KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060618

Tiada lagi troli arak di Giant Senawang

Alhamdulillah , 17 Jun 2006, diperhatikan tiada lagi kelihatan troli yang mengiklankan arak jenama carlsberg di Pasaraya Giant Senawang. Semuanya ini dengan izin Allah, setelah usaha gigih umat Islam setempat yang membantah pengiklanan arak pada troli-troli. Antara usaha-usaha yang dilakukan oleh umat Islam di sini ialah menyebarkan secara meluas risalah-risalah yang menggesa umat Islam yang membeli belah di pasaraya tersebut agar tidak menggunakan troli yang mengiklan arak secara langsung atau secara tidak langsung. Risalah-risalah ini diedarkan di masjid-masjid, surau-surau, stesen minyak dan kepada pengguna Islam di pasaraya tersebut. Disamping itu rasa ketidakpuasan hati pengguna Islam juga disuarakan melalui e-mel kepada pihak pengurusan pasaraya Giant, melalui laman-laman web, melalui akhbar.

Sekiranya umat Islam di seluruh Malaysia ini mengambil tindakan pro aktif untuk mengatasi isu sensitiviti umat Islam, dengan izin Allah , Allah akan membantu kita semua. Seluruh umat Islam setempat haruslah bangkit menyuarakan pandangan mereka, tanpa mengharapkan semata-mata kepada pihak tertentu sahaja seperti pihak jawatankuasa masjid, pihak Jabatan Agama Islam dan sebagainya untuk bertindak.

Setelah semua usaha ini dilaksanakan barulah diadakan solat hajat dan bermunajjat kepada Allah SWT, agar kesucian umat Islam di Malaysia ini terpelihara.

Justeru itu semua umat Islam di Malaysia sekarang ini harus bangkit membela agama Islam tanpa menyerahkan tugas ini kepada golongan tertentu sahaja.

Jika tidak kita , siapa ? Jika tidak sekarang, bila ? Jika bukan di sini, di mana ?
If not us , who ? If not now, when ? If not here , where ?

ALLAHU AKBAR ! ALLAHU AKBAR ! ALLAHU AKBAR !