan Khas (special interest group), Ahli Pertubuhan Belia, Ahli Pertubuhan Pelajar, dan individu prihatin.

Antara Isu-Isu Utama :
Pengswastaan Acuan Malaysia : Menguntung atau Merugikan Rakyat Jelata ?
Ke Arah Negara Berkebajikan : Agenda Baru Ekonomi Nasional
Prestasi DEB Dalam Memertabatkan Status Ekonomi Kaum Bumiputra : Satu Penilaian Objektif dan Langkah ke Hadapan
Industri Kecil & Sederhana : Satu Tumpuan Dasar Perindustrian Negara
Menziarahi Semula Sektor Pertanian Negara : Memposisikan Semula Sektor Pertanian dalam Mendepani Cabaran Industrialisasi & Globalisasi
K-Ekonomi sebagai Penjana Pertumbuhan Ekonomi Baru
Membangun Bersama Islam : Prestasi dan Pencapaian Ekonomi Negeri Kelantan di bawah Pemerintahan Barisan Alternatif

Pendaftaran :
RM 75.00 seorang (pelajar RM 50) tertakluk kepada 500 orang peserta sahaja melalui internet, faks atau pos dengan mengisi borang rasmi yang disediakan sebelum atau pada 31hb Mac, 2006. Bayaran secara cek, draf atau wang pos atas nama Otima Karya (M) Sdn Bhd atau kredit bayaran ke akaun nombor 0000288718 Bank Muamalat Malaysia Berhad (Pendaftaran pada hari konvensyen hanya bergantung kepada kekosongan tempat sahaja)

Pengurus Konvensyen : Optima Karya (M) Sdn Bhd

Laman Web : http://www.nec06.org

Sekretariat Konvensyen :
65-2, Jalan USJ 21/10, USJ City Centre 2,
47630 UEP Subang Jaya, Selangor D.E.
Tel : 03 8023 9572/3, Fax : 03 8023 9575
eMail : ctadel@time.net.my, drrjacob@yahoo.com, ismahali@yahoo.com

Bengkel Sifat Solat Nabi 25 Mac Dataran Senawang

Muslimin dan muslimat semua dijemput menyertai :

“Bengkel Sifat Solat Nabi saw”
SABTU 25 Mac 2006
8 pagi – 12 tgh
Di Pusat Pengajian Imtiyyaz, Dataran Senawang
Oleh : Ustaz Syuhada dan Ustaz Khusyairi

Yuran RM 20 , Tempat terhad, bilik kuliah berhawa dingin

Maklumat lanjut hubungi :
Ustaz Norazman 019-6400062
Pejabat 06-6792617
Sekretariat 012-6817115

20060318

Remaja perlu dibimbing

Menyedari para remaja sekarang ini menghadapi kemelut dalam pelbagai aspek baik dalam sudut sosial mahupun sudut kerjaya Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan telah mengadakan Bengkel Jejak Remaja pada 18 Mac 2006 yang lalu. Seramai lebih kurang 300 para remaja lepasan SPM yang telah menghadiri bengkel berkenaan yang bertujuan untuk mempertingkatkan jati diri remaja selaras dengan kehendak Islam agar mereka menjadi remaja cemerlang dunia dan cemerlang di akhirat.

Dalam ucapan perasmian program berkenaan oleh Sdr Sufian Ibrahim selaku Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan menyarankan kepada para remaja agar sentiasa taat kepada perintah Allah juga , taak kepada ibu bapa disamping menuruti tunjuk ajar yang diberikan oleh guru-guru. Beliau juga menyeru agar para remaja sentiasa meringankan tulang untuk bersedia memberikan khidmat kepada masyarakat secara sukarela dalam apa jua bidang yang diperlukan.

Program Motivasi Jejak Remaja ini adalah sebahagian daripada program berterusan Yayasan Amal Malaysia dalam membentuk para remaja yang mempunyai jati diri muslim yang berakhlak mulia dimana sebelum ini beberapa pelajar bidang perubatan telah diberi pendedahan menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan dalam program khidmat kesihatan.

20060314

Bahaya roti canai dan teh tarik tak boleh naik harga

Amaran demi amaran yang diberikan oleh kerajaan kepada para peniaga agar tidak menaikkan harga barangan walhal harga minyak naik sudah pasti mendatangkan kegelisahan kepada para peniaga bagaimana mereka hendak mempastikan mereka masih mendapat keuntungan dengan harga gas memasak, minyak kereta mereka ke kedai yang naik 18%.

Kita takut dan amat bimbang ada segelintir peniaga yang mengambil jalan mudah tetapi berisiko yang akibatnya merugikan bukan sahaja para pengguna bahkan semua pihak. Justeru itu kerajaan haruslah bersikap rasional dalam menangani kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Kita amat bimbang sekiranya peniaga diberi amaran agar tidak boleh dinaikkan harga roti canai barang 10 sen pun, maka mungkin segelintir peniaga akan cuba bermacam-macam formula untuk mengurangkan kos membuat roti canai, samada mengecilkan saiz roti canai, atau menggunakan minyak masak yang paling rendah mutunya atau yang dikitar semula, ataupun menggunakan kuah kari roti canai yang disimpan dan dikitar semula berminggu-minggu lamanya.

Begitu juga dengan teh tarik. Mungkin ada segelintir peniaga akan mencari formula untuk mengurangkan kos teh tarik samada dengan menggunakan bahan pewarna yang tidak diluluskan, menggunakan bahan perasa yang merbahaya kepada kesihatan, mengitar semula hampas teh berminggu-minggu lamanya, menggunakan “ibu gula” atau saccharin yang lebih murah kosnya tetapi amat merbahaya kepada kesihatan.

Oleh itu kerajaan haruslah bertindak rasional berhadapan dengan para peniaga dan pengusaha dalam menangani beban kenaikan harga minyak. Panduan kenaikan harga barangan haruslah diberikan agar peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang, dan peniaga tidak mencari formula yang berisiko apabila mereka dilarang untuk menaikkan harga barangan.

