KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060313

Orang Asli, kaum India mendapat khidmat kesihatan anjuran surau & NGO Islam

Seremban Ahad 12 Feb – Lebih daripada 80 orang penduduk sekitar Taman Tasik Jaya hari ini telah menjalani pemeriksaan kesihatan percuma yang dianjurkan oleh Yayasan Amal Malaysia cawangan Negeri Sembilan dengan kerjasama Surau Al Hiqmah bertempat di Apartment Seroja.
Program siri khidmat kesihatan percuma yang diadakan di surau-surau sekitar Seremban ini telah turut mendapat sambutan hampir 10 orang penduduk dari bangsa lain antaranya kaum India, Cina serta Orang Asli warga emas. Menurut Encik Thiru wakil dari kaum India setempat yang turut mendapatkan khidmat kesihatan, program sebegini amat baik dan berguna terutamanya kepada penduduk yang berpendapatan rendah serta tidak mempunyai masa untuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. Beliau juga turut mengesyorkan kepada Yayasan Amal serta NGO-NGO lain supaya mengadakan program derma darah serta program khidmat masyarakat yang lain dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin , memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi akibat kenaikan harga minyak.

Program khidmat kesihatan percuma adalah merupakan program berterusan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dengan doktor-doktor swasta dan pelajar-pelajar bidang perubatan di mana ianya bukan sahaja memberi khidmat perubatan percuma tetapi turut memberi maklumat berkenaan kaedah penjagaan kesihatan kepada penduduk.

Rozmal bin Malakan
Naib Pengerusi
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan