KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060630

Dua jam menunggu bas di Kuala Pilah

Saya bagi pihak penduduk yang menaiki bas laluan Kuala Pilah - Batu Kikir - Bahau begitu mengharapkan pihak serta agensi kerajaan yang berkaitan dapat mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh kami (penumpang bas laluan Kuala Pilah - Batu Kikir - Bahau).

Ada kalanya kami terpaksa menunggu sehingga satu jam setengah atau lebih berbanding seperti yang di janjikan sebelum ini iaitu 15 hingga 20 minit sahaja.

Ada ketikanya pula kami terpaksa berehat semasa dalam perjalanan kerana bas yang dinaiki mengalami kerosakan.

Justeru itu kami ingin mencadangkan untuk mengatasi masalah ini agar tindakan segera diambil antaranya :
1. Agensi kerajaan yang berkaitan membuat pemantauan berterusan terutama sekali mengenal pasti keadaan bas yang uzur dan sentiasa rosak, pemerhatian kami banyak bas yang rosak daripada bas yang boleh beroperasi.
2. Menimbang permohonan syarikat lain sekiranya ada untuk beroperasi di laluan ini untuk mewujudkan persaingan yang sihat , justeru akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pengguna.
3. Membuat penilaian sekiranya laluan ini tidak kompetitif, kerajaan seharusnya memberikan bantuan, inisiatif, insentif serta sokongan kepada pengusaha bas sedia ada agar mereka dapat beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan.
4. Sekiranya laluan ini tidak kompetitif dan tiada nilai komersial , kerajaan haruslah menyediakan alternatif dengan menyediakan bas-bas milik agensi kerajaan mengikut kesesuaian masa samada dengan mengenakan tambang, menggunakan sistem kupon atau secara percuma sebagai sebahagian daripada khidmat masyarakat.

Kami amat mengharapkan kerajaan yang kami pilih dan sokong dalam pilihan raya yang lalu dapat membantu kami dalam menyelesaikan masalah ini.

Cubalahlah fikirkan pekerja yang berkerja dengan agensi kerajaan mahupun swasta ataupun yang bekerja sendiri sentiasa lewat memulakan tugas mereka. Bukankah ini akan merugikan semua pihak akhirnya , dimana nilai produktiviti negeri ini secara keseluruhannya akan merosot dan akhirnya merugikan bukan sahaja rakyat malah kerajaan sendiri.

Abdul Rahim, Jempol, NS