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang, NS

20060313

Orang Asli, kaum India mendapat khidmat kesihatan anjuran surau & NGO Islam

Seremban Ahad 12 Feb – Lebih daripada 80 orang penduduk sekitar Taman Tasik Jaya hari ini telah menjalani pemeriksaan kesihatan percuma yang dianjurkan oleh Yayasan Amal Malaysia cawangan Negeri Sembilan dengan kerjasama Surau Al Hiqmah bertempat di Apartment Seroja.
Program siri khidmat kesihatan percuma yang diadakan di surau-surau sekitar Seremban ini telah turut mendapat sambutan hampir 10 orang penduduk dari bangsa lain antaranya kaum India, Cina serta Orang Asli warga emas. Menurut Encik Thiru wakil dari kaum India setempat yang turut mendapatkan khidmat kesihatan, program sebegini amat baik dan berguna terutamanya kepada penduduk yang berpendapatan rendah serta tidak mempunyai masa untuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. Beliau juga turut mengesyorkan kepada Yayasan Amal serta NGO-NGO lain supaya mengadakan program derma darah serta program khidmat masyarakat yang lain dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin , memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi akibat kenaikan harga minyak.

Program khidmat kesihatan percuma adalah merupakan program berterusan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dengan doktor-doktor swasta dan pelajar-pelajar bidang perubatan di mana ianya bukan sahaja memberi khidmat perubatan percuma tetapi turut memberi maklumat berkenaan kaedah penjagaan kesihatan kepada penduduk.

Rozmal bin Malakan
Naib Pengerusi
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan

Masjid Wajar Tubuh Kelab Bolasepak Remaja

Senawang Ahad 12 Feb – Kejohanan Bolasepak 7 Sebelah Remaja Bawah 15 Tahun Masjid dan Surau yang julung-julung kali diadakan di kariah Masjid Bandar Baru Senawang di Padang Taman Alamanda telah mendapat sambutan diluar dugaan. Seramai 18 pasukan telah mengambil bahagian mewakili masjid ataupun surau masing-masing. Malah terdapat penyertaan yang terpaksa ditolak oleh pihak penganjur memandangkan jumlah pasukan yang terlalu ramai menyertai kejohanan kali ini.

Antara masjid serta surau yang menghantar pasukan ke kejohanan kali ini ialah Masjid Marida, Surau Anggerik, Surau Senawang Indah, Surau Teratai, Surau Teratai, Surau Alamanda, Surau Ixora, Surau Cempaka 2, Surau Desa Dahlia, Surau Desa Melor, Surau Flat Senawang, Surau Pancor Jaya, Surau SMI ABIM.

Dalam ucapan perasmian oleh Tn Hj Arshad, Imam Masjid Bandar Baru Senawang, beliau menyeru agar para remaja menunjukkan contoh yang baik kepada rakan dan taulan mereka. Beliau juga menyeru agar para remaja sentiasa mendampingi masjid serta surau dalam setiap aktiviti yang dianjurkan khususnya untuk para remaja. Dalam pada itu pihak Masjid Bandar Baru Senawang menurut beliau sentiasa memberikan sokongan dalam apa jua program untuk membentuk remaja yang berperibadi mulia termasuk dalam bidang sukan. Malah ujar beliau lagi pihak masjid sedia mempertimbangkan untuk menubuhkan Kelab Bolasepak Remaja Masjid untuk mewakili Masjid Bandar Baru Senawang dalam mana-mana kejohanan bolasepak.

Apa yang menarik dalam kejohanan kali ini terdapat beberapa remaja India bukan Islam yang turut serta mewakili surau di taman mereka.

Sementara itu menurut En Zulkifli yang juga merupakan pengarah kejohanan, sewajarnya pihak masjid serta surau menganjurkan program untuk remaja terutamanya di musim cuti sekolah agar para remaja ini dapat memenuhi cuti sekolah mereka dengan melakukan aktiviti yang berfaedah dengan bimbingan teratur dari kalangan orang dewasa.

Pada perlawanan akhir pasukan remaja Surau Senawang Indah telah muncul juara apabila menewaskan pasukan remaja Surau Taman Desa Ixora.

Rozmal bin Malakan
Setiausaha Surau dan Taman Alamanda
Senawang

20060310

Doa Konsert Sure Heboh di Nilai, NS

Ya Allah ampuni kami, kami lemah. Kami tidak rela konsert sureheboh diadakah di Nilai minggu ini, Janganlah Islam dihina di NS. Lindungi kami dari org zalim


Kenyataan Mufti Negeri Perak mengenai isu konsert

Ipoh 2 Rejab 1425 @ 19 Ogos 2004 - Jabatan Mufti Negeri Perak mengorak selangkah lagi ke hadapan apabila Unit Khas Jabatan itu menyiarkan kenyataan penuh Mufti Kerajaan Negeri Perak, YBhg Dato' Seri Haji Harussani Haji Zakaria dalam bentuk audio video.

Rakaman audio video ini telah dibuat pada 13 Ogos 2004 di pejabat YBhg Dato' Seri Haji Harussani kira-kira jam 3 petang. Wartawan dari media TV3 telah menjadi penemubual Mufti Kerajaan Negeri Perak itu mengenai isu konsert.

JMNPk mensifatkan isu konsert ini adalah lanjutan dari Konsert Sure Heboh yang telah diharamkan oleh Majlis Mufti-mufti Malaysia dalam Persidangan Mufti-Mufti Malaysia di Hotel Casuarina, Ipoh pada 28 Julai lalu.

http://mufti.perak.gov.my/berita/berita040819-1.htm

20060309

Motivasi Bidayah Al Hidayah utk Pelajar 13 Mac Senawang

Bengkel Suntikan Kecemerlangan “Kaedah Bidayah Al Hidayah”
SUKSES 2006 – SIRI 1

Program Motivasi Sempena Cuti Sekolah Khas untuk anak-anak yang akan mendudukki UPSR, PMR dan SPM

ISNIN 13 Mac 2006
8 pagi – 6 ptg

Tempat :
Pusat Pengajian Imtiyaz
No 122-1, Tingkat 1, Jln Tmn Komersial Senawang 5, Dataran Senawang

Tempat Terhad : Hanya 40 pelajar
Bilik Kuliah Berhawa Dingin
Bahan kuliah, makan dan minum disediakan

