KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060612

Seru pemimpin negara tidak adakan acara di Tugu Peringatan

Hari Pahlawan disambut setiap tahun di Malaysia ini pada 31 Julai. Setiap kali Hari Pahlawan disambut pemimpin-pemimpin negara kita akan mengadakan acara memperingati pahlawan-pahlawan negara yang telah gugur di Tugu Peringatan Negara dengan acara meletak kalungan bunga, bertafakkur, membaca sajak dan sebagainya. Sedangkan amalan ini adalah ditegah oleh agama sepertimana fatwa yang telah dikeluarkan oleh beberapa mufti yang disiarkan dalam laman web JAKIM www.islam.gov.my dan laman web Mufti Kerajaan Negeri Perak mufti.perak.gov.my

Adalah disarankan kepada umat Islam di Malaysia ini menyambut Hari Pahlawan dengan mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin khusus untuk pahlawan-pahlawan negara yang telah gugur mempertahankan negara ini dari ancaman musuh.

Beberapa minggu yang lalu kami sekeluarga berkesempatan melawat Muzium Tentera Darat yang terletak di Port Dickson , Negeri Sembilan. Di Dataran Muzium tersebut terletak nama-nama mereka yang gugur semasa pertempuran. Lalu saya mencari nama-nama mereka yang pernah berkhidmat bersama ayah saya. Pada tahun 1976 tertulis nama Prebet Kamarudin bin Salim dari pasukan 16 Rejimen Askar Melayu Di Raja. Ketika itu kami sekeluarga di Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Saya bertanya kepada ayah saya masih ingatlah lagikah anggotanya yang gugur semasa tahun 1976. Ayah saya menjawab, dia masih ingat lagi. Ketika itu operasi membanteras pengganas komunis di Gua Musang , Kelantan. Ketika salah satu platun pasukan 16 RAMD diserang hendap, mereka menghubungi ayah saya, dan memberitahu mereka sedang diserang dan salah seorang anggota mereka telah ditembak.

Begitu banyak nostalgia mengenangkan kembali anggota-anggota keselamatan pada tahun 70an yang bertarung nyawa mempertahankan negara dari ancaman komunis. Hampir setiap minggu dan adakalanya setiap hari ada sahaja berita anggota kita di serang hendap, terkena jerangkap samar, kudung kaki dan tangan , buta dan sebagainya.

Lawatan ke Muzium Tentera Darat tempoh hari begitu menyentuh perasaan. Lebih sedih lagi mengenangkan generasi masa kini dalam tempoh yang singkat lupa kepada jasa mereka yang mempertaruhkan nyawa untuk menjaga keamanan negara. Sebaliknya generasi sekarang lebih suka berpoya-poya , terlibat dalam gejala sosial yang kronik, penyalahgunaan dadah, asyik dalam hiburan, perlumbaan yang membahayakan, melepak dan sebagainya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas pahlawan-pahlawan kita yang telah gugur. Al Fatihah.