KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080612

Permudahkan lesen motosikal bantu hadapi kenaikan harga minyak

Kenaikan harga minyak kali ini memberi kesan kepada semua golongan masyarakat di Malaysia termasuk mereka yang dari kalangan “middle class”, golongan professional dan sederhana.

Ada beberapa cara yang berkesan untuk menghadapi kesan kenaikan harga minyak ini untuk mereka yang berulang alik ke tempat kerja iaitu samada menggunakan pengangkutan awam, menggunakan kenderaan berkuasa NGV, berkongsi kereta atau menggunakan motosikal.

Untuk menggalakkan pengguna jalanraya menggunakan motosikal, kerajaan haruslah mengkaji secara serius kaedah pengeluaran lesen memandu motosikal serta cukai jalan , terutamanya motosikal yang berkuasa rendah iaitu 150 cc ke bawah.

Berikut adalah beberapa cadangan agar lebih ramai pengguna jalanraya menggunakan motosikal dengan ini dapat membantu rakyat menghadapi kesan kenaikan harga minyak :

1. Pemansuhan Lesen Memandu Motosikal 150 cc ke bawah
Adalah dicadangkan agar lesen memandu motosikal 150 cc ke bawah dimansuhkan. Perkenalkan undang-undang mereka yang mempunyai MyKad dan berumur 16 tahun ke atas tidak perlu lesen memandu motosikal. Rasionalnya ialah sekarang ini pun di bandar-bandar, apatah lagi di kampung-kampung, di tanah-tanah rancangan ramai yang menunggang motosikal berkuasa kecil ini tidak mempunyai lesen memandu. Lebih teruk lagi jika di taman-taman perumahan , kanak-kanak sekolah rendah pun diberi kebenaran ibu bapa membawa motosikal dalam keadaan yang membahayakan. Keutamaan penguatkuasaan larangan menunggang motosikal sepatutnya dikenakan kepada mereka yang dibawah umur, bukannya pekerja-pekerja kilang, penoreh-penoreh getah, buruh am dan sebagainya.

2. Pemilik Lesen Kenderaan Kelas D Tidak Perlu Lesen Memandu Motosikal 150 cc ke bawah
Sekiranya cadangan yang pertama tadi tidak dapat dilaksanakan, kerajaan haruslah mempertimbangkan agar pemilik lesen kenderaan kelas D tidak perlu lesen memandu motosikal 150 cc ke bawah. Rasionalnya ialah kebanyakan golongan “middle class”, golongan professional dan sederhana mempunyai lesen kenderaan kelas D tetapi tidak mempunyai lesen memandu motosikal 150 cc ke bawah. Sekiranya cadangan ini diterima pakai , ianya akan menggalakkan golongan ini untuk menggunakan motosikal ke tempat kerja.

3. Pemansuhan Cukai Jalan Untuk Motosikal 150 cc ke bawah
Jika kita perhatikan sekarang ini ramai pekerja-pekerja yang berpendapatan rendah, orang kampung, penoreh getah, mereka yang tinggal di tanah-tanah perancangan sudah bertahun-tahun tidak memperbaharui cukai jalan. Sekiranya mereka hendak memperbaharui cukai jalan untuk mendapatkan rebat RM 150, mereka perlu membawa motosikal mereka ke Puspakom untuk diperiksa. Sekiranya mereka tinggal di pedalaman , di kampung-kampung, di tanah-tanah perancangan adalah tidak munasabah untuk memperbaharui cukai jalan untuk mendapatkan rebat RM 150. Justeru itu adalah disarankan agar cukai jalan motosikal 150 cc ke bawah dimansuhkan. Untuk mendapatkan rebat RM 150 cukup dengan pemilik motosikal ini mendapat pengesahan di balai polis berhampiran yang motosikal mereka berada dalam keadaan selamat berserta dengan geran asal motosikal.

Apa yang penting di sini ialah kesedaran penunggang motosikal mengenai keselamatan di jalanraya serta sikap bertimbang rasa ketika memandu. Pemilik motosikal haruslah mempunyai kesedaran bahawa memandu dengan cermat serta memilikki motosikal yang selamat adalah untuk kebaikan mereka sendiri.

Sementara itu pihak berkuasa terutamanya pihak polis dan JPJ masih boleh terus menjalankan operasi terhadap motosikal tetapi tidak perlu lagi bertanyakan cukai jalan dan lesen memandu motosikal 150 cc ke bawah. Pihak polis dan JPJ akan lebih memberi perhatian akan aspek keselamatan antaranya mereka yang memandu di bawah umur, di bawah pengaruh alkohol dan dadah, motosikal tidak mengikut spesifikasi dan sebagainya.

Apa yang peliknya di Malaysia ini ialah ada yang setelah mendapat lesen memandu yang sah akan membawa motosikal atau kereta dalam keadaan yang merbahaya. Sedangkan ada yang memandu dengan berhati-hati ke tempat kerja, ke klinik untuk membawa anak yang sakit disaman kerana tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan tiada cukai jalan.