Yuran Pendaftaran : RM 25 , Yuran SIRI 1 : RM 25

Sila hubungi :
019-6400062 Us Azman
012-6817115
06-6792617 Pejabat

Tak Puas Hati Minyak Naik ? Adu terus kepada Menteri

Kepada mereka yang tak puas hati minyak naik 30 sen, silalah kemukakan pandangan, masalah, aduan kepada PM, TPM, Menteri di e-mel berikut. :

ppm@pmo.gov.my Perdana Menteri
tpm@pmo.gov.my Timbalan Perdana Menteri
shafieapdal@kpdnhep.gov.my Menteri Perdagangan Dalam Negeri
webmaster@mecd.gov.my Kementerian Pembangunan Usahawan

Kepada rakyat N.Sembilan silalah ajukan masalah anda kepada MB, EXCO dan wakil rakyat di kawasan anda di e-mel berikut. Kalau anda rasa tidak terjejas akibat kenaikan minyak , bermakna anda tinggal di kawasan kejiranan yang mewah, saudara mara anda semuanya mewah-mewah. Alamat e-mel ini terdapat pada laman web kerajaan untuk kemudahan rakyat membuat aduan.

mbns@sukns.gov.my MB N.Sembilan
yblilah@sukns.gov.my
ybrazak@sukns.gov.my
ybismail@sukns.gov.my
ybirjamlus@sukns.gov.my
ybrais@sukns.gov.my
ybnorhayati@sukns.gov.my
ybzakaria@sukns.gov.my
sani@sukns.gov.my
ybilani@sukns.gov.my
ybwoo@sukns.gov.my
ybpeter@sukns.gov.my
ybpkwn@sukns.gov.my

20060308

Kasihanilah pengusaha van dan bas sekolah

Saya bukannya pengusaha van dan bas sekolah. Saya bukannya pemandu van dan bas sekolah. Tetapi saya tahu betapa peritnya pengusaha van dan bas sekolah ketika ini.

Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan mampu, walaupun kerajaan tidak membenarkan sebarang kenaikan tambang bas dan van sekolah akibat kenaikan harga minyak yang melampau. Atas dasar tolong menolong saya syorkan supaya tuan-tuan dan puan-puan sendiri bayar lebih sedikit kepada mereka, walaupun pengusaha van dan bas sekolah ini tidak menaikkan tambang mereka kerana takut akan disaman, dibawa ke mahkamah, didakwa, dipenjara, ditarik lesen dan sebagainya.

Berapa nak bayar lebih kalau tuan puan mampu. Terpulang, walau apapun tidak lebih 18% tambang asal. Untuk memudahkan ambil pukul rata 9% dari tambang asal.

Kalau dulu tambangnya RM 50 bayarlah RM 54.50, kalau dulu tambang RM 40 bayarlah RM 43.60, kalau dulu tambang RM 20 bayarlah RM 21.80.

Tidak salah kita bayar lebih kalau kita mampu, tapi salah kalau pengusaha menaikkan tambang tanpa kelulusan kerajaan.

Jarang saya tengok pengusaha van dan bas sekolah yang kecil-kecilan duduk rumah banglo, pakai kereta Mercedes, pergi melancong luar negara. Malah ada yang buat kerja part time kerana tak cukup duit hasil bawa van dan bas dengan menjual apam balik, menjual keropok dan sebagainya.

20060307

Khidmat Kesihatan Percuma Ahad 12 Mac Tmn Tasik Jaya, Seremban

PROGRAM KHIDMAT KESIHATAN PERCUMA

AHAD 12 MAC 2006
9.00 pagi – 1.00 tgh

Tempat : SURAU AL-HIQMAH, SEROJA APARTMENT, TAMAN TASIK JAYA, SEREMBAN

Pemeriksaan Kesihatan Percuma Untuk Semua Golongan : Tekanan darah / Indeks berat badan / Gula dalam badan
Ceramah Kesihatan
Pameran kesihatan / Galeri Yayasan Amal

Anjuran :
Surau Al Hiqmah &
Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan

TERBUKA UNTUK SEMUA KAUM DAN AGAMA

Maklumat lanjut hubungi En Mokhtar 012-6787024 , En Sufian 013-3589328

Rakyat NS menanti penerangan wakil rakyat isu minyak

Pada hari Ahad 5 Mac yang lalu hampir kesemua wakil rakyat dan wakil parlimen telah menghadiri sessi khas oleh Perdana Menteri untuk menerangkan isu kenaikan harga minyak agar wakil rakyat serta wakil parlimen ini dapat memberi penjelasan sebenar supaya rakyat faham rasional kenaikan harga minyak.

Saya menyeru kepada semua warga Negeri Sembilan agar menghadiri majlis penerangan tersebut. Saya rasa semua rakyat akan mudah memahami rasional kenaikan harga minyak tersebut sekiranya wakil rakyat yang memberikan penerangan tersebut terlebih dahulu menunjukkan contoh mereka telah merubah gaya hidup mereka akibat kenaikan harga minyak.

Tanyalah soalan-soalan seperti berikut dalam sessi penerangan tersebut :

1. Wakil rakyat N.Sembilan mana yang telah mula menggunakan basikal pergi kerja, seperti yang disarankan MB Perlis . Kalau tak pergi kerja , setidaknya mereka naik basikal ke masjid atau surau di kediaman mereka, atau naik basikal di kedai berhampiran kediaman mereka ?
2. Wakil rakyat N.Sembilan mana yang telah mula berkongsi kereta ? Kalau tak berkongsi kereta dengan wakil rakyat lain, mereka berkongsi kereta dengan jiran mereka, orang kampung mereka, mungkin tidak setiap hari , mungkin selang sehari ?
3. Wakil rakyat N.Sembilan mana yang telah mula menggunakan kereta Kancil dalam tugas seharian mereka seperti yang disarankan TPM ?
4. Wakil rakyat mana yang telah tidak lagi makan diluar, sebaliknya makan dirumah, dengan masakan yang dimasak oleh isteri tersayang, bukannya orang gaji , dengan ini kos yang dijimatkan dapat membantu saudara mara di kampung atau orang kampung yang kesusahan.
5. Wakil rakyat mana yang telah mengarahkan agar PBT ditempat mereka tidak lagi memasang lampu-lampu perhiasan dan warna warni untuk mencantikkan bandar hanya memasang lampu jalan untuk keselamatan.
6. Wakil rakyat mana yang telah pergi ke pasar-pasar terutama pasar Rembau yang harganya begitu mahal, dan bandingkan harga sebelum kenaikan harga minyak.
7. Wakil rakyat mana yang telah ada ditangan mereka data serta maklumat penduduk miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim , anak-anak tidak bersekolah yang terkini di kawasan mereka bukannya data daripada Majlis Agama Islam N.Sembilan dan data Jabatan Kebajikan Masyarakat yang telah lapuk yang tidak kemaskinikan dari masa ke semasa.

