KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060304

Peniaga sepatutnya diberi panduan naik harga barang

Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter baru-baru ini sudah pasti memberi kesan langsung kepada semua harga barangan di pasaran. Ini adalah logik akal kerana semua barangan yang hendak dipasarkan memerlukan setidak-tidaknya kos pengangkutan yang berkait langsung dengan penggunaan minyak, samada petrol, diesel mahupun gas asli.

Memberi amaran kepada para peniaga untuk tidak menaikkan harga barangan adalah merupakan satu tindakan yang tidak pro aktif dalam kita sama-sama menanggung beban kenaikan harga minyak baik daripada pihak pengguna, mahu pun pihak peniaga apatah lagi pihak kerajaan.

Apa yang sepatutnya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna lakukan ialah menyediakan garis panduan kepada pelbagai sektor peruncitan dan perniagaan di negara ini untuk menaikkan harga barangan mereka mengikut kadar yang bergantung kepada berapa banyak barangan berkenaan bergantung secara langsung atau tidak langsung kepada minyak atau hasil sampingan minyak.

Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter adalah merupakan kenaikan sebanyak 18.6% daripada harga asal minyak. Dalam erti kata lain kenaikan apa barang sekali pun di Malaysia ini sepatutnya tidak boleh melebihi daripada 18.6% selepas kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter.

Sebagai contohnya katakan harga ikan tenggiri sebelum kenaikan minyak ialah RM 18 ringgit sekilo. Maka harga ikan tenggiri selepas kenaikan minyak sebanyak 18.6% tadi tidak boleh melebihi RM 21.35 sekilo. Tapi adalah tidak logik harga ikan tenggiri adalah berkadar terus dengan kenaikan harga minyak. Katakan kos pengangkutan dalam perniagaan barangan basah adalah 50% daripada kos keseluruhan. Justeru itu harga ikan tenggiri sekilo sepatutnya dinaikkan 50% daripada 18.6% menjadikan harga ikan tenggiri yang sepatutnya selepas kenaikan harga minyak ialah RM 19.70.

Malaysia mempunyai pakar-pakar ekonomi, pakar-pakar matematik, pakar-pakar perangkaan dan pakar-pakar teknologi maklumat. Justeru itu gunakanlah kepakaran mereka tadi untuk memberi garis panduan kepada pelbagai sektor perniagaan di Malaysia ini untuk menaikkan harga barangan mereka mengikut kadar yang sepatutnya. Daripada perniagaan kecil-kecilan hinggalah ke peringkat perniagaan besar-besaran, selaras dengan apa yang dislogankan iaitu untuk melahirkan Melayu Glokal.

Berilah panduan kepada peniaga roti canai berapa harus mereka menaikkan harga roti canai mereka, berilah panduan kepada peniaga ikan berapa mereka harus menaikkan harga ikan mereka, berilah panduan kepada pengeluar simen berapa mereka harus menaikkan harga simen mereka. Kenaikan harga minyak hanya sekali untuk tahun ini sepatutnya memudahkan pihak kerajaan untuk mengeluarkan garis panduan tersebut. Bukan seperti kenaikan harga minyak yang sedikit tetapi kerap seperti tahun yang sebelumnya.

Sekiranya garis panduan ini tidak diberikan sudah pasti apa yang akan berlaku ialah kesan domino , apabila ada pengeluar atau pemborong yang menekan butang panik kerana tidak tahu berapa hendak menaikkan harga barangan, mereka akan menaikkan harga barangan mengikut kadar mereka sendiri untuk mengelakkan kerugian memandangkan para pembekal sekeliling mereka telah menaikkan harga barangan. Yang pada akhirnya yang menanggung kerugian bukan hanya para peniaga yang kehilangan pelanggan, bukan hanya para pengguna yang semakin kosong poket mereka, bahkan kerajaan sendiri yang akan rugi dari segi kehilangan pendapatan daripada hasil cukai jualan.

Maka apakah tindakan memberi amaran kepada para peniaga untuk tidak menaikkan harga barangan sebagai wajar ? Atau apakah sepatutnya kerajaan memberi garis panduan kenaikan harga barangan, dan kemudian mengambil tindakan kepada para peniaga yang menaikkan harga barangan mereka pada satu kadar yang tidak logik.

Selepas diberikan garis panduan kenaikan harga barangan, terpulang pula kepada peniaga samada mereka hendak menaikkan harga barangan mengikut garis panduan tersebut atau mengekalkan pada harga lama bergantung kepada permintaan di pasaran atau bergantung kepada kuasa membeli pengguna.

Rozmal bin Malakan
Kg Bongek, Rembau, N.Sembilan
rozmal@yahoo.com , http://waghih.blogspot.com