KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060301

Yayasan Amal Malaysia anjur Program Khidmat Kesihatan untuk semua kaum

Senawang 26 Feb – Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan hari ini menganjurkan program Khidmat Kesihatan Percuma untuk penduduk yang tinggal sekitar Senawang bertempat di Surau Alamanda. Program khidmat masyarakat tersebut adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat betapa pentingnya mereka menjaga kesihatan agar mereka dapat menjadi masyarakat yang produktif.

Antara khidmat kesihatan yang diberikan pada hari tersebut ialah pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan indeks berat badan dan juga pemeriksaan kandungan gula dalam darah. Disamping itu satu ceramah kesihatan mengenai kanser payu dara di kalangan wanita turut diadakan dalam program tersebut. Turut diadakan ialah pameran serta gerai jualan daripada pelbagai pihak yang terlibat menganjurkan program tersebut.

Menurut En Mohd Sufian bin Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, walaupun program ini diadakan di surau, program khidmat kesihatan tersebut juga dibuka kepada mereka yang bukan Islam. Ini adalah kerana menurut beliau program khidmat masyarakat seperti ini tidak mengenal erti batas perbezaan perkauman dan agama. Ini terbukti dimana antara lebih seratus orang yang mendapatkan perkhidmatan pada hari tersebut terdapat beberapa orang dari kaum Cina yang turut serta mendapatkan khidmat kesihatan tersebut. Menurut beliau lagi inilah masanya umat Islam membuktikan bahawa di surau bukan hanya tempat beribadah malah ianya adalah tempat dimana masyarakat sekitar dapat mendapat manafaat daripadanya termasuk yang bukan Islam. Sikap keterbukaan ini juga membuktikan bahawa Islam tidak menanamkan sikap kebencian kepada kaum dan agama lain, yang penting umat Islam sendiri yang harus berpegang kepada akidah mereka serta cinta untuk mengamalkan Islam.

En Sufian juga menyarankan agar setiap komuniti surau serta masjid di Malaysia ini sentiasa mengadakan program-program yang memberi manafaat kepada penduduk setempat dari semua peringkat usia dan golongan bangsa. Dengan ini masjid dan surau bukan hanya dapat memainkan peranan sebagai tempat menyatu padukan hati umat Islam malah ianya dapat menjadi medan dailog kefahaman antara kaum dan agama.

Dalam ucapan penghargaan En Sufian kepada semua yang terlibat dalam program tersebut beliau menyarankan agar golongan remaja terutama pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi agar sentiasa terlibat dalam program khidmat masyarakat, dengan ini secara tidak langsung akan dapat melahirkan masyarakat yang prihatin serta penyayang.

Program khidmat kesihatan percuma yang dianjurkan oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan pada kali ini adalah merupakan kerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Jawatankuasa Surau dan Taman Alamanda, Biro Helwa Taman Alamanda, Biro Rakan Muda Taman Alamanda, Nisa Kawasan Rembau, doktor-doktor perubatan swasta serta para-para pelajar bidang perubatan dari Institusi Pengajian Awam dan Swasta.