Tanyalah soalan-soalan mudah sebegini. Tak perlu tanya soalan kemana perginya keuntungan Petronas. Jangan tanya berapa harga minyak di Ethopia. Jangan tanya berapa harga roti canai di Arab Saudi. Tak perlu tanya berapa harga teh tarik di England.

Sekiranya mereka boleh menunjukkan kepimpinan melalui tauladan, maka tidak perlulah wakil rakyat tadi memberi penjelasan yang terperinci mengenai krisis minyak sedunia. Malah rakyat akan faham walaupun minyak naik 60 sen , sekiranya mereka yang bercakap terlebih dahulu menunjukkan contohnya.

Rozmal bin Malakan
Kg Bongek, Rembau , NS
rozmal@yahoo.com
waghih.blogspot.com

Program Usahawan Remaja Muslim Percuma Cuti Sekolah

Adalah dimaklumkan Biro Rakan Muda Surau Alamanda sedang menjalinkan usahasama dengan beberapa usahawan Muslim sekitar Senawang untuk melatih remaja-remaja Islam untuk menjadi seorang usahawan Muslim yang cemerlang sempena cuti sekolah yang akan bermula pada 11 Mac 2006 sehingga 19 Mac 2006.

Para usahawan Muslim ini telah bersetuju untuk melatih remaja-remaja Muslim secara percuma dalam bidang yang mereka minati. Kepada ibu bapa yang berminat bolehlah menghubungi saya Rozmal Malakan di talian 012-2267406 atau e-mel rozmal@yahoo.com

Syarat-Syarat :
1. Remaja Islam lelaki peringkat sekolah menengah sahaja
2. Tidak meninggalkan solat 5 waktu
3. Berminat dalam bidang usahawan
4. Pengangkutan tidak disediakan
5. Menetap sekitar Senawang atau berhampiran tempat latihan/bengkel/kedai

Boleh juga menghubungi terus usahawan yang telah dikenal pasti :

1. Sdr Maslan Din 016-6632326, Faruqi Cycle Shop (Menjual dan membaiki basikal), Taman Matahari Height , Senawang
2. Sdr Mazlan 012-6997842, MBM Warisan Enterprise (Pengeluar Ais Krim Goreng, Percekatan, Banner) , Taman Seri Pagi , Senawang.

Kepada usahawan-usahawan Muslim yang ingin menyertai program ini semasa cuti sekolah ini atau cuti sekolah akan datang bolehlah menghubungi saya.

20060306

Program Setem Makanan Untuk Bantu Golongan Memerlukan

Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen sudah pasti akan membebankan bukan sahaja mereka yang berpendapatan rendah malah mereka yang berpendapatan sederhana tetapi mempunyai tanggungan yang ramai.

Ketika saya menuntut di Amerika Syarikat pada tahun 80a, saya mendapati bahawa penduduk di sana dibantu dengan Program Setem Makanan (Food Stamp Program). Program ini bukan hanya terhad kepada rakyat warga Amerika Syarikat sahaja malah warga asing yang masuk secara sah adalah layak untuk dipertimbangkan menerima Setem Makanan tersebut.. Malah beberapa sahabat saya dari Malaysia yang masih menuntut ketika itu tetapi telah berkahwin serta mempunyai anak telah melayakkan mereka mendapat bantuan melalui program ini.

Melalui Program Setem Makanan ini setiap keluarga akan diberikan Setem dalam bentuk Kupon pada kadar tertentu pada setiap bulan. Dimana dengan setem ini mereka boleh pergi ke kedai-kedai serta pasaraya untuk menukarkannya dengan barangan berbentuk makanan dan minuman, terutamanya makanan asas, seperti roti, susu, tepung, gula dan sebagainya.

Dalam laman web kerajaan Amerika Syarikat yang menerangkan mengenai program ini di http://www.fns.usda.gov , dinyatakan secara terperinci siapakah yang layak untuk memohon untuk mendapatkan bantuan ini dan berapakah kadar bantuan bulanan yang sepatutnya mereka perolehi. Ianya berbeda-beda mengikut bilangan tanggungan dalam keluarga tersebut. Tanggunan antara satu ke lapan orang layak mendapat bantuan Setem Makanan bulanan sebanyak USD 152 ke USD 192 ( RM 560 ke RM 710 ) . Manakala mereka yang berpendapatan antara USD 1,037 ke USD 3,509 sebulan ( RM 3,800 ke RM 12,900 ) pula layak untuk memohon menyertai prorgam ini bergantung kepada bilangan tanggungan dalam keluarga tersebut.

Justeru itu adalah disarankan agar duit yang kerajaan dapat jimatkan sebanyak RM 4.4 Billion dengan pengurangan subsidi ke atas bahan bakar tidak digunakan sepenuhnya untuk pembangunan fizikal, malah haruslah diutamakan juga pembangunan fizikal rakyat sendiri yang berdepan dengan kenaikan harga makanan dipasaran dengan memperkenalkan Program Setem Makanan seperti ini.

Disamping itu masyarakat setempat haruslah mulai sekarang mengumpulkan statistik mengenai keluarga miskin, keluarga memerlukan, anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal di lokaliti mereka agar maklumat tersebut dapat disalurkan ke pihak Baitul Mal Negeri, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, para dermawan , sektor korporat dan sebagainya untuk membantu mereka menghadapi saat-saat getir. Tidak perlulah kita menunggu program seperti BersamaMu TV3 atau laporan di dada akhbar barulah bantuan hendak dihulurkan, sedangkan di kejiranan kita sendiri masih ramai yang memerlukan bantuan.

Kita tidak mahu mendengar seperti apa yang dilaporkan dalam Berita Harian 3 Mac 2006 di mana wang zakat berjuta-juta ringgit tidak dapat diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang sepatutnya akhirnya digunakan untuk diberikan kepada pasangan-pasangan yang ingin berkahwin. Sedangkan Nabi Muhammad saw telah mengajar umatnya agar membuat persiapan perkahwinan sekadar termampu. Ini terbukti apabila seorang sahabat mengadu kepada Baginda saw beliau tiada duit untuk berkahwin, Baginda saw memberitahu sahabat tadi cukuplah beliau mengajar Al Quran kepada isterinya sebagai mas kahwin. Sedangkan Nabi saw ketika itu mempunyai ramai sahabat yang kaya dan pemurah seperti Abd Rahman bin Auf, Saidinia Uthman ra yang jika diberitahu oleh Nabi saw akan memberikan sumbangan kepada pemuda tadi.

Kesimpulannya dalam kita mengatasi kenaikan harga minyak ini, semua pihak harus berganding bahu. Daripada pemimpin hinggalah ke rakyat jelata. Setiap dari kita haruslah menunjukkan contoh berjimat cermat, ayah menunjukkan contoh kepada anak, suami menunjukkan contoh kepada isteri, imam menunjukkan contoh kepada makmum, wakil rakyat menunjukkan contoh kepada rakyat dengan mengurangkan program penerangan mengapa minyak harus dinaikkan tetapi lebih banyak turun ke padang mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan seterusnya menyalurkan maklumat tersebut kepada agensi yang berkaitan.

Rozmal bin Malakan
Kg Bongek, Rembau, NS


http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Saturday/Nasional/20060303233052/Article/
Wang zakat tak habis diagih

Oleh Faiza Zainudin
GEORGETOWN: Beratus-ratus juta wang zakat yang dikutip setiap tahun, gagal diagihkan sepenuhnya kepada penerima yang layak kerana kelemahan pengurusan zakat di negara ini.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, Datuk Abdul Rahim Bakar.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan wang berkenaan tidak diselewengkan.

Abdul Rahim memberi contoh kutipan zakat PPZ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tahun lalu berjumlah RM126.7 juta, manakala pada 2004 berjumlah RM111 juta.

“Tidak dapat dipastikan berapa banyak daripada jumlah itu sudah diagihkan kerana peruntukkan untuk disalurkan ialah RM50 juta tetapi jumlah sebenar yang disampaikan hanya sekitar RM35 juta.

“Wang itu ada disimpan, tidak diseleweng, walaupun tidak disalurkan sepenuhnya kerana pelbagai masalah termasuk kerenah birokrasi,” katanya selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Budaya Pengurusan Zakat di Malaysia: Profesionalisme vs Tradisionalisme’ di Dewan Persidangan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (Isdev) universiti itu, Prof Muhammad Syukri Salleh.

Abdul Rahim berkata, kelemahan pengurusan berpunca daripada sikap kurang proaktif kakitangan yang menyalurkan bantuan dengan alasan tiada permohonan diterima daripada golongan sasar.

Selain itu, kekangan masa dan kekurangan kakitangan menyebabkan bantuan terbabit tidak dapat disalurkan seratus peratus mengikut masa yang ditetapkan.

“Sistem pengagihan yang tidak dipantau boleh menjejaskan kepercayaan pembayar zakat terhadap pusat pungutan zakat,” katanya.

Bekas Menteri Besar Pahang itu berkata, kelemahan pengurusan itu diburukkan lagi dengan ketidakseragaman pengurusan zakat di setiap negeri.

Katanya, ketiadaan satu badan nasional yang menyelaras dan menyeragamkan urusan dan fatwa zakat juga mengelirukan umat Islam.

“Keadaan itu menyebabkan maklumat terperinci mengenai kemampuan dan kemajuan institusi zakat tidak dapat dikumpul dan dikemukakan, jauh sekali untuk dikaji.

“Jika badan nasional diwujudkan, ia boleh menyelesaikan banyak masalah termasuk keseragaman cara mengira zakat antara negeri, selain membantu negeri yang kurang kutipan zakat tetapi ramai penduduknya miskin,” katanya.

Sejak 1991 hingga 2004, MAIWP mengutip zakat sebanyak RM734 juta yang menyumbang sebanyak 24 peratus kutipan keseluruhan negara yang berjumlah kira-kira RM3 bilion.

Lagu 3 kupang (30 sen) bakal jadi Hit ekoran kenaikan minyak

Dengan kenaikan minyak sebanyak 30 sen ( tiga kupang). Lagu tiga kupang yang menjadi hit zaman Pop Yeh Yeh diramal menjuarai semua anugerah Juara Lagu Tahun 2006, atau mungkin lagi ini akan diharamkan terus.

Lagu Tiga Kupang

Naik tiga kupang
Saku penuh habuk
Enam ekor burung
Kena virus selsema

Bila sudah naik
Kita ikut saja
Tentu susah makan
Cari kerja luar

( korus )
Suami dalam pejabat
Buat kira-kira
Suri dalam rumah
Makan roti tak ada gula

Anak tepi kolam
Mahu tangkap ikan
Datang hujan lebat
Habis Shah Alam banjir

******************************
LIRIK ASAL LAGU TIGA KUPANG

Lagu tiga kupang
Saku penuh padi
Enam ekor burung
Masuk dalam kuali

Bila sudah masak
Burung nyanyi saja
Tentu sedap makan
Beri pada raja

( korus )
Raja dalam rumah
Buat kira-kira
Suri dalam dapur
Makan roti gula hey...

Dayang tepi kolam
Mahu jemur tepung
Datang burung hitam
Patuk batang hidung

20060304

Peniaga sepatutnya diberi panduan naik harga barang

Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter baru-baru ini sudah pasti memberi kesan langsung kepada semua harga barangan di pasaran. Ini adalah logik akal kerana semua barangan yang hendak dipasarkan memerlukan setidak-tidaknya kos pengangkutan yang berkait langsung dengan penggunaan minyak, samada petrol, diesel mahupun gas asli.

Memberi amaran kepada para peniaga untuk tidak menaikkan harga barangan adalah merupakan satu tindakan yang tidak pro aktif dalam kita sama-sama menanggung beban kenaikan harga minyak baik daripada pihak pengguna, mahu pun pihak peniaga apatah lagi pihak kerajaan.

Apa yang sepatutnya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna lakukan ialah menyediakan garis panduan kepada pelbagai sektor peruncitan dan perniagaan di negara ini untuk menaikkan harga barangan mereka mengikut kadar yang bergantung kepada berapa banyak barangan berkenaan bergantung secara langsung atau tidak langsung kepada minyak atau hasil sampingan minyak.

Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter adalah merupakan kenaikan sebanyak 18.6% daripada harga asal minyak. Dalam erti kata lain kenaikan apa barang sekali pun di Malaysia ini sepatutnya tidak boleh melebihi daripada 18.6% selepas kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter.

Sebagai contohnya katakan harga ikan tenggiri sebelum kenaikan minyak ialah RM 18 ringgit sekilo. Maka harga ikan tenggiri selepas kenaikan minyak sebanyak 18.6% tadi tidak boleh melebihi RM 21.35 sekilo. Tapi adalah tidak logik harga ikan tenggiri adalah berkadar terus dengan kenaikan harga minyak. Katakan kos pengangkutan dalam perniagaan barangan basah adalah 50% daripada kos keseluruhan. Justeru itu harga ikan tenggiri sekilo sepatutnya dinaikkan 50% daripada 18.6% menjadikan harga ikan tenggiri yang sepatutnya selepas kenaikan harga minyak ialah RM 19.70.

Malaysia mempunyai pakar-pakar ekonomi, pakar-pakar matematik, pakar-pakar perangkaan dan pakar-pakar teknologi maklumat. Justeru itu gunakanlah kepakaran mereka tadi untuk memberi garis panduan kepada pelbagai sektor perniagaan di Malaysia ini untuk menaikkan harga barangan mereka mengikut kadar yang sepatutnya. Daripada perniagaan kecil-kecilan hinggalah ke peringkat perniagaan besar-besaran, selaras dengan apa yang dislogankan iaitu untuk melahirkan Melayu Glokal.

Berilah panduan kepada peniaga roti canai berapa harus mereka menaikkan harga roti canai mereka, berilah panduan kepada peniaga ikan berapa mereka harus menaikkan harga ikan mereka, berilah panduan kepada pengeluar simen berapa mereka harus menaikkan harga simen mereka. Kenaikan harga minyak hanya sekali untuk tahun ini sepatutnya memudahkan pihak kerajaan untuk mengeluarkan garis panduan tersebut. Bukan seperti kenaikan harga minyak yang sedikit tetapi kerap seperti tahun yang sebelumnya.

Sekiranya garis panduan ini tidak diberikan sudah pasti apa yang akan berlaku ialah kesan domino , apabila ada pengeluar atau pemborong yang menekan butang panik kerana tidak tahu berapa hendak menaikkan harga barangan, mereka akan menaikkan harga barangan mengikut kadar mereka sendiri untuk mengelakkan kerugian memandangkan para pembekal sekeliling mereka telah menaikkan harga barangan. Yang pada akhirnya yang menanggung kerugian bukan hanya para peniaga yang kehilangan pelanggan, bukan hanya para pengguna yang semakin kosong poket mereka, bahkan kerajaan sendiri yang akan rugi dari segi kehilangan pendapatan daripada hasil cukai jualan.

Maka apakah tindakan memberi amaran kepada para peniaga untuk tidak menaikkan harga barangan sebagai wajar ? Atau apakah sepatutnya kerajaan memberi garis panduan kenaikan harga barangan, dan kemudian mengambil tindakan kepada para peniaga yang menaikkan harga barangan mereka pada satu kadar yang tidak logik.

Selepas diberikan garis panduan kenaikan harga barangan, terpulang pula kepada peniaga samada mereka hendak menaikkan harga barangan mengikut garis panduan tersebut atau mengekalkan pada harga lama bergantung kepada permintaan di pasaran atau bergantung kepada kuasa membeli pengguna.

Rozmal bin Malakan
Kg Bongek, Rembau, N.Sembilan
rozmal@yahoo.com , http://waghih.blogspot.com

Pemuda N.Sembilan pertahan maruah Nabi saw

Seremban 3 Feb – Pemuda-pemuda Negeri Sembilan hari ini menyatakan kesanggupan mereka untuk berkorban mempertahankan maruah Nabi saw. Demonstrasi aman yang diadakan diperkarangan Masjid Jamek Ampangan hari ini menarik perhatian ribuan jemaah yang hadir. Pemuda-pemuda yang menaikkan sepanduk mempertahankan Nabi saw dan memboikot barangan Denmark dengan penuh semangat mendengar ucapan beberapa pimpinan setempat.

Antara yang berucap dalam demonstrasi tersebut ialah Sdr Zulkefly Mohamad Omar dan Tuan Hj Abd Taufek Abd Ghani. Dalam ucapan oleh Sdr Zulkefly, beliau menekankan adalah menjadi kewajipan seluruh umat Islam di dunia termasuk di Malaysia untuk mempertahankan maruah Nabi saw serta maruah Islam daripada terus dihina. Justeru itu beliau menyarankan agar umat Islam di negara ini memboikot barangan daripada negara Denmark. Ini adalah kerana menurut beliau usaha memboikot ini dilakukan oleh negara maju sendiri iaitu Amerika Syarikat yang memboikot kerajaan Palestin sekarang ini apabila Hamas memenangi pilihanraya di sana.

Tambahan beliau lagi barisan pemuda-pemuda Islam Negeri Sembilan sentiasa bersedia untuk mempertahankan maruah Nabi saw dan maruah Islam daripada terus dicemari. Hadirin yang hadir dengan penuh semangat telah melaungkan takbir dan salawat mendengar pendirian pemuda-pemuda Islam Negeri Sembilan.

Demonstrasi yang diadakan di Masjid Jamek Ampangan berjalan dalam suasana yang begitu lancar dengan kerjasama daripada pihak keselamatan yang turut sama membuat liputan penuh demonstrasi berkenaan.

20060302

Bagaimana Cara Untuk Ubah Gaya Hidup Sebab Minyak Naik?

Selaras dengan seruan Timbalan Perdana Menteri supaya rakyat ubah gaya hidup bagi menampung kesan kenaikan minyak , berikut diberikan beberapa panduan kepada pelbagai lapisan golongan masyarakat daripada golongan rakyat ke pemimpin rakyat, daripada golongan miskin ke golongan kaya untuk mereka ubah gaya hidup mereka.

Jika sebelum ini kita kerap makan luar, amalkanlah makan dirumah. Jikalau tiada masa untuk memasak, pastikan mempunyai stok mi segera yang banyak. Tapi kalau orang yang memang tidak pernah makan luar yang duit belanja dapur hanya cukup untuk makan dirumah , macam mana mereka hendak ubah gaya hidup mereka ?

Jika sebelum ini kita menghantar anak ke sekolah dengan kereta kita, hanya anak kita seorang, maka sekarang kita berpakatlah dengan jiran-jiran untuk bergilir-gilir menghantar anak-anak ke sekolah. Tapi kalau sekarang pun sudah ramai anak jiran yang menumpang kereta kita, macamana kita hendak ubah gaya hidup ?

Jika sebelum ini kita menaiki kereta ke tempat kerja, maka usahakanlah untuk menaiki motosikal. Tapi kalau kita memang dari dulu naik motosikal bagaimana kita hendak ubah gaya hidup ?

Jika sebelum ini kita kerap melancung ke luar negara, maka mulai sekarang melancunglah di dalam negara. Tapi kalau kita memang tidak pernah pergi melancung mana-mana hanya balik beraya di kampung, bagaimana kita hendak ubah gaya hidup.

Jika sebelum ini anak kita bawa wang saku sebanyak RM 1 – RM 5 ke sekolah untuk membeli makanan, maka mulai sekarang buatkanlah bekal untuk anak-anak kita. Tapi kalau anak-anak kita dari dulu lagi kita sudah bekalkan makanan mereka ke sekolah kerana tidak mampu beri wang saku , bagaimana kita hendak ubah gaya hidup ?

Jika sebelum ini kita kerap menonton wayang, berhibur, maka mulai sekarang duduklah sahaja berhibur dirumah, menonton televisyen, bermain dengan anak-anak. Tapi kalau memang dari dulu kita berhibur dengan menonton televisyen di rumah dan bermain dengan anak-anak, bagaimana kita hendak ubah gaya hidup ?

Jika sebelum ini kita kerap membeli pakaian baru hampir setiap bulan, maka mulai sekarang belilah pakaian baru setahun sekali masa Hari Raya sahaja. Tapi kalau kita sekarang pun membeli pakaian baru apabila pakaian lama sudah koyak atau lusuh bagaimana kita hendak ubah gaya hidup ?

Jika sebelum ini kita merokok sekotak dua kotak sehari , maka mulai sekarang hisaplah sekotak atau dua kotak seminggu atau berhenti terus. Tapi kalau kita dari dulu pun tidak hisap rokok bagaimana kita hendak ubah gaya hidup.

Banyak lagi contoh yang boleh dibawa di sini, cuma tak mampu hendak menulisnya.

Kesimpulannya, orang yang hidup mewah, orang yang berada, buat apa mereka nak susah-susah untuk ubah gaya hidup mereka kerana mereka masih mampu untuk berbelanja walaupun minyak naik lebih 30 sen seliter.

Orang yang sederhana hidupnya dan berjimat cermat mungkin masih dapat bertahan.
Orang yang susah yang tidak boleh lagi ubah gaya hidup mereka hanya mampu menadah tangan dan berdoa atau menadah tangan untuk mengemis. Takutilah doa-doa golongan yang sebegini

Lagu Selamat Minyak Naik

(Nyanyi ikut lagu Raya nyanyian Saloma)

SELAMAT MINYAK NAIK
KEPADA SAUDARA SERTA SAUDARI
SETAHUN HANYA SEKALI
MERAYAKAN KENAIKAN KALI INI

MISKIN KAYA MEMAKAI MINYAK PETROL TIAP HARI
MENGUNJUNGI STESYEN MINYAK SANAK FAMILI
SUNGGUH HEBAT,KENAIKANNYA KALI INI
TUA MUDA WAJAH BERSERI-SERI

MARILAH BERGEMBIRA
SAMA-SAMA MENYAMBUT KENAIKANNYA
MINTAK MAK, DUIT SEPULUH RINGGIT
SAYA MAHU BELANJA SEKOLAH UNTUK SATU HARI

20060301

Protes Senyap Bantah Kenaikan Harga Minyak

Kepada rakyat Malaysia yang tidak kisah atau tidak terjejas dengan kenaikan harga minyak tidak perlu melakukan PROTES SENYAP ini.

Kepada rakyat Malaysia yang merasakan mereka terjejas akibat kenaikan harga minyak, kenaikan tarif air, kenaikan cukai tanah, kenaikan tarif elektrik, kenaikan tambang bas dan bermacam lagi kenaikan ini bolehlah melakukan PROTES SENYAP untuk menunjukkan bantahan serta sokongan terhadap rakyat yang terjejas akibat kenaikan pelbagai kemudahan asas rakyat. Bukannya sokongan kepada pembangkang.

Apakah dia PROTES SENYAP ?

Protes Senyap ialah dengan anda tidak menghadiri sebarang acara, program, perhimpunan yang dianjurkan serta dihadiri oleh Menteri-Menteri, Wakil Wakil Rakyat, Wakil Wakil Parlimen. Dalam erti kata lain anda memboikot sebarang majlis yang dihadiri oleh mereka ini.

Ini adalah kerana setiap kali perhimpunan serta program seperti ini diadakan akan membelanjakan banyak wang untuk menganjurkan program tersebut, dari promosinya dalam televisyen , dalam akhbar. Perbelanjaan pengangkutan untuk mengangkut ribuan hadirin serta makan minum mereka. Pentas, muzik, bayaran artis dan banyak lagi.

Sekiranya mereka ingin membantu orang susah, tak perlu susah-susah mereka buat program besar-besaran. Bersusah payah orang susah nak datang, bersiap dengan pakai baju cantik sedikit. Biar mereka ini Pak Menteri, Wakil Rakyat turun ke padang tanpa perlu escort dan pengiring (ini semua membazir wang pengiring), jumpa terus dengan rakyat.

Inilah dia PROTES SENYAP. Kalau Menteri dan Wakil Rakyat nak jumpa rakyat, mereka sendiri yang kena turun jumpa rakyat. Bukannya kumpulkan budak-budak sekolah , budak-budak universiti tengah matahari terik.

Lakukan PROTES SENYAP untuk menunjukkan kesengsaraan anda akibat kenaikan pelbagai harga minyal dan lain-lain.

Semalam pun dah ada Pak Menteri cadangkan kepada rakyat kongsi kereta. Kepimpinan melalui tauladan. Kita nak tengok Pak Menteri pergi mana-mana program lepas ni jangan lagi pakai pengiring polis, membazir minyak. Kita nak tengok lepas ni PM, TPM, Samy Vellu dan Ong Ka Ting pergi pejabat naik satu kereta, kongsi kereta. Dan mereka ni mesti pakai kereta guna gas NGV untuk jimat minyak. Dengan ini lebih banyak duit subsidi boleh jimat dan boleh bina lebih banyak MRR2, lebih banyak MARTRADE, lebih banyak Hospital Kulat, lebih banyak Bumbung Makmal Komputer Mudah Roboh dan sebagainya. Semua ini untuk kemudahan rakyat.

Tapi kalau anda rasa tak terjejas dan dikelilingi oleh golongan mewah, tak perlu risau jiran tetangga yang kelaparan tak perlulah lakukan PROTES SENYAP ini. Teruskanlah bercita-cita untuk makan apa hari ini, nak melancong mana minggu depan, nak tukar kereta apa bulan depan, nak hantar anak belajar universiti mana tahun depan.

Atau kalau nak pergi DEMONSTRASI AMAN, bolehlah pergi ke KLCC Jumaat ini jam 2 ptg, diperkarangan KLCC untuk membantah kenaikan harga minyak.

Minyak Naik Lagi ! Biarkan , Biarkan :-)

Minyak Naik Lagi 30 sen hari ni
Biarkan , Biarkan :-)

Tambang bas dah naik
Biarkan , Biarkan :-)

Tarif elektrik nak naik
Biarkan , Biarkan :-)

Rumah kita banjir
Biarkan , Biarkan :-)

Anak-anak ramai tak sekolah
Biarkan , Biarkan :-)

Cukai tanah banyak negeri dah naik
Biarkan , Biarkan :-)

Apa nak kecoh kecoh
Zaman Jepun dulu lagi susah
Makan ubi kayu , minum air perigi
Minyak kita masih murah daripada Thailand, Singapura dan Filipina
Biarkan , Biarkan :-)
Boleh Naik Lagi :-)

Yayasan Amal Malaysia anjur Program Khidmat Kesihatan untuk semua kaum

Senawang 26 Feb – Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan hari ini menganjurkan program Khidmat Kesihatan Percuma untuk penduduk yang tinggal sekitar Senawang bertempat di Surau Alamanda. Program khidmat masyarakat tersebut adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat betapa pentingnya mereka menjaga kesihatan agar mereka dapat menjadi masyarakat yang produktif.

Antara khidmat kesihatan yang diberikan pada hari tersebut ialah pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan indeks berat badan dan juga pemeriksaan kandungan gula dalam darah. Disamping itu satu ceramah kesihatan mengenai kanser payu dara di kalangan wanita turut diadakan dalam program tersebut. Turut diadakan ialah pameran serta gerai jualan daripada pelbagai pihak yang terlibat menganjurkan program tersebut.

Menurut En Mohd Sufian bin Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, walaupun program ini diadakan di surau, program khidmat kesihatan tersebut juga dibuka kepada mereka yang bukan Islam. Ini adalah kerana menurut beliau program khidmat masyarakat seperti ini tidak mengenal erti batas perbezaan perkauman dan agama. Ini terbukti dimana antara lebih seratus orang yang mendapatkan perkhidmatan pada hari tersebut terdapat beberapa orang dari kaum Cina yang turut serta mendapatkan khidmat kesihatan tersebut. Menurut beliau lagi inilah masanya umat Islam membuktikan bahawa di surau bukan hanya tempat beribadah malah ianya adalah tempat dimana masyarakat sekitar dapat mendapat manafaat daripadanya termasuk yang bukan Islam. Sikap keterbukaan ini juga membuktikan bahawa Islam tidak menanamkan sikap kebencian kepada kaum dan agama lain, yang penting umat Islam sendiri yang harus berpegang kepada akidah mereka serta cinta untuk mengamalkan Islam.

En Sufian juga menyarankan agar setiap komuniti surau serta masjid di Malaysia ini sentiasa mengadakan program-program yang memberi manafaat kepada penduduk setempat dari semua peringkat usia dan golongan bangsa. Dengan ini masjid dan surau bukan hanya dapat memainkan peranan sebagai tempat menyatu padukan hati umat Islam malah ianya dapat menjadi medan dailog kefahaman antara kaum dan agama.

Dalam ucapan penghargaan En Sufian kepada semua yang terlibat dalam program tersebut beliau menyarankan agar golongan remaja terutama pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi agar sentiasa terlibat dalam program khidmat masyarakat, dengan ini secara tidak langsung akan dapat melahirkan masyarakat yang prihatin serta penyayang.

Program khidmat kesihatan percuma yang dianjurkan oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan pada kali ini adalah merupakan kerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Jawatankuasa Surau dan Taman Alamanda, Biro Helwa Taman Alamanda, Biro Rakan Muda Taman Alamanda, Nisa Kawasan Rembau, doktor-doktor perubatan swasta serta para-para pelajar bidang perubatan dari Institusi Pengajian Awam dan Swasta.